KUALA LUMPUR: Institut Pengajian Tinggi (IPT) di seluruh negara digesa meningkatkan pemantauan terhadap aktiviti pelajar asing bagi menangani kegiatan Jemaah Islamiah (JI) atau kumpulan militan agama.
Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Wira Abu Seman Yusop, berkata selain pemantauan berterusan kementerian, pihak pengurusan IPT juga perlu sentiasa peka kepada sebarang perkembangan berhubung isu ini.
"Kita memang membuat pemantauan di IPT secara langsung tetapi IPT juga perlu lebih peka mengesan sebarang gerakan atau kumpulan pelajar asing yang cuba mewujudkan kumpulan (ekstrimis)," katanya pada sidang media di Lobi Parlimen di sini, hari ini.
Ditanya mengenai tahap keselamatan di IPT dan adakah kementerian akan menempatkan anggota polis bagi membuat pengawasan, Abu Seman berkata berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati tahap keselamatan di semua IPT adalah memuaskan dan terkawal kerana polis sentiasa membuat pengawasan.
"Kita sahkan IPT kita selamat dan buat sementara waktu ini kita akan meneruskan pengawasan rapi. Namun kita belum bercadang menempatkan polis khas di IPT," katanya.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dilaporkan berkata polis akan menemui semua naib canselor institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) dalam usaha mengawal dan menangani kegiatan JI yang didapati merekrut pelajar IPT menyertai kumpulan itu.
Terdahulu, beliau berkata seramai 1,447 mangsa pemerdagangan manusia dikenakan Perintah Perlindungan Sementara mengikut Akta Antipemerdagangan Orang 2007 antara Februari 2008 sehingga 30 Mei 2010.
Katanya, daripada jumlah itu seramai 338 orang disahkan sebagai mangsa sebenar pemerdagangan manusia.
Abu Seman berkata, kerajaan juga akan membuat pindaan terhadap Akta Antipemerdagangan Orang 2007 bagi memasukkan bahagian baru khusus berkaitan penyeludupan migran.
"Asas dalam membuat pindaan Akta 670 yang akan dibentangkan pada mesyuarat kabinet Jumaat ini adalah untuk menjadikan akta sedia ada lebih komprehensif dan menyeluruh dalam menangani jenayah pemerdagangan manusia dan penyeludupan warga asing.
"Dengan pindaan ini tindakan lebih bersepadu dapat diambil memandangkan kedua-dua jenayah ini mempunyai hubungan yang amat rapat dan saling berkait khususnya dalam konteks eksploitasi buruh asing dan migran," katanya.
Abu Seman berkata, asas lain kepada pindaan itu ialah untuk menyelesaikan isu yang mengaitkan Malaysia sebagai negara transit, memperluas fungsi dan peranan Majlis Antipemerdagangan Orang (MAPO).
Katanya, ia juga untuk memperkukuh kemampuan MAPO dengan penambahan dua Ahli Majlis di kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai kepakaran di dalam anti penyeludupan migran serta meningkatkan kadar penalti dan menambah 14 seksyen baru di samping meminda 10 seksyen sedia ada.
"KDN memandang serius dan tegas dalam memerangi jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Kementerian memberi amaran keras kepada masyarakat dan warga asing yang berada di negara ini supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti berkaitan pemerdagangan orang dan penyeludupan manusia," katanya. BERNAMA.