Monday, August 25, 2008

Permatang Pauh 9: Untuk apa?

beritadarigunung

Pilihanraya kecil Permatang Pauh perlu diadakan esuk 26hb Ogos 2008 berikutan perletakan jawatan Ahli Parlimen Wan Azizah Wan Ismail pada 31 Julai baru-baru ini untuk memberi ruang kepada suaminya Anwar Ibrahim, Penasihat Parti Keadilan Rakyat.

Anwar berhadapan dengan Arif Shah calon Barisan Nasional dan Hanafi Hamat dari Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM). Kedudukan kedua-dua parti BN dan PKR adalah pengetahuan umum, untuk AKIM, parti itu telah terbentuk sejak 16 Februari 1995. AKIM dikatakan serpihan parti PAS dengan ahli seramai 10,000 seluruh negara.

Yang menjadi taruhan dalam pilihanraya kecil ini bukan Anwar, Arif atau Hanafi dan juga bukan BN, PKR atau AKIM. Yang penting ialah landskap politik baru. Konsep parti untuk bangsa dan agama sedang diuji. Anwar menjanjikan sesuatu yang lain, sebuah parti merentasi kaum, dan perjuangan parti pun begitu, tidak bersempadankan bangsa dan agama. Mampukah Anwar maju ke depan dengan inspirasi sejagat? Nampaknya Malaysia dan rakyatnya jadi taruhan.

Permatang Pauh mempunyai 58,459 pengundi, dimana 69.4 peratus adalah Melayu, 24.5 peratus China dan 5.7 peratus India. Komposisi ini adalah normal untuk setting luar bandar, replika kepada beratus kawasan yang lain.

Untuk menjamin tahap keselamatan yang baik, dimaklumkan seramai 3,000 anggota polis diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sepanjang 10 hari tempuh kempen.


Terdapat beberapa faktor penting dalam pilihanraya kecil ini. Sekali imbas pada peringkat awal, Permatang Pauh 2008 mirip Johor Baru 1988. Kedua-duanya mempertikaikan kepimpinan sedia ada. Bezanya Shahrir gah hanya di JB, gah Anwar melepasi sempadan negara. Dan Shahrir sekadar melepas geram, sedang Anwar mahu jadi Perdana Menteri, by hook or by crook.

1. Tuduhan Liwat ke atas Anwar, kali kedua dalam kerjaya politiknya. Namun ramai sangsi kesahihan tuduhan itu dan menyifatkan tuduhan itu sebagai bermotif politik. Mahkamah belum pun buat keputusan apa-apa. Orang Melayu masih ternanti-nanti, Cina dan India tidak anggap itu sebagai penentu.

2. Anwar menuduh UMNO sebagai parti perkauman. Anwar mengenengahkan paksi baru, kempen beliau berkait polisi untuk semua kaum.

3. Permatang Pauh adalah tapak uji untuk konsep pelbagai kaum anjuran Anwar walaupun hampir 70 peratus pengundi adalah Melayu.

4. PAS merungut dengan perasaan tidak puas hati, kerana agenda Islam diketepikan dan Anwar pula memainkan peranan utama. Manakala dalam Pakatan Rakyat, PAS adalah majoriti.

5. Menurut satu pungutan suara dalam website, Cina dan India adalah penyokong kuat Pakatan Rakyat. Orang Melayu masih ragu-ragu.

6. Kelemahan utama Anwar adalah isu sensitif berkaitan dengan hak keistimewaan Melayu dan Islam kerana kempen Anwar adalah multiracialisma and mengurangkan penekanan terhadap hak Melayu.

7. Arif Shah pula adalah seorang calon yang popular, disukai, bekerja keras dan mudah didekati. Kemampuan berbahasa Mandarin dan Hokkien sering disebut-sebut. Hokkien adalah bahasa kebanyakan Cina Pulau Pinang.

8. Kebanyakan penganalisis sudah memberikan kejayaan kepada Anwar kerana Permatang Pauh adalah kerusi beliau sejak 1982 sehinggalah beliau dipecat pada tahun 1998.

9. Minyak bukan lagi faktor penting.

10. Wan Azizah menyebut Sumpah Mohd Saiful Bukhari Azlan adalah usaha terdesak BN untuk meraih undi di Permatang Pauh.

11. Inflasi pada tahap 7.7 peratus, tertinggi dalam tempuh 26 tahun telah menghakis taraf hidup kebanyakan penduduk Malaysia. Isu ini juga tidak terlalu penting di Permatang Pauh.


PAS

Anwar dan Pakatan Rakyat telah dikritik hebat oleh perwakilan dalam perhimpunan PAS baru-baru ini. Ramai tidak menyokong cadangan Anwar
sebagai Perdana Menteri. Mereka melihat DAP sebagai anti Islam dan mengulas kritikan terhadap kepimpinan Pakatan Rakyat di Selangor dan Pulau Pinang.

PAS sudah biasa berfungsi dalam kerangka parti yang rapat, dan adalah satu kejutan besar bila perlu berhadapan dengan budaya politik yang rencam bersama DAP dan PKR. Mereka juga kelihatan bercakaran mengenai habuan PRU12.

Kata Nasharudin Mat Isa " Bertanding dan menang pilihanraya adalah bahagian yang mudah. Mengurus Kejayaan adalah yang paling sukar. yang kami lalui kini, adalah pengalaman baru".

DAP

Lim Kit Siang pula berkata " Bukan sengaja disebut ibu kepada semua pilihanraya kecil. Ini adalah petunjuk kepada politik nasional dan prestasi kami selama ini. Ia adalah barometer politik Malaysia. Kalau Anwar berjaya menarik pengundi Melayu, peluang untuk pembangkang membentuk kerajaan semakin cerah.

Saya ingin menutup pemerhatian saya dengan mengatakan bahawa Malaysia dan Rakyatnya jadi taruhan dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh ini. Pengundi Melayu seramai 69 peratus daripada 58,459 bertanggungjawab menentukan lanskap negara selanjutnya. Memilih Anwar kerana sukakannya bukanlah langkah yang bijak. Nasib masyarakat majmuk dijadikan bahan ujian esuk 26hb Ogos 2008. Hasilnya menurut setengah pemerhati adalah perit dan pedih.

Terima kasih.

beritadarigunung