Thursday, January 03, 2013

JAKIM panggil Hadi

Presiden PAS kena tindakan jika enggan tarik amanat kafirkan UMNO 

Kuala Lumpur: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mahu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menarik balik amanatnya yang mengkafirkan UMNO. 
Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha, berkata jabatan itu akan terlebih dulu memanggil Hadi berhubung amanat terbabit yang membawa kepada perpecahan umat Islam di negara ini. 


Beliau berkata, pelbagai tindakan diambil sebelum ini tidak berjaya mengekang amanat itu daripada diamalkan pengikut parti berkenaan khususnya yang fanatik walaupun Majlis Fatwa Kebangsaan sudah mengharamkannya. 

Katanya, andai Hadi ingkar dan mahu terus mempertahankan amanat itu, tindakan lain boleh diambil termasuk mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. 

Kesan amanat 

“Kesan amanat itu besar, mereka lepaskan kepada masyarakat dan tidak cuba memperbetulkan semula, tuduh orang Islam lain tidak boleh kawan, kafir. Kalau kita lihat, di negara Arab mereka berpecah belah soal mazhab, kita di sini soal amanat... sebenarnya mengkafirkan orang (Islam) lain itu lebih parah. 
“Jadi, kita akan panggil pemimpin PAS berkenaan untuk perbetulkan amanat itu. Jika tidak berjaya, mungkin akan ada tindakan lain sebab peruntukan undang-undang itu ada dari segi aspek memecah-belah keamanan, membawa situasi tidak aman, sama ada kepada masyarakat kecil, komuniti dan sebagainya. 

“Benda ini (amanat) pun sudah lama, tindakan pun sudah diambil, tapi timbul balik,” katanya kepada BH, semalam. 

Mengenai pendirian pemimpin PAS yang menafikan Amanat Hadi itu mengkafirkan UMNO, Othman berkata, pihaknya mempunyai bukti jelas bahawa ia memang mengkafirkan UMNO. 

“Mengikut rekod kami yang dikumpul sejak amanat itu diucapkan, elemen mengkafir itu jelas ada. Kami ada bukti dan simpan semua termasuk rakaman ceramah mereka. Kesan apa yang mereka ucapkan itu juga berlaku termasuk dalam majlis perkahwinan, kenduri kendara, makan sembelihan orang UMNO tak boleh. 

“Di kampung saya (Kelantan), sampai sekarang masyarakat masih berpecah-belah kerana amanat itu,” katanya. 

Isu kalimah Allah 

Mengulas cadangan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Injil versi bahasa Melayu, beliau berkata, dalam konteks ulama, mereka berpandangan perkara itu tidak perlu dikaji kerana sudah ada ketetapan kalimah Allah adalah hak mutlak umat Islam. 

“Ketetapan sudah lama dibuat, muzakarah (fatwa) pun sudah bincang. Isu ini tidak sepatutnya ditimbulkan kerana boleh mengelirukan umat Islam,” katanya.