KUALA LUMPUR: Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara digesa  meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti pelajar asing bagi menangani  kegiatan Jemaah Islamiah (JI) atau kumpulan militan agama.
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Wira Abu Seman Yusop,  berkata selain pemantauan berterusan kementerian, pihak pengurusan IPT  juga perlu sentiasa peka kepada sebarang perkembangan berhubung isu ini.
"Kita memang membuat pemantauan di IPT secara langsung tetapi IPT juga  perlu lebih peka mengesan sebarang gerakan atau kumpulan pelajar asing  yang cuba mewujudkan kumpulan (ekstrimis)," katanya pada sidang media di  Lobi Parlimen di sini, hari ini.   
Ditanya mengenai tahap keselamatan di IPT dan adakah kementerian akan  menempatkan anggota polis bagi membuat pengawasan, Abu Seman berkata  berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati tahap keselamatan di semua IPT  adalah memuaskan dan terkawal kerana polis sentiasa membuat pengawasan.  
"Kita sahkan IPT kita selamat dan buat sementara waktu ini kita akan  meneruskan pengawasan rapi. Namun kita belum bercadang menempatkan  polis khas di IPT," katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin,  dilaporkan berkata polis akan menemui semua naib canselor institusi  pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam usaha mengawal dan  menangani kegiatan JI yang didapati merekrut pelajar IPT menyertai  kumpulan itu.
Terdahulu, beliau berkata seramai 1,447 mangsa pemerdagangan manusia  dikenakan Perintah Perlindungan Sementara mengikut Akta  Antipemerdagangan Orang 2007 antara Februari 2008 sehingga 30 Mei 2010.    
Katanya, daripada jumlah itu seramai 338 orang disahkan sebagai  mangsa sebenar pemerdagangan manusia.
Abu Seman berkata, kerajaan juga akan membuat pindaan terhadap Akta  Antipemerdagangan Orang 2007 bagi memasukkan bahagian baru khusus  berkaitan penyeludupan migran.
"Asas dalam membuat pindaan Akta 670 yang akan dibentangkan pada  mesyuarat kabinet Jumaat ini adalah untuk menjadikan akta sedia ada  lebih komprehensif dan menyeluruh dalam menangani jenayah pemerdagangan  manusia dan penyeludupan warga asing.
"Dengan pindaan ini tindakan lebih bersepadu dapat diambil  memandangkan kedua-dua jenayah ini mempunyai hubungan yang amat rapat  dan saling berkait khususnya dalam konteks eksploitasi buruh asing dan  migran," katanya.
Abu Seman berkata, asas lain kepada pindaan itu ialah untuk  menyelesaikan isu yang mengaitkan Malaysia sebagai negara transit,  memperluas fungsi dan peranan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO).
Katanya, ia juga untuk memperkukuh kemampuan MAPO dengan penambahan  dua Ahli Majlis di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang  mempunyai kepakaran di dalam anti penyeludupan migran serta meningkatkan  kadar penalti dan menambah 14 seksyen baru di samping meminda 10  seksyen sedia ada.
"KDN memandang serius dan tegas dalam memerangi jenayah  pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Kementerian memberi amaran  keras kepada masyarakat dan warga asing yang berada di negara ini supaya  tidak terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan pemerdagangan orang  dan penyeludupan manusia," katanya. BERNAMA.
