Wednesday, April 03, 2013

Anwar Ibrahim boleh kata apa saja.

Pengumuman Penasihat PKR mengenai calon tak sah
Alor Setar: DAP Kedah membidas Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Ketua Biro Perundangan PKR Kedah, Gooi Hsiao Leung, sebagai calon bagi kerusi Parlimen Alor Setar, sedangkan ia didakwa belum diputuskan pakatan pembangkang. 




Malah, pengumuman Penasihat PKR ketika berceramah di Taman Berjaya, di sini, malam kelmarin mengundang pertandingan tiga penjuru membabitkan DAP, PKR dan Barisan Nasional (BN) di kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) nanti. 


Kami kecewa dengan tindakan PKR terutama Anwar yang membuat pengumuman calon tanpa berhubung dengan DAP. Bagi kami, pengumuman mengenai calon itu tidak sah dan kami tak terima” Lee Guan Aik, Pengerusi DAP Kedah

Pengerusi DAP Kedah, Lee Guan Aik, berkata pertandingan tiga penjuru akan berlaku jika tuntutan DAP negeri terhadap lapan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah tidak dipenuhi.

“Kami kecewa dengan tindakan PKR terutama Anwar yang membuat pengumuman calon tanpa berhubung dengan DAP. Bagi kami, pengumuman mengenai calon itu tidak sah dan kami tak terima,” katanya pada sidang media, semalam.

DAP tuntut 2 kerusi

Difahamkan, DAP sebelum ini menuntut dua kerusi Parlimen Padang Serai dan Alor Setar. Selain Hsiao Leung di Parlimen Alor Setar, PKR mengumumkan Naib Presiden parti itu, N Surendran bertanding di Padang Serai. 
Selain itu, DAP Kedah turut menuntut lima kerusi DUN selain Kota Darulaman iaitu Derga, Bakar Bata, Gurun, Bakar Arang, Lunas yang turut dikehendaki PKR.

Sementara itu, Guan Aik ketika dihubungi berkata, Anwar boleh mengumumkan apa saja tetapi DAP Kedah tetap berpegang kepada fakta bahawa soal penentuan calon pakatan pembangkang masih belum muktamad.

“Hingga kini, DAP pusat belum bagi apa-apa kata putus, begitu juga PAS pusat mengenai soal penentuan calon untuk PRU-13. Jadi, kami masih menunggu keputusan itu daripada pusat,” katanya.

Belum muktamad

Berdasarkan maklumat, soal pengagihan kerusi untuk PRU-13 antara parti gabungan pakatan di Kedah belum muktamad terutama antara PKR dan DAP yang masing-masing didakwa masih lagi berdepan pertindihan tuntutan.

PAS dilapor bakal menyenaraikan calonnya di 10 daripada 15 kerusi Parlimen di Kedah, manakala baki lima lagi kerusi diperuntukkan untuk PKR termasuk dua yang berdepan pertindihan dengan DAP iaitu Alor Setar dan Padang Serai.



Berita Harian | DAP Kedah bidas Anwar