Wednesday, January 02, 2013

HADI perlekeh Zainon: konon cikgu sekolah rendah saja.

Perlekeh Zainon: Hadi angkuh, tinggi diri

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Tindakan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memperlekehkan taraf pendidikan bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail memperlihatkan sikap angkuh dan tinggi diri beliau sebagai pemimpin.
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Abdullah Zaik Abd. Rahman berkata, selaku seorang pemimpin parti Islam atau dianggap ulama, Ahli Parlimen Marang itu tidak sepatutnya cepat melenting dengan teguran atau pandangan ahli dan golongan bawahan.
"Tindakan Abdul Hadi ini hanya memakan diri dengan memperlihatkan keangkuhan dan tinggi diri beliau selaku ulama.
"Beliau perlu menilai secara rasional teguran yang diberi dan bukannya melenting dengan mengeluarkan kenyataan memperlekehkan orang lain," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Hadi baru-baru ini memperlekehkan Zainon atau lebih dikenali sebagai C.N. Al-Afghani hanya kerana beliau seorang guru sekolah rendah.
Tindakan itu berikutan Zainon membangkitkan isu Amanat Haji Hadi dalam bukunya Kafirkah Aku?
Tambah Abdullah Zaik, beliau yakin, kenyataan Abdul Hadi itu bukan hanya menyinggung perasaan pengarang buku tersebut tetapi turut menyinggung perasaan umum.
Mengulas isu sama, Presiden Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Ibrahim Mohd. Hassan berkata, Abdul Hadi seharusnya bersifat terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan umum.
Katanya, tindakan memperlekehkan taraf pendidikan pihak lain adalah tidak wajar.
"Beliau (Abdul Hadi) jangan mengkritik peribadi seseorang sebaliknya mengkritik idea dan pandangan orang tersebut.
"Isu siapa dia, taraf pendidikannya tidak seharusnya dikritik. Jika dia mampu melahirkan idea yang bernas dan rasional, dia patut disokong," ujar beliau.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130102/po_08/Perlekeh-Zainon:-Hadi-angkuh,-tinggi-diri#ixzz2Gox4zQKm
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hadi ditegur perlekeh taraf pendidikan C.N. Al-Afghani


KUALA LUMPUR 31 Dis. - Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak sewajarnya menilai seseorang melalui taraf pendidikan atau pekerjaannya.
Sebaliknya Pengerusi Jawatankuasa Kerja, Himpunan Ulama Muda Malaysia (Ilmu), Fathul Bari Mat Jahya berkata, Abdul Hadi sepatutnya menilai seseorang itu melalui inti pati dan isi kandungan yang dizahirkan sama ada melalui ungkapan atau penulisan.

“Jika dirasakan benar apa yang diungkapkan, maka kita harus menerimanya dan jika tidak, kita wajib menolaknya.

“Dalam sejarah Islam, empat imam iaitu Abu Hanifah, Malik bin Anas, Al-Syafi’e dan Ahmad bin Hanbal bukannya lepasan universiti pun, tetapi tahap keilmuan mereka diiktiraf dan diterima pakai seluruh umat Islam sehingga hari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan Abdul Hadi memperlekeh bekas ahli Pas seumur hidup, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N. Al-Afghani dengan menyifatkan penulis buku Kafirkah Aku? itu sebagai hanya seorang guru sekolah rendah, baru-baru ini.
Abdul Hadi berkata demikian ketika mengulas tindakan Zainon yang membangkitkan semula isu Amanat Haji Hadi menerusi buku Kafirkah Aku? itu.
Mengulas lanjut, Fathul Bari berkata, jika mahu dinilai daripada taraf pendidikan seseorang, Abdul Hadi sepatutnya memperlekehkan kebanyakan penceramah Pas yang taraf pendidikan mereka juga tidak tinggi.
“Saya ingin menasihatkan beliau memperbetulkan ungkapannya terhadap Cikgu Non (Zainon).
“Jangan berhujah dengan penilaian taraf rendah," katanya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130101/po_04/Hadi-ditegur-perlekeh-taraf-pendidikan-C.N.-Al-Afghani#ixzz2Gov4DPUO
© Utusan Melayu (M) Bhd