Monday, March 31, 2014

Bukan Kelakar: Anwar cabar Wan Azizah jawatan Presiden PKR

KUALA LUMPUR 29 Mac - Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan diadakan Mei ini bakal menyaksikan pertarungan menarik bagi kerusi Presiden, apabila penyandangnya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan dicabar oleh suaminya sendiri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sehingga tempoh pencalonan ditutup pada pukul 5 petang di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya, hanya Dr. Wan Azizah dan Anwar menyerahkan borang bagi merebut jawatan tersebut.
Keadaan itu menimbulkan persoalan, apakah pertembungan itu benar-benar akan berlaku atau ia sekadar satu lagi sandiwara politik oleh PKR dalam usaha memastikan jawatan presiden tidak dikuasai oleh individu lain.

Pemerhati politik melihat, langkah Dr. Wan Azizah untuk mempertahankan jawatan itu dengan dicabar oleh Anwar sebagai 'insurans' memandangkan Anwar masih dalam peringkat rayuan terhadap hukuman penjara lima tahun kerana meliwat pembantu peribadi, Saiful Bukhari Azlan.

Pada 2007, Dr. Wan Azizah turut bertanding bersama Anwar bagi jawatan yang sama dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang itu bertindak sebagai 'insurans' kerana Anwar yang baru sahaja dibebaskan dari penjara mempunyai larangan lima tahun daripada aktif berpolitik.

Bagi jawatan Timbalan Presiden pula, penyandangnya, Azmin Ali yang dianggap tidak sehaluan dengan Dr. Wan Azizah bukan sahaja akan berhadapan dengan 'musuh ketat politiknya' iaitu Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tetapi juga empat calon lain.

Mereka ialah Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution, K.Ramachandran dan S.Murali.

Kerusi Naib Presiden pula menyaksikan perebutan oleh 15 calon termasuk penyandangnya iaitu Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Padang Serai N.Surendran, bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Datuk Dr. Mansor Othman dan Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh.
Antara mereka yang mencuba nasib bagi merebut jawatan itu ialah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mat Akin dan Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.

Untuk jawatan Ketua Wanita PKR pula, penyandangnya, Zuraida Kamarudin akan berdepan satu lawan satu dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Roziah Ismail.

Jawatan Ketua Pemuda yang dikosongkan oleh Shamsul Iskandar akan direbut oleh tiga calon iaitu ADUN Seri Setia yang juga Timbalan Speaker DUN Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad, ADUN Batu Caves, Amirudin Shaari dan Nazri Yunus.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20140330/po_02/Anwar-cabar-Wan-Azizah-jawatan-Presiden-PKR#ixzz2xT2IHfd6
© Utusan Melayu (M) Bhd