Monday, December 31, 2012

Padah fatwa mengkafir

AMANAT Haji Hadi yang pernah diucapkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 telah menghangatkan polemik kafir-mengkafir sesama Islam di negara ini.
Amanat itu dilihat sebagai punca di sebalik insiden-insiden pelik tetapi benar seperti solat fardu dua imam, mengharamkan sembelihan orang UMNO dan mengulangi akad nikah sekiranya dinikahkan oleh kadi kerajaan. Amanat itu juga dikatakan menjadi pencetus peristiwa Memali pada 19 November 1985.
Namun, seperti yang dijelaskan oleh bekas Ketua Polis Negara, TAN SRI ABDUL RAHIM NOOR kepada wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, ZAINI HUSIN dalam satu wawancara eksklusif di kediamannya di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Amanat Abdul Hadi cuma satu kesinambungan daripada fatwa Pas yang terdahulu.

Tuesday, December 25, 2012

Nizar barang dagangan: PAS, DAP dan balak.

Bukan mudah untuk menghurai isu rasuah ini,  lebih mudah lagi  sebenarnya Hadi 
Awang mengeluarkan amanat agong dalam santai berceramah tahun 1981 dulu.  Santai orang muda (Hadi waktu itu) dalam ghairah berpolitik, kerana ingin meletak diri dibaris atas, atau saf depan. Tentang Hadi amat bercita-cita tinggi dalam politik, itu semua orang faham. Kita tinggalkan hal Hadi anak Awang sebentar untuk meneliti isu rasuah antara PAS Kelantan dan DAP sepertimana tersebar luas dalam media baru-baru ini, ditimbulkan oleh Hamidah dan Hamdi dalam Dewan Undangan Negeri Perak. Dua sepupu Ngeh dan Ngah bukan main berang lagi, siap ugut2, siap buat police report.....

2. Wajar kita pinggirkan dahulu hal orang menerima rasuah. Seluruh penumpuan hendaklah diberikan kepada orang yang memberi rasuah. Dalam hal ini, kita dimaklumkan bahwa kerajaan negeri  Kelantan dibawah pimpinan PAS telah meluluskan tanah balak seluas 10,526 ekar di Relai Mukim Chiku, Gua Musang kepada syarikat Upaya Padu Plantation Sdn Bhd . Kalau ikut resam negeri lain tanah seluas itu mesti dengan kelulusan mesyuarat exco negeri. Ketuanya adalah Nik Aziz yang sering lancang dan kadang-kadang kelihatan terbabas pendoman. Ngeh dan  Nga adun DAP dari negeri Perak disebut sebagai pengarah syarikat berkenaan.

3. Telahan dipanjangkan lagi dengan menyebut tanah balak itu diberi sebagai tukaran nilai kepada perlantikan Nizar sebagai Menteri Besar negeri Perak suatu masa dulu. Dari satu sudut, tanah balak boleh diberi kepada sesiapa saja, org Singapura,  orang Pulau Pinang dan orang Kelantan sendiri. Beri tanah balak bukan isu besar. Tetapi jika dikatakan balak sebagai timbalbalik kepada jawatan MB Perak dari PAS, itu  mirip Rasuah.  Awal-awal ura Nizar nak dilantik sebagai MB Perak, DAP memang nak boikot, tapi akhirnya terima dengan senang hati. Rupa-rupa adanya cerita balak!!

4. Keadaan itu sama juga dengan beri ganjaran wang kepada orang tertentu yang meluluskan sesuatu projek atau tender. Kadang2 orang tidak selesa menerima wang berbungkus, tetapi selesa dengan pakej yang menarik seperti tanah balak, rumah, kereta, dan ada juga pernah dengar cerita tentang perempuan sebagai hadiah.

5. Namun begitu Nik Aziz mungkin berpendapat, apa salahnya dia berbelanja untuk mendapatkan sesuatu contohnya beli baju, beli kereta. Jawatan Menteri Besar sangat besar nilainya, ketika arus pilihanraya menunjukkan PAS tengah menjadi. Jawatan itu sangat strategik untuk mata rakyat. Nah... Cara bercerita seolah macam ini, kelantan memang kita punya, Kedah kita dapat, Perak pun mesti dapat, walaupun perlu beli berjuta-juta.

6. Dalam politik mana ada halal haram. Hadi tak kisah pun dengan penomena kafirkan org UMNO hingga umat islam berpecah, ekoran celupar mulutnya berceramah 1981 dulu. Waktu aruah Ibrahim Libya mengajak orang-orangnya melawan polis, yang mati telah didewakan, disebut shahid dan tak perlu mandi. Tak semena-mena timbul peti derma mangsa memali, duit berjuta, tapi keluarga mangsa tak pernah rasa. Dalam politik, orang peduli apa. Serban untuk tunjuk-tunjuk sahaja. Hati (bukan Hadi) belum tentu bersih.

7. Kembali kepada isu balak sebagai ganjaran kepada jawatan MB, itu memang sah rasuah. Tetapi Nik Aziz peduli apa. Dia dewa, dia boleh kilas dengan fatwa segera dari mulut tuanya. Sama juga dengan Hadi. Dalam keadaan begitu jugalah mereka menerima Anwar yang disebut dalam keputusan mahkamah sebagai peliwat, dengan selesa sebagai regu dan teman.

8. Dalam keadaan begitu juga mereka selesa berpaut dengan DAP, seolah Amanat Hadi yang telah dicetak berjuta2 helai terpampang dirumah2 tidak relevan lagi.  Tak heran kalau Hadi dan Nik aziz masuk neraka lebih awal dari orang lain, semata-mata kerana mereka merosakkan akidah dan kefahaman rakyat, menipu tentang isu Kafir hanya untuk berkuasa.

Ingatan kepada Nik aziz dan Hadi, serban bukan ukuran kepada kebaikan dan kenegaraan. Nizar mungkin kena sedar, dia hanyalah barang dagangan, macam periuk belanga, kopi, gula dan arang. Ngeh dan Nga tak perlu tutup hakikat, bahawa rasuah perlu ada dua orang pemberi dan penerima, dan kedua-duanya untung.


wallahualam.

Monday, December 24, 2012

Fatwa Hadi - Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir

MENGHUKUM orang Islam sebagai kafir kerana berbeza pendirian politik bukanlah satu perkara baharu malah sudah berakar umbi sejak munculnya sebuah parti politik yang menggunakan agama sebagai platform ideologinya. Hal ini dapat dibaca menerusi pelbagai tulisan sama ada yang ditulis oleh sarjana tempatan mahupun luar negara yang mengkaji politik orang Melayu di Kelantan untuk tempoh 1960-an hingga masa kini.

Prof. William Roff misalnya menghimpunkan beberapa rencana yang ditulis oleh pengkaji dan budaya tempatan Kelantan dalam naskhah Kelantan: Religion, Society and Politic in Malay States (1974); Prof. Clive Kessler yang melakukan kajian beberapa tahun mengenai politik Kelantan dalam Islam and Politics in a Malay State, Kelantan 1838-1969 (1978); Prof. N John Funston dalam Malay Politics in Malaysia: A Study of the Malays United Organisation and Party Islam (1980); Prof Hussin Mutalib, Islam and Ethnicity in Malay Politics (1990); Prof. Firdaus Abdullah dalam Radical Malay Politics: It Origins and Early Development (1985); dan beberapa orang lagi telah menemukan bahawa pertembungan politik yang berteraskan nasionalisme dan ideologi Islam telah menyebabkan berlakunya persoalan kafir mengkafir sesama umat Islam.

Sunday, December 23, 2012

Fatwa Hadi - Zainon Ismail (C.N. Al-Afghani)

NAMA ZAINON ISMAIL tidak begitu dikenali ramai kerana figura bertubuh kecil tetapi berhati waja ini lebih dikenali dengan nama C.N. Al-Afghani. Nama itu sebenarnya merujuk kepada Cikgu Non.

Manakala Al-Afghani itu pula kerana beliau pernah berjuang bersama Mujahiddin di bumi Afghanistan demi mencari syahid ekoran pegangan beliau selepas taksub dengan amanat Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Akibat amanat Abdul Hadi yang mengkafirkan UMNO pada tahun 1981, perjalanan hidup C.N Afghani berubah secara drastik. Dek kerana ketaksuban terhadap amanat tersebut beliau tidak lagi mampu berfikir dengan kewarasan akal apabila sanggup mengkafirkan abang dan ayah sendiri.
Beliau juga terlibat dalam cubaan untuk menyerang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama enam tahun kerana dakwaan terlibat mengetuai Kumpulan Mujahidin Malaysia (KMM) C.N. Afghani tampil menceritakan kepada wartawan Wartawan Mingguan Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA kenapa beliau melahirkan buku Kafirkan Aku? yang memaparkan kepincangan politik Pas.


MINGGUAN: Sebagai seorang bekas aktivis dan ahli seumur hidup yang begitu tegar dengan perjuangan Pas, apa sebenarnya yang mendorong saudara menghasilkan buku Kafirkah Aku?
ZAINON: Pertama sekali atas kepentingan ummah berdasarkan pengalaman saya sendiri semasa mengkafirkan keluarga terutama abang saya hanya kerana dia ada jawatan dalam UMNO Perlis. Cukup lama saya putuskan hubungan dengan dia. Akhirnya saya fikir sampai bila? Benda ini mempengaruhi saya begitu lama. Ketenangan saya terganggu dengan isu ini.
Hubungan saya dengan bapa juga renggang pasal isu ini. Sebelah isteri pun sama. Saya tidak ziarah kalau mereka ada hubungan dengan UMNO, saya tidak pernah bermalam di rumah bapa mertua malah ketika dia meninggal dunia pun saya tak ziarah secara sepatutnya. Saya tahu dia meninggal dunia tapi sengaja tidak segera untuk pergi ziarah. Saya tidak sembahyangkan jenazah bapa mertua. Saya cuma pergi masa dia dah dibawa ke kubur.
Bukan saya sahaja yang terbelenggu dengan masalah ini. Ramai lagi ahli-ahli Pas yang berpegang kepada prinsip seperti saya berdepan dengan dilema yang sama. Jadi bagaimana nak selesaikan masalah ini. Ia soal akidah yang penghujung syurga atau neraka.
Maknanya selagi saya tidak selesaikan isu ini, sampai ke hari ini saya rasa berdosa. Dosa mengkafirkan ayah dan abang serta saudara seagama ini begitu menghantui saya sehingga akhirnya saya fikir tidak boleh lagi berdiam diri sebab itu saya menghasilkan buku Kafirkah Aku. Ia satu dakwah untuk menyedarkan ahli-ahli Pas dan masyarakat umum.

Sebagai seorang anak dan adik, apa perasaan saudara di kala ucapan kafir itu dilafazkan kepada ayah dan abang.
ZAINON: Isu ini bukan berlaku kepada diri saya sahaja. Sebaik sahaja terbit Amanat Haji Hadi, sepanjang malam kami di dalam Pas mengadakan usrah. Dalam usrah itu kita bincang isu soal kafir mengkafir dan kita berpegang kepada keputusan perbincangan iaitu UMNO kafir. Maka, sesiapa sahaja yang terlibat dengan UMNO walaupun saudara kandung mahu pun ibu bapa sendiri mereka kafir. Oleh kerana amanat itu, kita ahli-ahli Pas percaya perpisahan kami dengan saudara kandungan dan ibu bapa itu kerana Allah SWT.
Bila kita percaya perpisahan itu kerana Allah, ahli Pas percaya apabila meninggal dunia kelak tiada dosa apa-apa kerana mereka itu tadi kita anggap melanggar hukum Allah. Mereka bersubahat kerana bersetuju mengundi UMNO. Maknanya, kami rasa jalan yang diambil itu memang betul bertepatan dengan hukum kerana apa yang diberitahu oleh kepimpinan Pas begitu. Jadi kita peganglah kepada benda ini.
Ayah saya memang kecewa dan dia pernah tulis surat. Surat itu ada pada saya sampai hari ini. Abang saya pula bila malam saya cakap terus terang bahawa antara kita putus hubungan adik-beradik, dia tersangat kecewa hingga dia kata: "Takkan sampai macam tu sekali kot" tapi malam itu saya kata balik: "memang macam inilah...Prinsip kami macam inilah,".

Apa sebenarnya peristiwa yang menerbitkan keinsafan kepada saudara kerana selama bersama Pas, saudara bukan sahaja sanggup mengkafirkan keluarga sendiri malah berhijrah ke Afghanistan kerana yakin dengan jihad dan syahid yang cuba diimplimentasi di Malaysia?
ZAINON : Sempadan keinsafan saya ini selepas berlakunya penyelewengan tabung memali. Akibat cuba mendedahkan isu penyelewengan ini saya dipecat dari Pas. Kemudian selepas 2008, apabila Pas merampas Kedah tetapi tidak melaksanakan beberapa tuntutan hukum berkait dengan judi dan arak dan ia direstui oleh pimpinan Pas Pusat termasuk oleh Presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri. Ini mengukuhkan lagi kesedaran saya.
Kami di dalam Pas sebelum ini dididik menganggap UMNO sebagai parti taghut antaranya kerana tidak menghapuskan judi dan arak tapi kerajaan Pas Kedah hari ini menghalalkan apa yang dilarang oleh hukum sebagai mana yang dijelaskan oleh Abdul Hadi pada awal tahun 80-an. Sekarang ini, Kedah mengamalkan perkara sama yang telah difatwakan sebelum ini sebagai kafir. Ini bermakna kerajaan Pas Kedah juga taghut.

Berdasarkan pengalaman sendiri dan rakan-rakan dalam Pas, adakah saudara percaya punca utama perpecahan di kalangan orang Melayu pada hari ini adalah disebabkan Pas yang memperalat agama mengikut acuan dan kepentingan politik sendiri?
ZAINON : Dulu memang saya pun berpegang kepada Amanat Haji Hadi iaitu UMNO kafir. Sebelum saya berpegang dengan amanat itu hubungan saya dengan ahli keluarga dan masyarakat tiada masalah. Masa kenduri-kendara pun kita bersama, tiada sempadan perpisahan. Tapi bila amanat itu keluar pada 1981 dan kami berpegang kepada fatwa UMNO itu kafir, di situlah bermula kita memisahkan diri.
Walau sebaik mana pun UMNO cuba berbaik, kita akan tolak. Mereka jemput ke majlis pun kita akan tolak kerana tidak mahu makan bercampur dengan orang 'kafir' dan kita memang diajar begitu. Dari situlah mula keluar fatwa sembelihan orang UMNO tidak sah, jenazah orang UMNO haram ke atas ahli Pas untuk sembahyang dan mandikan, perkahwinan dengan orang UMNO tidak sah dan banyak lagi. Perpecahan ini memang berpunca daripada sikap pemimpin Pas dari dulu hingga sekarang. Orang Pas sendiri tidak mahu berbaik-baik dengan orang UMNO. Malah mereka akan memberi pelbagai alasan yang tidak logik dalam mewajarkan perkara ini. Contoh terbaik sekarang ini, mereka kata bantuan yang dihulurkan kerajaan itu walau baik macam mana pun untuk rakyat, penuh dengan 'racun'.

Selepas melihat dan melalui sendiri perpecahan ini adalah saudara merasa perjuangan yang cuba digerakkan ini sebagai jihad untuk menyatukan kembali umat Islam di Malaysia ini?
ZAINON: Saya tidak boleh mendiamkan diri, saya kena berjuang untuk menyelesaikan masalah ini dan tiada cara lain melainkan secara terbuka saya menyeru Abdul Hadi yang mengeluarkan amanat itu supaya ambil satu sikap lebih bertanggungjawab, kerana selagi mana beliau tidak tarik amanat itu. Selagi itulah ahli-ahli Pas yang memegang prinsip seperti saya ini akan terdedah dengan masalah yang menekan perasaan kami sampai bila-bila
Abdul Hadi perlu sedar, kesan perpecahan akibat amanat beliau itu cukup besar seperti terjadinya peristiwa memali, solat dua imam, bercerai-berai dan macam-macam lagi. Ini perkara serius, apa lagi benda yang serius dalam agama selain akidah? Dalam isu kafir mengkafir ini semua ulama sudah mengatakan selagi mana orang tu mengucap dua kalimah syahadah, tidak boleh mengkafirkan orang tetapi kenapa pemimpin Pas sehingga ke hari ini, bersetuju mengkafirkan UMNO.
Ketika memulakan usaha ini, saya sedar risiko, ugutan, serta akan hilang kawan tetapi apabila direnung, saya tidak boleh lagi mengambil sikap berdiam diri. Maka, saya mengambil ketetapan untuk menjaga kepentingan ummah khususnya perpaduan umat Islam lebih daripada perasaan sayang saya kepada Pas. Saya terpaksa ketepikan ini semua demi selamatkan ummah dan Islam.

Semakin tinggi ilmu agama seseorang itu sepatutnya dia semakin tawaduk dan merendah diri tetapi dalam soal amanat ini meskipun telah menyebab perpecahan, Abdul Hadi cukup degil dan tidak mahu tarik balik, mengapa itu berlaku?
ZAINON: Saya rasa ini semua kerana ego. Ego bahawa ilmu yang mereka miliki itu lebih baik berbanding ilmuan lain yang bukan kalangan Pas. Mereka rasa hanya ulama dalam Pas sahaja ilmunya terbaik, tinggi dan boleh dipakai oleh masyarakat. Ulama-ulama lain walau sebaik mana pun dia, Pas tidak akan iktiraf malah kalau Abdul Hadi sendiri selepas isytihar keluar Pas meskipun tidak masuk UMNO tapi bersetuju dengan dasar UMNO akan dianggap sesat pemimpin Pas termasuk Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagi mereka, ilmu agama ini hak milik orang Pas sahaja. Walaupun kita pakai hujah yang sama, tafsir yang sama, surah yang sama. Maknanya di sini ada satu sifat keegoan yang tinggi yang tidak mahu mengaku bahawa ilmu orang lain baik daripada dia. Saya tidak mahu kata lebih tapi kalau ikut kenyataan pemimpin-pemimpin Pas yang lalu, ego ini sifat syaitan.

Antara asas kepada Amanat Haji Hadi dalam mengkafirkan UMNO adalah kerana berkawan dengan MCA dan MIC tetapi sekarang dalam konteks hubungan Pas dengan DAP kenapa boleh pula dihalalkan?
ZAINON : Benda ini memang banyak orang yang mempersoalkannya. Kalau dulu mereka mengatakan antara hujah mengkafirkan UMNO kerana berbaik dengan MCA dan MIC sekarang ini mereka pula berbaik dengan DAP kononnya mengikut Piagam Madinah. Benda ini satu penipuan. DAP bersetuju dengan Pas ini bukan kerana Islam tetapi kerana Pas itu sebuah parti. Ada beza antara Pas dengan Islam. Pas ini parti politik, Islam itu pegangan agama.
Sebab itulah pimpinan DAP selalu sebut mereka bersetuju dengan Pas ini bukan kerana Islam. Jelas di sini apa yang disebut Abdul Hadi dulu berbalik kepada beliau semula. Sebab itu ulama-ulama seperti Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria melarang mengkafirkan orang kerana takut balik kepada kita. Pas sama ada sedar atau tidak, setuju atau tak setuju terjerat dalam isu ini.

Apakah gesaan saudara kepada ahli-ahli Pas agar dibuka minda dan pintu hati untuk melihat segala teguran ini secara terbuka?
ZAINON: Pertama sekali saya sebagai orang yang terlibat meminta sangat sama ada pemimpin mahu pun ahli-ahli Pas agar mereka bersifat terbuka. Setiap teguran daripada mana-mana pihak khususnya dalam konteks perpaduan ini demi kebaikan ummah. Saya sendiri menegur ini atas kehendak peribadi saya tanpa dipaksa oleh sesiapa. Dulu saya dah tegur secara dalaman dalam kes Memali tapi dipandang sepi.
Jadi sekarang ini saya buat buku biar masyarakat tahu saya dah tegur pimpinan pas. Biar seluruh rakyat baca Kafirkah Aku dan kemudian buat komen. Kalau ada pemimpin mahu pun ahli Pas tidak puas hati, saya sedia berjumpa dengan mereka pada bila-bila masa. Kepada kepimpinan Pas, buatlah yang terbaik untuk ummah. Saya bukan mahu menghina ulama dalam Pas tapi terimalah pandangan pihak lain terutama ulama di luar Pas demi kepentingan ummah.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121223/re_04/Saya-cukup-menyesal#ixzz2FtBYrOtZ
© Utusan Melayu (M) Bhd