NAMA ZAINON ISMAIL tidak begitu dikenali ramai kerana figura bertubuh kecil  tetapi berhati waja ini lebih dikenali dengan nama C.N. Al-Afghani. Nama itu  sebenarnya merujuk kepada Cikgu Non. 
Manakala Al-Afghani itu pula kerana beliau pernah berjuang bersama Mujahiddin  di bumi Afghanistan demi mencari syahid ekoran pegangan beliau selepas taksub  dengan amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Akibat amanat Abdul Hadi yang mengkafirkan UMNO pada tahun 1981, perjalanan  hidup C.N Afghani berubah secara drastik. Dek kerana ketaksuban terhadap amanat  tersebut beliau tidak lagi mampu berfikir dengan kewarasan akal apabila sanggup  mengkafirkan abang dan ayah sendiri. 
Beliau juga terlibat dalam cubaan untuk menyerang bekas Perdana Menteri, Tun  Dr. Mahathir Mohamad.
Beliau yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)  selama enam tahun kerana dakwaan terlibat mengetuai Kumpulan Mujahidin Malaysia  (KMM) C.N. Afghani tampil menceritakan kepada wartawan Wartawan Mingguan  Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA kenapa beliau melahirkan buku Kafirkan Aku? yang  memaparkan kepincangan politik Pas.
MINGGUAN: Sebagai seorang bekas aktivis dan ahli seumur  hidup yang begitu tegar dengan perjuangan Pas, apa sebenarnya yang mendorong  saudara menghasilkan buku Kafirkah Aku?
ZAINON: Pertama sekali atas kepentingan ummah berdasarkan pengalaman saya  sendiri semasa mengkafirkan keluarga terutama abang saya hanya kerana dia ada  jawatan dalam UMNO Perlis. Cukup lama saya putuskan hubungan dengan dia.  Akhirnya saya fikir sampai bila? Benda ini mempengaruhi saya begitu lama.  Ketenangan saya terganggu dengan isu ini. 
Hubungan saya dengan bapa juga renggang pasal isu ini. Sebelah isteri pun  sama. Saya tidak ziarah kalau mereka ada hubungan dengan UMNO, saya tidak pernah  bermalam di rumah bapa mertua malah ketika dia meninggal dunia pun saya tak  ziarah secara sepatutnya. Saya tahu dia meninggal dunia tapi sengaja tidak  segera untuk pergi ziarah. Saya tidak sembahyangkan jenazah bapa mertua. Saya  cuma pergi masa dia dah dibawa ke kubur.
Bukan saya sahaja yang terbelenggu dengan masalah ini. Ramai lagi ahli-ahli  Pas yang berpegang kepada prinsip seperti saya berdepan dengan dilema yang sama.  Jadi bagaimana nak selesaikan masalah ini. Ia soal akidah yang penghujung syurga  atau neraka.
Maknanya selagi saya tidak selesaikan isu ini, sampai ke hari ini saya rasa  berdosa. Dosa mengkafirkan ayah dan abang serta saudara seagama ini begitu  menghantui saya sehingga akhirnya saya fikir tidak boleh lagi berdiam diri sebab  itu saya menghasilkan buku Kafirkah Aku. Ia satu dakwah untuk menyedarkan  ahli-ahli Pas dan masyarakat umum.
Sebagai seorang anak dan adik, apa perasaan saudara di kala ucapan kafir itu  dilafazkan kepada ayah dan abang.
ZAINON: Isu ini bukan berlaku kepada diri saya sahaja. Sebaik sahaja terbit  Amanat Haji Hadi, sepanjang malam kami di dalam Pas mengadakan usrah. Dalam  usrah itu kita bincang isu soal kafir mengkafir dan kita berpegang kepada  keputusan perbincangan iaitu UMNO kafir. Maka, sesiapa sahaja yang terlibat  dengan UMNO walaupun saudara kandung mahu pun ibu bapa sendiri mereka kafir.  Oleh kerana amanat itu, kita ahli-ahli Pas percaya perpisahan kami dengan  saudara kandungan dan ibu bapa itu kerana Allah SWT.
Bila kita percaya perpisahan itu kerana Allah, ahli Pas percaya apabila  meninggal dunia kelak tiada dosa apa-apa kerana mereka itu tadi kita anggap  melanggar hukum Allah. Mereka bersubahat kerana bersetuju mengundi UMNO.  Maknanya, kami rasa jalan yang diambil itu memang betul bertepatan dengan hukum  kerana apa yang diberitahu oleh kepimpinan Pas begitu. Jadi kita peganglah  kepada benda ini. 
Ayah saya memang kecewa dan dia pernah tulis surat. Surat itu ada pada saya  sampai hari ini. Abang saya pula bila malam saya cakap terus terang bahawa  antara kita putus hubungan adik-beradik, dia tersangat kecewa hingga dia kata:  "Takkan sampai macam tu sekali kot" tapi malam itu saya kata balik: "memang  macam inilah...Prinsip kami macam inilah,".
Apa sebenarnya peristiwa yang menerbitkan keinsafan kepada saudara kerana  selama bersama Pas, saudara bukan sahaja sanggup mengkafirkan keluarga sendiri  malah berhijrah ke Afghanistan kerana yakin dengan jihad dan syahid yang cuba  diimplimentasi di Malaysia?
ZAINON : Sempadan keinsafan saya ini selepas berlakunya penyelewengan tabung  memali. Akibat cuba mendedahkan isu penyelewengan ini saya dipecat dari Pas.  Kemudian selepas 2008, apabila Pas merampas Kedah tetapi tidak melaksanakan  beberapa tuntutan hukum berkait dengan judi dan arak dan ia direstui oleh  pimpinan Pas Pusat termasuk oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri.  Ini mengukuhkan lagi kesedaran saya.
Kami di dalam Pas sebelum ini dididik menganggap UMNO sebagai parti taghut  antaranya kerana tidak menghapuskan judi dan arak tapi kerajaan Pas Kedah hari  ini menghalalkan apa yang dilarang oleh hukum sebagai mana yang dijelaskan oleh  Abdul Hadi pada awal tahun 80-an. Sekarang ini, Kedah mengamalkan perkara sama  yang telah difatwakan sebelum ini sebagai kafir. Ini bermakna kerajaan Pas Kedah  juga taghut.
Berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan dalam Pas, adakah saudara  percaya punca utama perpecahan di kalangan orang Melayu pada hari ini adalah  disebabkan Pas yang memperalat agama mengikut acuan dan kepentingan politik  sendiri?
ZAINON : Dulu memang saya pun berpegang kepada Amanat Haji Hadi iaitu UMNO  kafir. Sebelum saya berpegang dengan amanat itu hubungan saya dengan ahli  keluarga dan masyarakat tiada masalah. Masa kenduri-kendara pun kita bersama,  tiada sempadan perpisahan. Tapi bila amanat itu keluar pada 1981 dan kami  berpegang kepada fatwa UMNO itu kafir, di situlah bermula kita memisahkan  diri.
Walau sebaik mana pun UMNO cuba berbaik, kita akan tolak. Mereka jemput ke  majlis pun kita akan tolak kerana tidak mahu makan bercampur dengan orang  'kafir' dan kita memang diajar begitu. Dari situlah mula keluar fatwa sembelihan  orang UMNO tidak sah, jenazah orang UMNO haram ke atas ahli Pas untuk sembahyang  dan mandikan, perkahwinan dengan orang UMNO tidak sah dan banyak lagi. Perpecahan ini memang berpunca daripada sikap pemimpin Pas dari dulu hingga  sekarang. Orang Pas sendiri tidak mahu berbaik-baik dengan orang UMNO. Malah  mereka akan memberi pelbagai alasan yang tidak logik dalam mewajarkan perkara  ini. Contoh terbaik sekarang ini, mereka kata bantuan yang dihulurkan kerajaan  itu walau baik macam mana pun untuk rakyat, penuh dengan 'racun'.
Selepas melihat dan melalui sendiri perpecahan ini adalah saudara merasa  perjuangan yang cuba digerakkan ini sebagai jihad untuk menyatukan kembali umat  Islam di Malaysia ini?
ZAINON: Saya tidak boleh mendiamkan diri, saya kena berjuang untuk  menyelesaikan masalah ini dan tiada cara lain melainkan secara terbuka saya  menyeru Abdul Hadi yang mengeluarkan amanat itu supaya ambil satu sikap lebih  bertanggungjawab, kerana selagi mana beliau tidak tarik amanat itu. Selagi  itulah ahli-ahli Pas yang memegang prinsip seperti saya ini akan terdedah dengan  masalah yang menekan perasaan kami sampai bila-bila
Abdul Hadi perlu sedar, kesan perpecahan akibat amanat beliau itu cukup besar  seperti terjadinya peristiwa memali, solat dua imam, bercerai-berai dan  macam-macam lagi. Ini perkara serius, apa lagi benda yang serius dalam agama  selain akidah? Dalam isu kafir mengkafir ini semua ulama sudah mengatakan selagi  mana orang tu mengucap dua kalimah syahadah, tidak boleh mengkafirkan orang  tetapi kenapa pemimpin Pas sehingga ke hari ini, bersetuju mengkafirkan  UMNO.
Ketika memulakan usaha ini, saya sedar risiko, ugutan, serta akan hilang  kawan tetapi apabila direnung, saya tidak boleh lagi mengambil sikap berdiam  diri. Maka, saya mengambil ketetapan untuk menjaga kepentingan ummah khususnya  perpaduan umat Islam lebih daripada perasaan sayang saya kepada Pas. Saya  terpaksa ketepikan ini semua demi selamatkan ummah dan Islam.
Semakin tinggi ilmu agama seseorang itu sepatutnya dia semakin tawaduk dan  merendah diri tetapi dalam soal amanat ini meskipun telah menyebab perpecahan,  Abdul Hadi cukup degil dan tidak mahu tarik balik, mengapa itu berlaku?
ZAINON: Saya rasa ini semua kerana ego. Ego bahawa ilmu yang mereka miliki  itu lebih baik berbanding ilmuan lain yang bukan kalangan Pas. Mereka rasa hanya  ulama dalam Pas sahaja ilmunya terbaik, tinggi dan boleh dipakai oleh  masyarakat. Ulama-ulama lain walau sebaik mana pun dia, Pas tidak akan iktiraf  malah kalau Abdul Hadi sendiri selepas isytihar keluar Pas meskipun tidak masuk  UMNO tapi bersetuju dengan dasar UMNO akan dianggap sesat pemimpin Pas termasuk  Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagi mereka, ilmu agama ini hak milik orang Pas sahaja. Walaupun kita pakai  hujah yang sama, tafsir yang sama, surah yang sama. Maknanya di sini ada satu  sifat keegoan yang tinggi yang tidak mahu mengaku bahawa ilmu orang lain baik  daripada dia. Saya tidak mahu kata lebih tapi kalau ikut kenyataan  pemimpin-pemimpin Pas yang lalu, ego ini sifat syaitan.
Antara asas kepada Amanat Haji Hadi dalam mengkafirkan UMNO adalah kerana  berkawan dengan MCA dan MIC tetapi sekarang dalam konteks hubungan Pas dengan  DAP kenapa boleh pula dihalalkan?
ZAINON : Benda ini memang banyak orang yang mempersoalkannya. Kalau dulu  mereka mengatakan antara hujah mengkafirkan UMNO kerana berbaik dengan MCA dan  MIC sekarang ini mereka pula berbaik dengan DAP kononnya mengikut Piagam  Madinah. Benda ini satu penipuan. DAP bersetuju dengan Pas ini bukan kerana  Islam tetapi kerana Pas itu sebuah parti. Ada beza antara Pas dengan Islam. Pas  ini parti politik, Islam itu pegangan agama.
Sebab itulah pimpinan DAP selalu sebut mereka bersetuju dengan Pas ini bukan  kerana Islam. Jelas di sini apa yang disebut Abdul Hadi dulu berbalik kepada  beliau semula. Sebab itu ulama-ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani  Zakaria melarang mengkafirkan orang kerana takut balik kepada kita. Pas sama ada  sedar atau tidak, setuju atau tak setuju terjerat dalam isu ini.
Apakah gesaan saudara kepada ahli-ahli Pas agar dibuka minda dan pintu hati  untuk melihat segala teguran ini secara terbuka?
ZAINON: Pertama sekali saya sebagai orang yang terlibat meminta sangat sama  ada pemimpin mahu pun ahli-ahli Pas agar mereka bersifat terbuka. Setiap teguran  daripada mana-mana pihak khususnya dalam konteks perpaduan ini demi kebaikan  ummah. Saya sendiri menegur ini atas kehendak peribadi saya tanpa dipaksa oleh  sesiapa. Dulu saya dah tegur secara dalaman dalam kes Memali tapi dipandang  sepi. 
Jadi sekarang ini saya buat buku biar masyarakat tahu saya dah tegur pimpinan  pas. Biar seluruh rakyat baca Kafirkah Aku dan kemudian buat komen. Kalau  ada pemimpin mahu pun ahli Pas tidak puas hati, saya sedia berjumpa dengan  mereka pada bila-bila masa. Kepada kepimpinan Pas, buatlah yang terbaik untuk  ummah. Saya bukan mahu menghina ulama dalam Pas tapi terimalah pandangan pihak  lain terutama ulama di luar Pas demi kepentingan ummah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121223/re_04/Saya-cukup-menyesal#ixzz2FtBYrOtZ
©  Utusan Melayu (M) Bhd 
 
