Akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu berkata, langkah menolak bulat-bulat Perkasa dalam membela kepentingan Melayu akan membawa Umno ke ambang risiko besar.
Dalam ruangan mingguannya Awang Selamat berkata akhbar itu mengemukakan persoalan apakah wajar kesemua parti komponen termasuk Umno mengambil pendirian menolak Perkasa pimpinan Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali.
Ruangan Awang Selamat berkata, persoalan itu dilontarkan kerana sudah menjadi bahan bualan terutama di kalangan orang Melayu.
Mesyuarat BN yang dipengerusikan oleh Setiausaha Agung Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor Rabu lalu mencapai persetujuan untuk menjauhi Perkasa atas alasan kerana ia dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan BN meraih sokongan pengundi pelbagai kaum selain menjejaskan konsep 1 Malaysia.
“Pada Awang, Perkasa hanyalah NGO biasa sebagaimana NGO bukan Melayu lain, yang sekadar membela kepentingan kaum masing-masing.
“Persekitaran politik yang dilihat tidak menentu dan berbahaya kepada kepentingan Melayu menyebabkan ramai menyokong Perkasa. Suka atau tidak, Perkasa menjadi sandaran baru kepada orang Melayu dan umat Islam,” kata Awang Selamat.
Semalam buat kali ketiga, Ibrahim mempersoalkan pendirian BN itu.
Awang Selamat menambah, dalam banyak isu melibatkan kepentingan bangsa dan agama, Perkasa lebih diyakini berbanding parti politik.
Awang Selamat menambah, langkah menolak bulat-bulat Perkasa dalam membela kepentingan Melayu akan membawa Umno ke ambang risiko besar.
“Pada Awang, Perkasa bukanlah ultra rasis berbanding banyak NGO yang bertaut rapat dengan parti-parti Cina seperti DAP, MCA dan Gerakan.
“Ketika parti-parti Cina saling lengkap melengkapi dengan NGO mereka, ada pemimpin Umno yang mahu menolak Perkasa tanpa melihat daripada perspektif lebih besar,” kata Awang Selamat.
Awang Selamat menambah, akhirnya tidak setuju sama sekali dengan pandangan bahawa Perkasa akan menggugat BN kerana dituduh rasis.
“Lakukanlah kajian menyeluruh. Hampir kesemua isu yang disuarakan oleh Perkasa adalah sebagai menyanggah tuntutan keterlaluan oleh pelbagai pihak tanpa menjaga sensitiviti orang Melayu dan prinsip dalam perlembagaan negara.
“Perkasa tidak pernah meminta lebih untuk orang Melayu walaupun ekonomi negara dikuasai oleh kaum Cina. NGO itu hanya mahu mempertahankan apa yang ada pada Melayu pada waktu ini kerana Melayu masih jauh ketinggalan,” katanya.
Awang Selamat juga melahirkan pendapat mirip dengan Perkasa dalam keghairana Umno dan BN mahu mendapat sokongan bukan Melayu.
“… janganlah mudah terjebak dengan percaturan yang silap. Awang khuatir, yang dikejar tidak dapat, yang dikendong keciciran.
“Sokongan bukan Melayu adalah penting kepada BN namun pasak yang perlu dijaga adalah Melayu.
“Itu juga adalah asas kenegaraan yang bermula dengan kemurahan hati dan pengorbanan Melayu kepada kaum lain sejak sebelum merdeka lagi,” katanya.
Malah Awang Selamat berkata, jika Perkasa dimusuhi, NGO itu dan Ibrahim tidak akan rugi apa-apa tetapi yang rugi adalah kuasa politik Melayu.
Semalam Ibrahim mencabar Tengku Adnan sama ada kenyataan beliau mengenai Perkasa baru-baru ini pandangan peribadinya atau pendirian rasmi Majlis Tertinggi (MT) Umno.
Presiden Perkasa itu berkata lazimnya isu yang dibincang dan diputuskan oleh MT Umno akan diumumkan oleh Presiden Umno dan oleh itu, kini timbul keraguan sama ada Setiausaha Agung Umno itu seiring dengan pendirian parti ataupun sebaliknya.
“Jika ia kenyataan peribadi, adakah ia bermakna Tengku Adnan mengatasi kedudukan Majlis Tertinggi Umno,” kata Ibrahim Ali.
RUJUK: perkasa Umno jangan lihat Perkasa saperti ‘hantu jembalang’