Menjelang persaraan, Tan Sri Musa Hassan berkata, kebelakangan ini "semacam ada tekanan kepada pasukan polis, sama ada dari pihak politik atau orang-orang tertentu". Kenyataan seperti ini memberi makna yang sangat sangat dalam. Jika yang dimaksudkan ialah menteri KDN sendiri, seolah trend ini semakin menjadi-jadi. Tan Sri Musa sangat blunt dalam hal ini, manakala yang lain pula memilih berdiam diri.
Setengah menteri tidak segan silu mengganggu pentadbiran kementerian. Gangguan yang dimaksudkan ialah campurtangan menteri dalam perjalanan pentadbiran. Tidaklah salah jika kita katakan, gangguan itu berkait dengan manusia, wang dan projek. Bukan cerita baru, tetapi lebih ketara kini. Mungkin ada kaitan dengan konsep kpi yang menuntut prestasi menteri. Mungkin juga sebab wang yang kurang, oleh yang demikian menteri terpaksa juga masuk lorong rakyat biasa bukan sekadar lorong vip.
Bagaimana kita terjemahkan episod ini kepada undi dan pilihanraya? Saya cuma jangka rakyat tidak selesa dan tidak suka. Oleh itu wajar menteri lebih hati-hati, lebih-lebih lagi jika berkait dengan pegawai besar yang akan bersara, kerana mereka masih boleh mengundi dan mereka juga ada pengikut dan penyokong.