MENGHUKUM orang Islam sebagai kafir kerana berbeza pendirian politik bukanlah  satu perkara baharu malah sudah berakar umbi sejak munculnya sebuah parti  politik yang menggunakan agama sebagai platform ideologinya. Hal ini dapat  dibaca menerusi pelbagai tulisan sama ada yang ditulis oleh sarjana tempatan  mahupun luar negara yang mengkaji politik orang Melayu di Kelantan untuk tempoh  1960-an hingga masa kini.
Prof. William Roff misalnya menghimpunkan beberapa rencana yang ditulis oleh  pengkaji dan budaya tempatan Kelantan dalam naskhah Kelantan: Religion, Society  and Politic in Malay States (1974); Prof. Clive Kessler yang melakukan kajian  beberapa tahun mengenai politik Kelantan dalam Islam and Politics in a Malay  State, Kelantan 1838-1969 (1978); Prof. N John Funston dalam Malay Politics in  Malaysia: A Study of the Malays United Organisation and Party Islam (1980); Prof  Hussin Mutalib, Islam and Ethnicity in Malay Politics (1990); Prof. Firdaus  Abdullah dalam Radical Malay Politics: It Origins and Early Development (1985);  dan beberapa orang lagi telah menemukan bahawa pertembungan politik yang  berteraskan nasionalisme dan ideologi Islam telah menyebabkan berlakunya  persoalan kafir mengkafir sesama umat Islam.
Bagaimanapun, menghukum sesama Islam yang tidak sehaluan pendirian politik  menjadi semakin serius apabila seorang yang dianggap radikal dalam Pas  mengeluarkan fatwa pada tahun 1981 dan kemudiannya diulang serta dicetak secara  meluas untuk dijadikan doktrin politik" dan kehendak agama" bagi menghadapi  pilihan raya umum pada tahun 1982 ekoran kemasukan Anwar Ibrahim dalam UMNO dan  kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad yang dianggap sebagai ultra Malay."
Kemuncaknya dapat disaksikan berlakunya perpecahan masyarakat yang lebih  kritikal di beberapa buah kampung di Terengganu dan Kelantan sehingga insiden  pulau memulau jiran tetangga dan sekampung, haram memakan sembelihan, sembahyang  dua iman, haram menziarahi kematian orang berlainan sokongan politik, perceraian  akibat berbeza parti, dan tidak kurang juga pergaduhan sehingga terputusnya  silaturrahim walaupun sedarah, seagama, seketurunan ataupun dilahirkan oleh ayah  dan ibu yang sama.
Konflik politik itu masih belum berakhir hingga sekarang meski pun tahap  keseriusannya tidaklah sehebat situasi pada tahun 1980-an dan 1990-an. Isu ini  kembali menyengat apabila Presiden Pas, Abdul Hadi Awang beberapa hari lalu  memohon maaf semasa berucap di Sidang Dewan Undangan Negeri atas kesilapan  politik dan tindakannya selama ini walaupun beliau tidak pernah mengakui bahawa  fatwa yang dibuatnya sejak lebih tiga dekad menjadi faktor terbesar berlakunya  perpecahan dalam masyarakat Melayu-Islam di Malaysia.
Apa pun, kerana parti berkenaan dilihat semakin terdesak, angin perubahan  golongan muda untuk tidak mempercayai kepimpinan mereka yang dilihat semakin  tidak relevan, maka adalah lebih manis membuat permohonan maaf meskipun ia lebih  bersifat politik berbanding permohonan maaf berdasarkan kesedaran sebenar untuk  mengulangi kesilapan.
Barangkali adalah lebih baik jika kita membaca semula sebuah buku kecil yang  pernah diterbitkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung dengan  tuduhan kafir mengkafir sesama Islam. Adalah lebih baik kita cuba memahami apa  yang dijelaskan dalam buku kecil yang bertajuk Penjelasan Mengenai Isu  Mengkafirkan Orang Islam, Jihad dan Mati Syahid yang diterbitkan pada tahun  2002, kerana ia ditulis berdasarkan pendapat dan tafsiran ulama muktabar dan  bukannya ulama politik.
Tuduhan bahawa pemimpin dan penyokong UMNO adalah kafir berdasarkan daripada  penjelasan Allah SWT dalam surah al-Maidah, ayat 44 yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan kitab Taurat, yang mengandungi petunjuk  dan cahaya yang menerangi; dengan kitab itu nabi-nabi yang menyerah diri (kepada  Allah), menetapkan hukum bagi orang-orang Yahudi dan (dengannya juga) ulama  mereka dan pendita-penditanya (menjalankan hukum Allah); sebab mereka  diamanahkan memelihara dan menjalankan hukum-hukum dari kitab Allah (Taurat)  itu, dan mereka pula adalah menjadi penjaga dan pengawasnya (dari sebarang  perubahan).
Oleh itu hendaklah kamu takut kepada-Ku (dengan menjaga diri daripada  melakukan maksiat dan patuh akan perintah-Ku); dan janganlah kamu menjual  (membelakangkan) ayat-ayat-Ku dengan harga yang sedikit (kerana mendapat rasuah,  pangkat dan lain-lain keuntungan dunia), dan sesiapa yang tidak menghukum dengan  apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya) maka mereka itulah  orang-orang yang kafir.
Dalam ayat 47 surah yang sama, Allah SWT menjelaskan: Dan hendaklah Ahli  Kitab Injil menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah di dalamnya,  dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah,  maka mereka itulah orang-orang yang fasik. 
Ayat-ayat itulah yang menjadi sandaran atau hujah untuk melabelkan seseorang  itu sebagai kafir walaupun tafsiran ulama yang muktabar membuktikan berlaku  salah tafsiran (orang Pas) dan tidak menepati maksud sebenar.
Maksud sebenar ayat-ayat tersebut (Surah al-Maidah ayat 44 dan 45) ialah:
 (1) Dalam kitab Tafsir Ruhul Maani Juzuk 6 halaman 130, ialah Golongan  Khawarij telah membuat hujah dengan ayat ini bahawa orang fasik (yang melakukan  dosa) adalah kafir yakni tidak mukmin." Pendapat golongan Khawarij ini dijawab  oleh ulama Islam dengan beberapa jawapan antaranya:
(a) Ayat tersebut tidak dimaksudkan dengan makna zahir kerana menghukum itu  meskipun pengertiannya meliputi amalan hati dan perbuatan anggota lahir, tetapi  yang dimaksudkan ialah amalan hati itu sendiri, iaitu mempercayai' atau tidak  mempercayai' hukum Allah.
Maka tidak syak lagi bahawa seseorang itu menjadi kafir jika ia tidak  mempercayai akan apa yang diturunkan oleh Allah; tetapi ia tidak kafir sekiranya  ia tidak mengamalkan atau melaksanakan hukum Allah.
(b) Dalam tafsir Ruhul Maani juga dijelaskan lagi bahawa Ibnu Abbas telah  menyatakan bahawa sesungguhnya Allah menurunkan ayat-ayat di atas (ayat 44, 45,  47 Surah al-Maidah) hanya mengenai orang Yahudi, semata-mata' (tidak  dimaksudkan kepada orang mukmin (Islam).
(c) Seterusnya Tafsir Ruhul Maani menerangkan bahawa Abi Salleh telah  berkata: Tiga ayat dalam Surah al-Maidah tersebut tidak kena-mengena dengan  orang Islam, ayat tersebut adalah mengenai orang kafir.
Jika benarlah tiap sesuatu yang dilakukan yang bertentangan dengan hukum  Islam akan menjadikan seorang Islam itu kafir, maka mungkin 99.9% daripada orang  Islam sudah menjadi kafir selama ini (peratusan ini sebagai gambaran yang  manusia tidak maksum). Mereka tetap sebagai orang Islam walaupun mereka  berkali-kali membuat dosa.
Seseorang yang murtad ialah mereka yang menolak agama Islam selepas ia  memeluk Islam, dan juga orang Islam yang mengkafirkan orang Islam yang lain  tanpa usul periksa sedangkan orang Islam itu masih berpegang kepada ajaran Islam  dan beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.
Oleh itu, mana-mana pemerintahan Islam di dunia ini adalah bertanggungjawab  memastikan perkara ini supaya tidak menjejaskan kekuatan umat Islam. Jawapan  sudahlah jelas bahawa orang UMNO tidaklah kafir kerana orang UMNO, mereka tetap  beriman dengan al-Quran serta sentiasa berusaha mempertingkatkan kedudukan Islam  di negara ini.
Mengenai isu dan hukum Takfir (mengkafirkan orang Islam) ini, Ahli  Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 27 - 28 Mei,  1963 telah mengeluarkan pendapat seperti berikut: 
l ...Adalah kufur mengkufurkan seseorang Islam itu satu daripada perkara  yang dipandang tersangat berat di dalam agama Islam. Kiranya orang yang  dihadapkan kepadanya perkataan itu tidak tepat sifat-sifat yang menjadikan dia  murtad, maka kembalilah hukum murtad itu kepada orang yang berkata itu  pula".
l ...Mengikut kitab karangan Syarwani dalam juzu 9 muka surat 88 ada  mengingatkan orang-orang Islam supaya jangan terburu-buru mengatakan kufur  kepada seseorang Islam, apatah lagi bagi orang awam sangat tidak digemari  mengeluarkan perkataan kufur kepada saudara-saudaranya yang lain."
 l ...Ahli-Ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja menasihatkan  setiap orang Islam bahawa kalimah kufur mengkufurkan sesama Islam itu hendaklah  dipelihara daripada lidah masing-masing sama ada dalam kempen-kempen atau  perbualan hari-hari atau lainnya."
l Ayat 44 Surah al-Maidah adalah ditujukan kepada orang kafir Yahudi kerana  mereka mengubah hukum Allah dan menggantikannya dengan hukum ciptaan mereka  sendiri. Ini jelas dari ayat tersebut yang mengisahkan turunnya kitab Taurat  yang dikaitkan dengan orang Yahudi.
l Tidak menjadi kafir seseorang Islam yang tidak melaksanakan hukum Islam  dalam sesebuah negara selagi ia tidak mengingkari kebenaran hukum tersebut yang  datang dari Allah; apatah lagi jika ia (atau mereka) tidak mempunyai kuasa penuh  untuk berbuat demikian.
l Pas mengkafirkan UMNO semata-mata atas dasar perbezaan politik kerana  kedua-duanya merebut pengundi Islam, khasnya orang Melayu.
Dalam hal ini, siapakah yang sebenarnya yang menolak serta memutarbelitkan  al-Quran dan al-Sunah? Siapakah yang sebenarnya kafir?
Ingatlah firman Allah yang bermaksud: Jangan engkau menurut hawa nafsu  kerana yang demikian itu akan menyesatkan kamu dari jalan Allah." (Surah Sad,  Ayat 26).
Maka wajarlah Presiden Pas itu mengambil pendirian memohon maaf secara  terbuka kepada semua umat Islam di Malaysia dan dengan hati penuh ikhlas menarik  balik fatwa yang telah banyak meninggalkan kesan negatif sehingga mengakibatkan  pecah belah masyarakat dan suasana persaudaraan yang dibingkaikan oleh tafsiran  politik matlamat menghalalkan cara.
Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah 
Malaysia (Yadim)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121221/re_01/Tarik-balik-fatwa-mohon-maaf-terbuka#ixzz2FtESiaBJ
©  Utusan Melayu (M) Bhd 
