Monday, September 08, 2014

Langkah Kajang gerak sumbang pembangkang

Lebih setahun dirancang dan setelah berbulan-bulan berkrisis, akhirnya nasib Langkah Kajang berada di tangan Sultan Selangor. Kerana melanggar titah Sultan dan menghantar hanya satu nama calon untuk jawatan Menteri Besar Selangor dua hari lalu, PKR bakal berdepan kemelut lebih panjang.
Krisis ini juga mungkin berakhir dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri dan pilihan raya terpaksa diadakan. Arkitek Langkah Kajang, Rafizi Ramli, pasti tidak terfikir bahawa perancangan menaikkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor tergelincir begitu jauh daripada matlamat asal. Pelan yang difikirnya bagus, hebat dan terperinci akhirnya meninggalkan kerosakan, keburukan dan kemusnahan yang pelbagai dan mendalam kesannya.
Yang pasti, Anwar tidak akan menjadi Menteri Besar. Calon penggantinya, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, pun belum pasti. Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sudah dipecat sebagai bendahari dan ahli PKR. Beberapa pemimpin PKR juga sudah keluar parti. Kerana terlalu tumpu kepada usaha rampas kuasa di Selangor, urusan pemilihan parti menjadi medan perang puak-puak dalam PKR. Imej pemimpin dan parti berada pada tahap paling rendah dalam tempoh 15 tahun.
Pemimpin 'nampak bodoh'
Antara terkesan Langkah Kajang ialah Rafizi sendiri. Sejak dilantik Pengarah Strategi PKR pada 2010, dia mempamerkan diri sebagai orang paling cerdik dalam parti. Ramai pemimpin lebih senior 'nampak bodoh' dan akal mereka tidak berguna lagi. Justeru, walaupun dianggap orang penting dalam PKR, Rafizi dicemuh oleh ramai pemimpin pakatan pembangkang.
Ada yang berkata Anwar yang rosak menjadi lebih rosak kerana mendengar nasihat Rafizi. Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pernah suruh Rafizi berhenti 'bercakap bodoh', manakala Datuk Zaid Ibrahim anggapnya 'budak pejabat Anwar yang jahat'. AJK PAS Pusat Nik Abduh Nik Aziz menganggap Rafizi seorang yang gelojoh dan mengkritik Langkah Kajang sebagai 'projek tanpa perancangan'. Faekah Hussin mendakwa Rafizi mempunyai agenda dan kepentingan diri jika Dr Wan Azizah jadi Menteri Besar Selangor.
Pemimpin DAP, Aspan Alias mempersoal: "Politik tidak hanya bersandar kepada undang-undang. Dalam demokrasi, ada elemen moralnya kerana yang hendak ditadbir ialah manusia. Manusia bukan batu atau haiwan yang boleh disembelih dan dijadikan hidangan enak-enak. Dari sudut moral, tindakan Anwar boleh dipersoal. Ia terjadi semata-mata kerana kemarahan Anwar yang digalakkan oleh beberapa pemimpin di dalam PKR yang bercita-cita tinggi sambil mengaku beliaulah yang bertanggungjawab."
Dalam pada itu, hubungan PKR/DAP-PAS menjadi renggang sehingga wujud kesangsian dan ketidakpercayaan antara pemimpin kedua-dua pihak. Mereka tidak berlapik lagi bila saling mengutuk. Diktator, bodoh, khianat, jahat, jengkel, biadab dan pelbagai gelaran buruk sudah lazim sesama mereka.
Bak 'buah buruk menunggu jatuh'. Golongan ulama dan konservatif PAS tidak mempercayai Anwar, seperti Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang juga menjadi sasaran pemimpin PKR-DAP yang tidak bersetuju dengan pendirian beliau.
Ada cadangan keluar daripada pakatan
Dewan Ulama dan PAS Selangor berikrar untuk menyokong sesiapa sahaja menjadi Menteri Besar kecuali Dr Wan Azizah. Semakin ramai dalam kalangan pemimpin PAS yang mahu tahaluf siyasi dengan PKR-DAP dikaji semula, malah ada yang mencadangkan keluar daripada pakatan.
Menzahirkan pendirian DAP, kolumnis Lim Hong Siang berpendapat PAS tidak sepatutnya membiarkan PKR terjebak dengan pengalaman yang pernah dilaluinya pada tahun 1977 dalam soal pemilihan Menteri Besar.
"PAS seolah-olah tidak mempedulikan sistem yang sedang diamalkan. Masyarakat Cina cuba memahami tekanan PAS tapi ramai tidak sangka bahawa dalam isu calon Menteri Besar pun PAS dilihat bermasalah. Saya tidak tahu apa rasional di sebalik strategi PAS ini. PAS harus tumpu masa menawan semula hati penyokong yang terkilan."
Sasterawan Dinsman menempelak kerana PAS telah dijadikan kambing hitam. "Puncanya masalah dalaman PKR. Mereka yang mencipta Langkah Kajang untuk atasi masalah itu, dan libatkan pengundi di Kajang dan beberapa pihak lagi, maka PAS pun terlibat. Apakah ia sesuatu yang terjadi secara sengaja hasil suatu perancangan pihak tertentu yang kemudiannya tidak dapat mengawal keadaan seperti yang sepatutnya? " (Harakah 29 Ogos 2014)
Collateral damage kepada Langkah Kajang yang gagal ialah perpecahan dalam PAS. Dahulu orang PAS berbalah dalam diam, tetapi hari ini, mereka berkelahi macam orang di pasar besar. Sudah ada wakil rakyat PAS yang sanggup ketepikan bai'ah parti dan tinggalkan jemaah, dipercayai dipengaruhi pemimpin kanan PAS yang pro-Anwar.
Kata Dinsman: "Wujud suatu kemelut tersendiri dalam kalangan pimpinan PAS, dan terserlah beberapa wajah yang hodoh dan tidak menyenangkan. Lebih parah ialah menghina agama pun sudah menjadi sikap yang dianggap rasional, wajar dan munasabah."
Perbezaan pendapat antara pemimpin PAS begitu ketara sehingga wujud puak pro-Hadi dan puak pro-Timbalan Presiden Mohamed Sabu. Jelas merujuk kepada Mat Sabu dan puaknya, Ketua Penerangan Dewan Ulama Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata: "Ada usaha mencemarkan nama Presiden dengan pelbagai cara negatif. Usah dikira serangan di Facebook walaupun oleh mereka yang mengaku ahli PAS.

Langkah Kajang gerak sumbang pembangkang | Berita ...

www.bharian.com.my