Monday, December 31, 2012

Padah fatwa mengkafir

AMANAT Haji Hadi yang pernah diucapkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981 telah menghangatkan polemik kafir-mengkafir sesama Islam di negara ini.
Amanat itu dilihat sebagai punca di sebalik insiden-insiden pelik tetapi benar seperti solat fardu dua imam, mengharamkan sembelihan orang UMNO dan mengulangi akad nikah sekiranya dinikahkan oleh kadi kerajaan. Amanat itu juga dikatakan menjadi pencetus peristiwa Memali pada 19 November 1985.
Namun, seperti yang dijelaskan oleh bekas Ketua Polis Negara, TAN SRI ABDUL RAHIM NOOR kepada wartawan Mingguan Malaysia, HUSSAINI AMRAN dan jurufoto, ZAINI HUSIN dalam satu wawancara eksklusif di kediamannya di Damansara Utama, Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini, Amanat Abdul Hadi cuma satu kesinambungan daripada fatwa Pas yang terdahulu.
Kupasan terperinci oleh Abdul Rahim tentang isu Amanat Haji Hadi memberikan kita pelbagai perpekstif berbeza berhubung asal usul isu kafir mengkafir oleh Pas dan kesan amanat itu terhadap ketenteraman negara.

MINGGUAN: Boleh Tan Sri jelaskan latar belakang di sebalik isu kafir mengkafir yang tercetus susulan Amanat Haji Hadi?
ABDUL RAHIM: Berdasarkan kepada pemahaman dan pengalaman saya sewaktu masih berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dahulu khususnya ketika mengetuai Cawangan Khas seterusnya Ketua Polis Negara, jika kita mahu mengkaji latar belakang di sebalik isu kafir mengkafir sesama umat Islam berikutan penyebaran Amanat Haji Hadi, kita perlu memahami naluri politik orang Melayu Islam di Semenanjung Malaysia.
Dari segi geografi, Semenanjung Malaysia kelihatan seperti terbelah dua kepada pantai timur dan pantai barat dengan banjaran Titiwangsa di bahagian tengah. Begitu juga, nampaknya, naluri politik orang Melayu Islam di negara ini semacam berbeza antara mereka di pantai timur dan pantai barat. Dalam konteks ini, pantai timur merujuk kepada Kelantan, Terengganu dan sebahagian daripada Pahang manakala pantai barat merangkumi negeri-negeri lain di Semenanjung Malaysia.
Punca isu kafir mengkafir ini mula tercetus di kawasan pantai timur khususnya di Kelantan. Semacam ada kaitan dengan naluri politik orang Melayu di kawasan berkenaan. Selepas tercetus di Kelantan, ia merebak pula ke Terengganu. Fenomena itu berkait secara langsung dengan strategi politik untuk mendapatkan kuasa memerintah negara atau negeri. Mereka mahu mencari pengaruh. Kalau tiada pengaruh, bagaimana hendak mendapatkan penyokong atau memenangi pilihan raya.

Adakah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang merupakan individu yang mencetuskan perbuatan kafir mengkafir itu?
ABDUL RAHIM: Secara amnya, rakyat mengetahui Abdul Hadi dikaitkan dengan Amanat Haji Hadi yang disampaikannya menerusi satu ceramah di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981.
Sebenarnya, perbuatan kafir mengkafir oleh ahli-ahli Pas telah tersebar kira-kira dua dekad sebelum Abdul Hadi memberikan amanatnya. Amanat beliau itu merupakan kesinambungan dasar perjuangan Pas yang terdahulu.
Sama seperti Amanat Haji Hadi, isu kafir mengkafir sekitar tahun 1960-an dikaitkan dengan taktik perjuangan Pas untuk mendapatkan kuasa dan pengaruh politik. Realpolitiknya ialah untuk mengalahkan UMNO.
Gelombang naluri politik pantai timur yang ditiup oleh Pas mulai dirasai pada peringkat awa kemerdekaan, malah boleh dikatakan ia bermula sejak Persekutuan Tanah Melayu atau Malaya diberi kuasa untuk melaksanakan pemerintahan sendiri oleh penjajah British pada 1955. Suasana berpolitik di pantai timur lebih-lebih lagi di Kelantan dilihat mempunyai haluan atau taktik sendiri. Cara mereka adalah dengan memainkan sentimen agama Islam untuk mencari pengaruh.
Semasa menghadapi Pilihan Raya Umum 1955, UMNO menerima sokongan penuh daripada orang Melayu termasuk di Kelantan. Apabila gelombang naluri politik pantai timur mula bertiup, UMNO mula berpecah kepada dua puak.
Satu puak mahu UMNO mengekalkan identitinya manakala puak yang lain mahu melihat UMNO bersifat lebih Islamik. Golongan kedua akhirnya keluar dari UMNO dan menubuhkan Pas.
Walaupun ada orang Melayu pantai timur kekal patuh menganggotai UMNO, mereka yang keluar dari UMNO seolah-olah mengasingkan diri daripada politik Melayu arus perdana. Naluri politik pantai timurlah yang mendorong mereka menganggap UMNO sebagai tidak cukup Islamik, sekular dan lebih bersifat nasionalis. Golongan ini melihat seolah-olah politik arus perdana UMNO itu meminggirkan Islam. Mereka mencari haluan sendiri. Hasilnya, Pas berjaya membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum pertama selepas negara kita merdeka iaitu pada tahun 1959.
Bagaimanapun, pada peringkat awal Pas memerintah Kelantan, isu kafir mengkafir belum lagi ditonjolkan. Pas sendiri pada masa itu masih belum membuang imej nasionalis walaupun matlamatnya adalah untuk menegakkan negara Islam. Sangat berbeza dengan Pas sekarang di bawah Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Politiking menjadi cukup rancak selepas Kelantan jatuh ke tangan Pas. UMNO bergiat aktif untuk mengambil semula negeri itu. Pada masa itu, salah seorang tokoh UMNO yang penting ialah Tengku Razaleigh Hamzah.
Beliau merupakan seorang putera raja yang mempunyai hubungan rapat dengan istana Kelantan. Tengku Razaleigh seorang yang berpengaruh bukan sahaja di Kelantan bahkan juga dalam pucuk pimpinan UMNO. Boleh dikatakan, Tengku Razaleigh merupakan salah seorang `putera mahkota’ di dalam UMNO. Malah, beliau sering disebut-sebut sebagai tokoh yang bakal menjadi pemimpin tertinggi parti dan negara. Namun, Tengku Razaleigh perlu membuktikan keupayaannya dan usaha menawan semula Kelantan merupakan satu cabaran kepada beliau.
Pengaruh kuat Tengku Razaleigh khususnya dengan istana Kelantan telah menimbulkan satu pergolakan politik yang hebat di negeri itu. Ketegangan politik memang dirasai di negeri-negeri lain tetapi di Kelantan lebih hebat lagi kerana membabitkan seorang tokoh politik berdarah raja. Tengku Razaleigh mampu menggugat kedudukan Pas di Kelantan dan pernah dikaitkan dengan tindakan istana Kelantan semacam memulaukan kerajaan negeri yang diterajui Pas. Dalam situasi sebegitu, sudah tentu Pas terpaksa mencari jalan untuk memperkukuhkan kedudukannya di Kelantan.
Para strategis Pas pada ketika itu telah merangka cara-cara yang boleh dipraktikkan bagi memperluas pengaruh parti dan memperkukuh kedudukannya di Kelantan buat selama-selamanya. Mereka mahu menjadikan Kelantan hanya untuk orang Pas. Salah satu cara yang digunakan adalah menerusi sentimen agama.

Bagaimana strategi yang dirangka itu boleh membawa kepada isu kafir mengkafir?
ABDUL RAHIM: Tindakan kafir mengkafir sesama Islam yang dilakukan oleh Pas mula dikesan di Kelantan sejak 1963. Situasi itu berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum Kedua pada 1964. Tindakan itu digunakan oleh Pas untuk melemahkan sokongan rakyat Kelantan kepada UMNO dalam pilihan raya umum tersebut. Perbuatan kafir mengkafir juga telah memecahbelahkan kedudukan Melayu Islam di seluruh negara secara umum dan di Kelantan secara khusus serta mengancam ketenteraman awam dan keselamatan dalam negeri.
Bagi memahami latar belakang di sebalik tindakan kafir-mengkafir, kita perlu melihat kepada sejarah penubuhan Dewan Ulama Pas Kelantan pada 1963. Badan itu diwujudkan bagi menjayakan matlamat Pas memenangi Pilihan Raya Umum Kedua. Badan tersebut juga sepatutnya bebas namun diletakkan di bawah sebuah jawatankuasa kerja Pas Kelantan. Dewan Ulama Pas Kelantan mempunyai tiga fungsi utama:
1. Bertanggungjawab membuat kajian mengenai ajaran Islam untuk tujuan-tujuan politik dan kepentingan parti;
2. Menjadi kuasa mengeluarkan fatwa-fatwa untuk disampaikan kepada rakyat di Kelantan khususnya dan di seluruh negara umumnya;
3. Dewan ini juga bertanggungjawab menyebarkan fatwa kepada rakyat dengan kerjasama guru-guru agama di Kelantan yang juga ahli-ahli Pas.
Setelah tertubuhnya Dewan Ulama Pas Kelantan, beberapa mesyuarat telah diadakan bagi membincangkan beberapa perkara selain mengeluarkan beberapa ketetapan yang didakwa oleh mereka sebagai hukum atau fatwa.
Dalam satu mesyuarat yang diadakan di kediaman Menteri Besar Kelantan pada Ogos 1963 di Kota Bharu, Dewan Ulama Pas Kelantan telah membuat keputusan untuk mengeluarkan hukum-hukum serta fatwa-fatwa berikut:
1. Orang Islam yang berkongsi kuasa dengan orang kafir untuk memerintah negara menjadi kafir atau haram;
2. Sesiapa yang mengundi di atas parti-parti yang berkongsi ini maka dia menjadi haram juga. Jika mengundi dengan reda dan penuh kesedaran maka dia menjadi kafir tetapi jika tidak reda atau dipaksa, haram sahaja.
Dewan Ulama Pas Kelantan seolah-olah telah mengetepikan Majlis Fatwa Negeri Kelantan dan tidak mempercayai ulama-ulama lain di negeri itu apabila mereka mengeluarkan dua fatwa berkenaan.
Berikutan daripada mesyuarat itu, salah seorang ahli Dewan Ulama Pas Kelantan ketika itu yang agak berpengaruh, Yaakob Ishak, dilaporkan pernah berkata, apabila keputusan ini diambil, beliau berpendapat seorang umat Islam yang memasuki parti yang berkongsi dengan orang kafir jikalau reda menjadi kafir. Orang Islam kalau masuk Perikatan jikalau reda menjadi kafirlah mereka. Yaakob dikatakan turut menyertai mesyuarat itu dan menyatakan pendapatnya.
Beliau juga dipercayai berkata, jika seseorang reda sembahyang berimamkan orang Perikatan maka menjadi kafirlah orang tersebut.
Pendapat-pendapat lain yang timbul adalah jika reda berkahwin dengan orang Perikatan maka anak yang mereka dapat itu haram dan jika memakan sembelihan orang Perikatan adalah juga haram. Hubungan kelamin dengan orang Perikatan walaupun telah berkahwin dianggap berzina.
Yaakob juga pernah mendedahkan bahawa beliau percaya pemimpin dan pembesar Pas di Kelantan berasa runsing dan takut mereka akan kalah pada pilihan raya 1964 kerana mereka tidak mendapat sokongan daripada rakyat. Kerana tiada jalan lain untuk menang pilihan raya 1964, maka pemimpin dan pembesar Pas telah merancang fatwa hebat dengan menggunakan fatwa mengkafir.
Seorang lagi ahli Dewan Ulama Pas Kelantan ketika itu, Omar Daud mendedahkan bahawa tiga hari selepas mesyuarat itu, beliau mula menyebarkan hukum-hukum yang diluluskan oleh dewan itu kepada penduduk Kampung Kubang Kua, Pasir Mas, Kelantan. Penyebaran ini dibuat dalam sebuah madrasah di Pasir Mas. Beliau telah menghebahkan bahawa jika si suami masuk Perikatan dan si isteri seorang ahli Pas, maka perkahwinan mereka adalah dibatalkan, maka anak-anak mereka adalah haram. Jika seseorang ahli Perikatan menyembelih lembu atau binatang lain, ahli-ahli Pas tidak boleh makan kerana ahli-ahli Perikatan sudah kafir.
Fatwa kafir mengkafir ini reda setelah 10 orang yang terlibat ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) sekitar 1963 dan 1964. Situasi bertambah reda apabila Pas berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan pada Pilihan Raya Umum 1964 dan parti itu terus memerintah sehingga 1969. Nampaknya, tindakan kafir mengkafir telah berbaloi sebagai strategi yang digunakan Pas untuk kekal berkuasa di Kelantan.
Kegiatan menyebarkan fatwa kafir mengkafir terhenti selepas peristiwa 13 Mei 1969 di mana Pas menjadi salah satu parti komponen Barisan Nasional (BN) yang ditubuhkan pada 1 Julai 1974. Pada Pilihan Raya Umum Keempat (1974), Pas bertanding sebagai parti komponen BN dan pada masa itu tidak timbul isu kafir mengkafir. Ini jelas menunjukkan fatwa yang dibuat Dewan Ulama Pas Kelantan itu adalah untuk kepentingan politik semata-mata.

Bagaimana isu kafir mengkafir timbul semula?
ABDUL RAHIM: Pada Disember 1977, Pas kembali menjadi parti pembangkang. Kemudian, satu pilihan raya kecil diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Terengganu pada Julai 1979. Isu kafir mengkafir timbul semula. Menjelang pilihan raya kecil itu, seorang pemimpin Pas, Mustaffa Abu Bakar mula mengeluarkan fatwa kafir mengkafir dalam satu ceramah di Kampung Keruak, Ulu Besut, Terengganu.
Beliau berkata, sembahyang berimamkan orang BN tidak sah. Sembelihan orang BN tidak boleh dimakan. Nikah yang dilakukan oleh jurunikah BN tidak sah. Kalau ada hubungan kelamin hukumannya berzina. Kalau dapat anak, anak itu anak luar nikah.
Maka, berkumandanglah semula fatwa kafir mengkafir setelah Pas berhenti menjadi parti komponen BN. Fatwa itu telah diterima oleh ahli-ahli pas dan penyokong mereka sehingga mencetuskan kejadian-kejadian berikut: solat fardu Maghrib dan Isyak, solat sunat terawih dua imam, solat fardu Jumaat dua kali di masjid yang sama, solat fardu Jumaat di Kelab Pas yang tidak diiktiraf jabatan agama, akad nikah semula suami isteri yang telah dinikahkan oleh kadi kerajaan dan mengadakan tanah perkuburan berasingan untuk orang Pas. Ini telah merebak di Terengganu selain di Kelantan.
Abdul Hadi hanya mengeluarkan amanatnya yang terkenal itu dan dipegang kuat oleh ahli-ahli Pas pada 7 April 1981. Seperti dilaporkan Utusan Malaysia pada 27 Disember lalu, Nik Abdul Aziz meminta Abdul Hadi agar jangan berubah dengan pendiriannya dan jangan menarik balik amanatnya.
Tidakkah ini ertinya Nik Abdul Aziz bersekongkol dengan Abdul Hadi dalam hal Amanat Haji Hadi?

Berdasarkan kepada pengalaman Tan Sri semasa menerajui PDRM, apakah kesan Amanat Haji Hadi kepada keselamatan negara?
ABDUL RAHIM: Bagi negara kita, ada dua aspek ancaman keselamatan sebenarnya, iaitu angkara kumpulan ekstremis kiri dan ekstremis kanan. Ekstremis kiri digolongkan sebagai komunis. Kumpulan ekstremis kiri di negara ini, Parti Komunis Malaya (PKM) berhasrat menggulingkan kerajaan, merampas kuasa politik secara kekerasan dan setelah berjaya, menubuhkan sebuah republik komunis. Keadaan ini telah lega sepenuhnya hasil perjanjian damai dengan PKM pada 1989.
Ada dua jenis ekstremis kanan yang diberi perhatian oleh pihak berkuasa iaitu yang bersifat keagamaan dan bersifat perkauman.
Ekstremis keagamaan merangkumi penganut semua agama di negara kita.
Contohnya, kegiatan mana-mana kumpulan agama yang mahu mencapai kuasa politik melalui rampasan kuasa dan pertumpahan darah. Pada hemat saya, jika kumpulan Ibrahim Libya itu tidak dibasmi di peringkat awal, ia boleh menjadi lebih besar dan lebih mengancam keamanan. Ibrahim Libya mempunyai keperibadian dan iltizam yang kukuh untuk sesuatu gerakan ke arah itu.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121230/re_01/Padah-fatwa-mengkafir#ixzz2GbYH1X9T
© Utusan Melayu (M) Bhd