|  | 
| BN , PRU13 diramal MENANG | 
Pembubaran Parlimen diumumkan Perdana Menteri, genap 4 tahun beliau meneraju Malaysia dalam masa yang sama memberi laluan kepada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), telah menimbulkan banyak persoalan terutama di kalangan ahli politik, pemerhati politik, pelabur, ahli perniagaan atau rakyat biasa, apakah Barisan Nasional (BN) akan kembali diberikan mandat oleh rakyat atau sebaliknya.
Namun apa yang pasti ia terpulang kepada
 kira-kira 13 juta pengundi yang akan membuat pilihan dalam menentukan 
mereka yang layak diberikan amanah dan tanggungjawab dalam mengurus 
tadbir negara. Seorang tokoh akademik yang ingin merungkai persoalan 
tersebut, telah melakukan kaji selidik dan analisa mengenai perkembangan
 politik negara percaya arus politik massa akan memihak kepada BN.
Dalam wawancara khas bersama Bernama, 
Ketua Kluster Sejarah Warisan dan Sosio Budaya Majlis Profesor Negara 
(MPN), Prof Dr Kamaruddin M Said, meramalkan BN mempunyai peluang untuk 
menang 2/3 kerusi parlimen pada pilihanraya umum ke-13 (PRU13).
Ia merujuk kepada dasar dan perlaksanaan
 dasar yang dilakukan oleh kerajaan BN tetap jauh lebih baik dari 
Pakatan Rakyat. Selain daripada memang lebih 2/3 majoriti, beliau turut 
optimis BN akan dapat merampas semula kerusi-kerusi yang hilang pada 
pilihan raya yang lalu.
Ini kerana para pengundi pada 2008, 
telah mula menyedari dan melihat kesilapan mereka 4 tahun lepas, ingin 
menebus kembali kesilapan yang pernah dilakukan itu. Kamaruddin mengakui
 bahawa pandangan beliau mungkin dianggap terlalu optimistik oleh 
sesetengah pihak tetapi pandangan ini berdasarkan kepada sentimen 
pengundi dan asas-asas yang memihak kepada BN.
Dengan menyifatkan PRU13 sebagai pilihan
 raya penyelarasan, beliau berpandangan pengundi 2008 sudah dapat 
menilai baik buruk, kekuatan dan kelemahan kedua-dua pihak BN dan 
pakatan pembangkang (PR). Beliau turut bersandarkan kepada analisis yang
 optimis melalui kepimpinan kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri
 Najib Tun Razak.
Kepimpinan BN sudah jauh berubah 
berbanding 2008. Dinamik, pemikiran yang lebih terancang dan 
langkah-langkah pembangunan yang strategik. Beberapa faktor ini 
difikirkannya akan mempengaruhi pengundi untuk memberi undi mereka 
kepada BN.
Malah sebelum ini, badan pemikir swasta,
 Institut Kepimpinan Strategik Asia (ASLI) turut meramalkan BN akan 
memenangi PRU13 kerana sokongan masyarakat Melayu luar bandar telah 
kembali kepada Umno dan BN.
Dalam analisis yang dibentangkan, ASLI 
berkata BN dijangka memenangi 123-135 kerusi dalam pilihan raya akan 
datang, tetapi boleh mencapai setinggi 150 jika Perdana Menteri berjaya 
menarik pengundi Cina dan India yang dilihat semakin cenderung dan 
selesa dengan pendekatan Datuk Seri Najib.
Selain dari itu, kaji selidik yang 
dianjurkan Yayasan Ehwal Siswazah (YES) awal tahun lalu turut 
menunjukkan sokongan terhadap BN berada dalam keadaan kukuh di kalangan 
mahasiswa dengan 63% yakin bahawa BN akan menang dalam PRU-13. Tidak 
cukup dengan itu kaji selidik di negeri-negeri yang dikuasai oleh 
pakatan turut menunjukkan populariti Perdana Menteri meningkat.
Kelantan sebagai contoh memperlihatkan 
tahap sokongan 60.8%, Kedah 63.8% dan Selangor 54.55%. Daripada semua 
responden ini, 40.1% telah dikenalpasti sebagai golongan atas pagar dan 
80% daripada mereka ini pula telah bersedia untuk mengundi dalam PRU 
kali ini.
 
