Cemuhan DAP terhadap SPR memakan diri
KUALA LUMPUR 4 Jan. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyifatkan tindakan pembangkang yang selama ini mencemuh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akhirnya memakan diri apabila DAP mendakwa berlaku kesilapan dalam pengiraan undi pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu baru-baru ini.
Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali berkata, pengakuan DAP itu nyata menimbulkan spekulasi kerana kesilapan tersebut dilihat bagi memenangkan calon Melayu di dalam parti berkenaan.
"Mereka menyalahkan SPR kononnya tidak betul dan tidak telus dengan pengundi berjuta-juta orang, tetapi mereka dengan kira-kira 2,600 perwakilan pun kira tidak betul, macam mana mahu menjadi pemerintah.
"Saya tengok DAP membuat lawak terbaik untuk tahun ini, sebelum ini tiada wakil Melayu dalam Jawatankuasa Kerja Pusat parti itu tetapi selepas bising-bising dan buat kiraan semula, ada pula wakil Melayu," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan akhbar yang mendakwa DAP mengakui berlaku kesilapan dalam pengiraan undi dalam pemilihan parti pada pertengahan Disember lalu.
Dalam keputusan yang dipinda itu, Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari yang sebelum ini dikatakan mendapat 305 undi, sebenarnya telah mendapat 803 undi, sekali gus meletakkannya pada kedudukan 20 dalam Jawatankuasa Kerja Pusat DAP.
Menurut Ibrahim, dengan segala kontroversi yang berlaku, beliau melihat DAP tidak pernah bersungguh-sungguh bagi memastikan kaum Melayu mendapat tempat dalam kepimpinan parti itu.
"Selepas peristiwa dengan bekas Naib Presiden DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim, mereka sudah serik, maknanya pemimpin Melayu tidak boleh bercakap, kalau tidak kena pecat.
"Parti DAP tidak lebih daripada parti diktator milik anak beranak Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng serta dibantu Karpal Singh dan anak-anaknya," katanya.
Sementara itu, Ketua Pemuda MIC, T. Mohan berkata, keputusan undi yang diperoleh Zairil selepas kiraan semula itu amat meragukan kerana telah melonjakkannya dari tangga ke-39 kepada tangga ke-20.
"DAP sepatutnya dinamakan Dramatic Action Party. Kononnya, mereka memperjuangkan ketelusan dan keadilan pemilihan tetapi akhirnya mereka yang terpesong daripada prinsip asas demokrasi dan tidak menghormati keputusan pemilihan.
"Mereka timbulkan pelbagai kekecohan terutamanya dalam protes Bersih tetapi akhirnya mereka tidak dapat 'membersihkan' rumah sendiri, tuhan sahaja tahu apa salah guna kuasa yang pemimpin DAP bakal lakukan jika mereka perintah negara," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130105/po_07/Cemuhan-DAP-terhadap-SPR-memakan-diri#ixzz2H72YGWNl
© Utusan Melayu (M) Bhd
CATATAN: Yang tersenarai dalam 20 nama ialah Zairil, manakala yang terkeluar ialah Vincent Wu, Asalnya Vincent Wu mendapat tempat ke-6 dengan undian 1,202 undi, akhirnya telah dikorbankan untuk memasukkan Zairil Khir Johari di tempat ke-20.