  | 
| Ngeh  | 
Pantai Remis: Calon DAP bagi Parlimen 
Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham, malu besar apabila ditengking seorang 
nelayan warga emas ketika berkempen di sebuah kedai kopi di Pantai Remis
 Lama, di sini petang semalam.
Lebih memalukan, Pengerusi DAP negeri itu dimarahi di depan kira-kira 10
 pelanggan lain yang sedang minum di kedai kopi berkenaan.
Nelayan terbabit, Lim Pek Liang, 60, 
bukan saja bertindak memalukan Ngeh di depan pelanggan, malah enggan 
berjabat tangan dengan penyandang kerusi Parlimen itu.
Dia yang ditemui semalam berkata, Ngeh bersama calon DAP Pantai Remis, 
Wong May Ing, mengadakan sesi bertemu pengundi di kedai kopi itu 
kira-kira jam 4 petang sebelum menuju ke arahnya.
“Sebaik tiba di meja saya, dia (Ngeh) menghulurkan tangan untuk berjabat tangan, namun saya menepis tangannya.
“Ada sebab kenapa saya menolak tangan 
dan memarahinya kerana sejak menyandang kerusi Parlimen, saya tidak 
pernah lihat dia turun padang, apatah lagi mengambil tahu masalah rakyat
 di sini,” katanya.
Katanya, dia mengakui menyimpan dendam terhadap Ngeh kerana tidak membantunya mendapatkan lesen baru menangkap ikan.
Menurutnya, bot yang dimilikinya ketika 
itu rosak dan tenggelam menyebabkan dia perlu membuat permohonan baru 
kepada Jabatan Perikanan Negeri untuk menangkap ikan semula. Lim 
berkata, peluang berdepan Ngeh sangat dinantikan kerana sudah empat 
tahun dia menyimpan rasa marah itu.
Katanya, ketika kerajaan pakatan pembangkang memerintah Perak selama 11 
bulan, dia pernah memohon Ngeh menyediakan surat bagi permohonan lesen.
Bagaimanapun, katanya, Ngeh menyerahkan 
tugas itu kepada Wong, namun calon DAP DUN Pantai Remis itu sebaliknya 
menyediakan surat permohonan dalam bahasa Mandarin sekali gus tidak 
menepati syarat dikehendaki Jabatan Perikanan Negeri.
“Akibatnya, permohonan saya tidak dapat 
dipanjangkan kepada jabatan itu sebelum Ngeh dan Wong bertindak lepas 
tangan dan enggan membantu.
“Saya sangat perlukan surat permohonan itu kerana tanpanya saya tidak boleh memulakan tangkapan di laut,” katanya.
Katanya, dia kemudian mendapatkan 
bantuan Penyelaras Barisan Nasional (BN) Parlimen Beruas, Datuk Chang Ko
 Youn, sebelum permohonannya diterima.
“Saya berterima kasih kepada Chang kerana berjaya menyelesaikan masalah saya.
“Saya tidak menyangka dilayan buruk oleh
 Ngeh, namun pada masa sama percaya BN mampu lakukan sesuatu kepada 
penduduk di sini,” katanya.
Lim mengakui dia seorang penyokong kuat DAP, namun bukan ahli parti.
“Saya tidak pernah melihatnya sejak lima
 tahun lalu, tapi tiba-tiba muncul hanya kerana mahu mendapatkan 
sokongan pengundi menjelang pilihan raya umum hujung minggu depan,” 
katanya.
http://anginperubahan.blogspot.com/2013/04/ngeh-koo-ham-kena-tengking-dengan.html