Nota Kepala: PANDANGAN PERIBADI TENTANG BLOG, catatan kehidupan manusia selagi nadi masih berdenyut.
Ada masa kita lena dan bermimpi. Ada masa kita sedar dan berfikir. Kita berfikir dengan menghubungkait pengetahuan, ilmu, amalan, pengalaman, persepsi dan cerita-cerita. Kita boleh berfikir seorang diri, dan fikiran itu kekal dalam minda. Kita boleh berfikir dan berkongsi dengan yang lain dalam bentuk perbualan, jenaka dan sembang-sembang. Jika settingnya serius, fikiran yang dikongsikan itu disebut ulasan, pandangan, pendapat dan ucapan. Setting serius yang saya maksudkan ialah mesyuarat, kempen, ceramah, perbahasan samada di bilik mesyuarat biasa, di TV, di parlimen, di kedai kopi atau dimana-mana saja.
Apa itu BLOG? Blog sekadar muka surat catatan-catatan pemikiran. Kalau sekadar ulasan kepada sesuatu peristiwa ianya sukar untuk dikategorikan sebagai salah. Kehidupan kita penuh dengan pemikiran-pemikiran dan ulasan-ulasan. Pemikiran akan jadi salah kalau ianya ada kaitan dengan maklumat palsu.
Kalau BLOG memaparkan sesuatu lalu ada orang jadi malu, itu tidak menjuruskan pandangan mengatakan BLOG seperti itu salah. Kalau dipaparkan cerita seseorang ditangkap BERKHALWAT sebagai contoh, walaupun orang yang disebut itu berasa sangat malu, tidak pula menjadikan BLOG itu salah. Sedangkan proses penghakiman di Mahkamah yang kita masih dokong sebenarnya membuahkan bukan sedikit rasa MALU, MARAH dan KECEWA di kalangan yang terlibat. Pun begitu tidak dinafikan ada yang suka begitu asalkan namanya terkenal dan dia sering disebut dalam masyarakat.
Saya suka memerhati cara kempen politik dibuat, terutamanya kempen merebut jawatan. Kaedah biasa yang dilakukan ialah menggembar-gemburkan kehebatan diri, dan cuba memburukan lawan. Disitu penuh dengan cerita betul dan tidak betul. Disitu penuh dengan cerita kecil dibesarkan. Disitu juga ada cerita tiada diadakan.
Perang kempen ini berjalan dalam senyap dan bising. One to one atau dalam kumpulan. Tempat kempen boleh dimana-mana. Sambil minum dimeja gerai, di coffee house, di lobby hotel, dibilik-bilik, dimana-mana saja dan dengan medium yang bermacam-macam.
BLOG akhirnya sekadar medan memberi pendapat. Bernas atau tidak bukan soal yang terlalu penting, seperti mana setengah pihak masih bersungut dengan kualiti perbahasan di Parlimen dewan yang mulia. Dewan yang mulia juga sebagai saksi kepada peristiwa jerit pekik, maki hamun, kata-kata kesat, foto-foto orang terlena letih, cerita-cerita pentingkan dan tonjolkan diri dan lain-lain lagi.
Akhirnya saya ingin merumus bahawa BLOG adalah sekadar cermin kehidupan manusia yang wujud dimana-mana: dijalan-jalan, diwarung-warung, dikedai-kedai, dirumah-rumah, di parlimen, dan di balik tabir.
Akhirnya apalah sangat BLOG. Apalah sangat akhbar, apalah sangat media, apalah sangat kempen. Ia sekadar sesuatu yang berlaku, berlalu, dibaca, didengar, dikupas dan akhirnya boleh dilupa.
Terima kasih.