Salam semua dan bertemu kembali.
- Menjelang pilihanraya.
1. Kalaulah menteri turun dengan meletakkan kesediaan bekerja bersama rakyat, itulah sebaik-baiknya, tetapi menteri sering turun memaksa rakyat bekerja untuknya.
2. Ada menteri mengusung pegawai-pegawainya apabila berpindah kementerian. Itu juga dipandang serong, apatah lagi jika pegawai agak keterlaluan dan rakusnya tidak berselindung.
3. Ada menteri dilihat tidak jujur, andainya rakyat nampak tindak tanduk mereka berkait rapat dengan paksaan polisi dan agenda yang selesa diterjemah dalam projek dan kontrak untuk dikaut licin. Rakyat tidak semestinya buta dan bodoh.
4. Seorang pemandu teksi pernah berkata, zaman Nazri dulu permit teksi individu tak ada keluar, hanya permit consortium sahaja, tapi zaman Noh, sekurang-kurang ada juga borang boleh diisi, walau untuk dapat belum pasti. Disitu rakyat bina persepsi mudah. Seorang menteri yang baik dan seorang yang tidak baik.
5. Ada menteri yang membuat keputusan tanpa mengambilkira pandangan rakyatnya, tanpa ambil peduli apa akan jadi dihujung jalan, kerana fokus mereka adalah immediate, demi projek dan kontrak. Tapi rakyat tahu musibah 5 tahun kedepan bila menteri sudah berhenti atau bertukar ganti. Tetapi berapa ramai rakyat sedia bertelagah dengan menteri dan pegawai-pegawainya.
6. Ada menteri yang membiarkan adik dan abang mereka berkeliaran mengetuk bilik, membawa cadangan, proposal dan permintaan, hinggakan rakyat rasa dipaksa menggadai integriti
7. Malang sekali jika setpol menteri pernah terlibat dengan penipuan pemilihan UMNO bahagian. Tambah-tambah jika penipuan itu terserlah dalam media. Orang politik faham dan boleh terima, tetapi rakyat tidak selesa bermuka dua, lalu rakyat tidak lagi percaya sampai bila-bila. Sukar salahkan rakyat jika mereka percaya, jika begitulah setpol, begitu jugalah menterinya.
8. Malang jika pejabat menteri membahagikan rakyat dalam dua kategori, satu orang kita dan satu musuh kita. Tambah malang jika yang dimaksudkan orang kita adalah orang yang memudahkan orang menteri mengaut wang. Lebih malang lagi jika "musuh kita" itu adalah orang yang masih mahu berpijak dibumi nyata dan mengibar panji integriti. Yang dianggap musuh mungkin penyokong setia Umno dan sering mengundi BN.
9. Yang suka dengan tindak tanduk menteri dan pegawai-pegawainya hanya segelintir peniaga yang beruntung. Peniaga yang malang lari mengerumuni menteri dan pegawai menteri yang lain. Rakyat umum hanya nampak kerakusan. Mereka benci dan lari dari BN, walaupun mereka tahu parti lain belum pasti nilai integriti dijunjung tinggi.
10. Walaupun saya merungkai pandangan yang agak negatif, itu hanyalah peringatan untuk menteri dan pegawai menteri memahami apa pandangan rakyat. Mereka boleh menidakkannya dan selamba berkata itu sekadar persepsi. Walhal persepsi yang terbina dalam minda rakyat, tanpa usaha menjernih kekeruhan dan masih rakus bermaharajalela, itulah yang dibawa rakyat ke peti undi pilihanraya.
11. Menteri dan pegawai menteri boleh berubah jika mahu, dan rakyat tiada masalah terus menerus mengundi BN sampai mati. Apa pun, dalam nada gembira masih ada menteri yang baik dan kental berwibawa, dikelilingi pegawai yang pandai dan teguh pendirian untuk bangsa, agama dan Negara.Maaf dan Terima Kasih
(post lama diulang kembali)