Monday, June 03, 2013

Pemuda Pas sambut baik SPR dikawal selia Jawatankuasa Khas Parlimen

2 Jun - Dewan Pemuda Pas Pusat menyambut baik langkah kerajaan untuk meletakkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di bawah kawal selia Jawatankuasa Khas Parlimen yang dianggotai wakil rakyat kerajaan dan pembangkang.

Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, keputusan kerajaan itu merupakan antara usaha bagi memastikan SPR menjadi sebuah badan yang lebih bebas.
Pembentukan jawatankuasa khas tersebut jelas beliau, sekali gus memperlihatkan sesuatu yang lebih baik untuk masa depan politik negara.

"Langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk letakkan SPR di bawah Parlimen adalah langkah yang positif dan saya menerimanya dengan baik.

"Saya berharap jawatankuasa ini akan dapat merumuskan sesuatu yang diterima seluruh rakyat yang menyokong kerajaan ataupun pembangkang," katanya ketika ditemui di kediaman Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Pulau Melaka di sini.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130603/po_03/Pemuda-Pas-sambut-baik-SPR-dikawal-selia-Jawatankuasa-Khas-Parlimen#ixzz2V8u5ds2I 
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Anwar kejar undi kaum India

2 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat hanya berminat 'mengejar' undi kaum India berbanding memberi fokus kepada kebajikan mereka.

Perkara itu dinyatakan oleh pemimpin Barisan Bertindak Hak Penganut Hindu (Hindraf), P. Uthayakumar yang menegaskan Anwar juga tidak berminat dalam menyelesaikan isu-isu melibatkan kaum India.
Beliau turut mempersoalkan tindakan Anwar melabel Hindraf sebagai bersifat perkauman selepas pernah menyokong serta 'menunggang' perjuangan pertubuhan itu pada 2008.

"Anwar telah gagal memberi maklum balas kepada Hindraf walaupun pergerakan ini pernah beberapa kali mencuba untuk berhubung dengan beliau.

"Kita telah menulis beberapa pucuk surat kepadanya berhubung banyak isu melibatkan kaum India, tetapi beliau tidak pernah beri maklum balas," katanya seperti dipetik dalam portal The Mole, http:// www.mole.my hari ini.

Baru-baru ini, Anwar mengkritik barisan baharu Kabinet dan mempersoalkan keputusan kerajaan melantik Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Dakwa Anwar, Waythamoorthy sebelum ini pernah menolak beberapa teras dalam Perlembagaan Persekutuan dan Hindraf merupakan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) versi India.

Pertengahan bulan lalu, Uthayakumar pernah mencabar Anwar untuk berdebat selepas pemimpin pembangkang itu melabel Hindraf dan Perkasa sebagai pertubuhan pelampau.

Menurut Uthayakumar, pakatan pembangkang juga didapati bersalah terhadap kaum India kerana gagal mendukung hak asasi kaum tersebut.

"Mereka tidak ambil peduli terhadap orang India kerana mereka tidak mendapat keuntungan politik dengan mengetengahkan rungutan kaum itu.

"Hanya sebelum pilihan raya umum lalu, mereka terlibat dengan isu 300,000 orang India di negara ini tidak memiliki taraf kewarganegaraan dan berjanji akan menyelesaikannya. Tetapi tidak banyak yang mereka buat," jelasnya.

Kepada soalan sama ada Anwar akan menyahut cabaran berdebat, beliau berkata: "Saya tidak fikir beliau akan menerima cabaran terbabit kerana Anwar tiada idea terhadap menyelesaikan isu-isu berkaitan kaum India dan beliau tiada niat untuk memperjuangkan dan menamatkan rasisme terhadap kaum itu."



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130603/po_04/Anwar-kejar-undi-kaum-India-bukan-jaga-kebajikan---Uthayakumar#ixzz2V8tX19p7
© Utusan Melayu (M) Bhd 

3 perkara paling Anwar takuti

KUALA LUMPUR 2 Jun - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menganjurkan siri perhimpunan haram di seluruh negara kerana mahu mengalih tumpuan rakyat daripada tiga perkara yang paling ditakutinya.

Ketiga-tiga perkara itu ialah rayuan kes liwat Mohd. Saiful Bukhari Azlan, isu pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah dan pendedahan bekas rakan karibnya, Datuk S. Nallakaruppan berhubung aktiviti seks beliau,

Ahli Dewan Negara, Senator Ezam Mohd. Noor berkata, Anwar akan memastikan ketiga-tiga perkara tersebut 'dilenyapkan' daripada minda rakyat walaupun tindakannya itu akan mengundang kemudaratan terhadap agama, bangsa dan negara.

"Anwar sememangnya cenderung untuk melakukan pelbagai tindakan terdesak bagi memastikan 'pekung' di dadanya tersisip rapi dalam bajunya kerana beliau tahu ketiga-tiga perkara itu akan menyebabkan karier politiknya boleh terkubur.

"Jadi, dalam tindakan terdesak terbaharunya ini, beliau mengheret penyokongnya untuk turun ke jalan supaya perhatian rakyat teralih daripada isu sebenar yang menyelubungi Anwar," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ezam berkata, politik yang dibawa Anwar bukan berlandaskan menyelesaikan masalah rakyat atau negara tetapi semata-mata untuk memuaskan nafsu peribadinya sahaja.
Bukti paling jelas, katanya, ialah pendedahan sahabat karib Anwar iaitu bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang memberitahu Ketua Pembangkang itu sanggup berbohong dan mengkhianati janji kerana mahu menjadi Perdana Menteri.

"Setiap rakyat yang waras seharusnya sudah nampak jelas jenis pemimpin apa Anwar ini, iaitu jenis pemimpin yang mempergunakan rakyat bagi menyelesaikan masalah peribadinya bukan pemimpin yang sanggup berkorban kepentingan peribadinya untuk rakyat.

"Negara ini sudah terlalu lama menjadi mangsa pemimpin songsang ini dan memang sampai masanya untuk riwayat politik songsang Anwar ditamatkan demi kepentingan rakyat dan negara," tegasnya.
Dalam pada itu, bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari berkata, secara lazimnya Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu akan bersungguh-sungguh mencipta suatu peristiwa besar bagi melindungi kegelisahannya maka sebab itu perhimpunan haram digerakkan.

"Anwar telah menggerakkan segala jentera PKR untuk menjayakan perhimpunan haram, biarpun gagal mendapat sokongan penuh daripada pemimpin tertinggi Pas dan DAP. Ternyata perhimpunan tersebut adalah agenda peribadi beliau, tetapi menipu penyokong pembangkang dan rakyat Malaysia kononnya untuk menyelamatkan negara,'' ujarnya.

Seorang lagi bekas Setiausaha Sulit Ahli Parlimen Permatang Pauh itu, Muhamad Rahimi Osman berkata, Anwar kini benar-benar terdesak untuk mengalihkan pandangan rakyat terhadap segala isu yang dihadapinya.

Jelasnya, terlalu banyak dosa Anwar kepada negara, sehinggakan Ketua Pembangkang itu tidak lagi mampu menjawab satu persatu isu tersebut dan cara terbaik bagi melarikan diri adalah dengan menghasut rakyat turun ke jalanan atas sesuatu perkara yang remeh dan tidak benar.

"Anwar juga risau dengan tindakan undang-undang yang akan diterimanya jika disabitkan bersalah atas tiga isu tersebut, jadi, tindakan berhimpun ini juga adalah usaha menakut-nakutkan kerajaan agar menunjukkan dia masih popular dalam kalangan rakyat.

"Saya gesa rakyat agar tidak percaya kepada Anwar dan kerajaan tidak akan sekali-kali membiarkan beliau bebas bermaharajalela atas segala kesalahan yang telah dilakukan," tegasnya.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130603/po_01/3-perkara-paling-Anwar-takuti#ixzz2V8rwpblo
© Utusan Melayu (M) Bhd