Saturday, February 09, 2013

PAS terpaksa korbankan Nasharudin


MARANG: PAS terpaksa 'mengorbankan' bekas timbalan presidennya, Nasharudin Mat Isa demi cita-cita politik, kata Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tindakan itu, katanya, membuktikan PAS akur dengan desakan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang memang tidak menyenangi Nasharudin sejak tercetusnya idea muzakarah dan mewujudkan kerajaan perpaduan bersama UMNO yang dipelopori Ahli Parlimen Bachok itu.
Beliau berkata, Nasharuddin adalah seorang yang liberal dan benar-benar serius mengenai kepentingan Islam serta orang Melayu dan tidak bertindak atas kepentingan politik semata-mata.

"Beliau komited mahu melihat penyatuan ummah dan Islam dan pemergiannya ke Gaza juga untuk memberi sokongan kepada rakan-rakannya di Palestin yang diperjuangkan lama sebelum ini, namun PAS memecatnya daripada Majlis Syura kerana lebih mengutamakan kepentingan politik berbanding perpaduan umat Islam," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai desakan Nasharuddin yang mahu PAS menilai semula kedudukannya dalam pakatan pembangkang.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, PAS akan terus akur dengan apa saja desakan PKR dan DAP walaupun terpaksa menjual prinsip agama yang diperjuangkan selama ini.

"Dulu asalnya nak perjuangkan negara Islam dan dijadikan manifesto pilihan raya, kini ditukar kepada negara berkebajikan kerana Pengerusi Kebangsaan DAP, Karpal Singh tidak mahu negara Islam.
"PAS tiada suara dalam pakatan pembangkang yang lebih didominasi PKR dan DAP, sebab itu semakin ramai penyokong PAS peringkat akar umbi mahu parti itu keluar dan bergerak bersendirian yang senada dengan desakan Nasharuddin," katanya. - BERNAMA

2013/02/07 - 16:31:54 PM