Hadi dan Anwar bakal kalah dalam PRU13 |
Najib Tun Razak, pengerusi BN telah mengutamakan realisme: meletakkan calon yang padanya boleh menang. Najib seorang realis terpaksa menawarkan setengah calon walau pun terang mereka akan ditewaskan sebab mereka “war lords”, budaknya dan terpenting bagi mengekalkan perpaduan dalam parti dan kawasan tertentu; juga tuntutan dari ketua parti komponen.
Meski pun Najib telah meletakkan calon kompromi perasaan tidak puas hati terus wujud. Sebelum nama calon diumumkan semua berikrar taat setia – menerima siapa sahaja dipilih. Najib telah menggesa semua ahli wajib menyokong calon yang terpilih tetapi terang tidak semuanya demikian. DAP pula, seperti dijangka kerana ia parti Cina, meletak majoriti calonnya dari bangsa itu. Ramai orang tidak sedar faktor terpenting dalam pemilihan calon, dulu dan sekarang pun; adalah level/tingkatan penerimaan calon itu oleh presiden/Setiausaha Agung/ Mursyidul Am dan pemimpin de facto. Problem dihadapi Najib juga berlaku pada PR, sebenarnya lebih teruk lagi. Ini lumrah tetapi dalam PRU13 lebih berat, teruk dan menyeluruh yang akan memberi konsekuensi yang memudaratkan di dalam kawasan yang kritikal.
Pada keseluruhannya kedua parti tidak dapat mempersembahkan “pasukan impian” kerana hakikat politik semasa. Apa pun kedua seteru telah memberi pengundi satu pasukan yang ditegaskan Speaking: “a mixed baggage”. Perhatian saya tertumpu kepada “Kit Siang’s Johor gamble” di Gelang Patah. Adakah tindakannya bijak, “masterstroke” atau perjudian yang semberono (reckless)? Suka duka, DAP, apa simbol yang digunanya-roket, bulan, mata satu, Panglima Tertinggi DAP konsisten; dia hidup mati memperjuangkan “Malaysian Malaysia!” Maknanya sama dengan Malayan Union yang diruntuhkan orang Melayu/Islam kerana menjadikan mereka kelas dua di tanah tumpah darah mereka oleh penjajah British antara 1945-1947.
Gagasan itu ditumpaskan oleh bangsa Melayu/Islam melalui Umno. Kalau Peribumi/Melayu/ Islam tidak pintar bermain catur politik sudah tentu sejarah akan berulang!
Kit Siang sebenarnya telah mengambil risiko terbesar di Gelang Patah melawan Ghani Othman, Menteri Besar Johor berpenggal lamanya, juga ko-arkitek Iskandar Malaysia. Kalau pun Kit Siang menang apa untungnya kerana Gelang Patah majoriti Cina?.
Mengikut tradisi, Cina Johor menolak politik chauvinismenya.
Mengikut Dr Mahathir tanpa muak “Malaysian Malaysia” akan meminggirkan Melayu/Islam, bahasa dan adat resam mereka. Juga mempolarisasikan perhubungan antara kaum. Kalaulah calon Melayu/Islam Ghani Othman menang dia menjadi seorang ikon dan pelopor Politik Baru – satu petanda baik kerjasama dan perasaan muhibah antara Cina dan Melayu. Ghani akan mencatat sejarah Melayu pertama menang di kawasan majoriti Cina! Jika Kit Siang tewas - itu dan tidak mustahil - seperti ditegaskan saya di atas bermulalah Politik Baru di negara kita.
Tok Guru Nik Aziz Nik Mat, Najib, Muhyiddin Yassin, saya yakin, menang mudah. Anwar Ibrahim dan Haji Hadi Awang mungkin berpeluh sebelum selamat. Tidak mustahil kedua kalah! Hadi pernah kalah di kubunya sendiri Marang.
Anwar tidak pernah kalah dalam pemilihan apa pun kecuali semasa dia di Universiti Malaya - tewas sebagai presiden satu persatuan pelajar. Rekod pilihan rayanya baik tanpa tewas but there is always a first time! Anwar, kata musuh juga bekas mentornya Dr Mahathir, “has put his personal interests (to be prime minister) before the country’s – dia telah meletakkan obsesinya untuk menjadi perdana menteri di atas dari kepentingan negara, bangsa dan agama…” Sebenarnya tanpa Anwar, Nik Aziz dan Hadi politik Melayu, celah Speaking; “won’t be the same especially without Nik Aziz and Hadi’s obstinacy”, lebih kurang tanpa ketiga tokoh itu politik Melayu boring; ketiadaan sifat degil dan tegar hati mereka!
Minggu lepas saya terjumpa dengan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, calon BN di Lembah Pantai; sempat berbual ringkas sebelum dan selepas sembahyang jenazah di Masjid Abu Bakar Assiddiq di Bangsar untuk arwah Datuk Fatimah Majid, 93 tahun, bekas timbalan ketua Wanita UMNO, Arwah berkaitan dengan saya kerana anaknya isteri kepada adik ipar saya. Datuk Fatimah dan saya Anggota Parlimen (1974-1978).
Arwah bukan wanita pertama sebagai MP seperti yang dikatakan oleh Shahrizat Jalil juga kenyataan ucapan takziah dari Jabatan Perdana Menteri. Wanita pertama menjadi MP adalah Tun Fatimah Hashim (juga dari Johor) tetapi bertanding di Kedah sepanjang hayat politiknya.
Itu tidak boleh diragu kerana saya mengenali rapat sejarah Tun Fatimah juga secara peribadi. Halimathon Majid adalah wanita pertama dipilih menjadi ahli Federal Legislative Council dalam pilihan raya pertama, sebelum merdeka, Julai 1955. Maaf kerana digressi.
Berkatalah Raja Nong Chik kepada saya: “Tan Sri, saya lebih suka bekerja dari berbicara minda atau berdebat”. Saya telah bertanya sama ada dia sudi berbicara minda bersama Nurul Izzah yang akan diuruskan oleh saya.
Apa pun dia kelihatan benar-benar nampak sibuk berkempen, bekerja di Lembah Pantai.
Lembah Pantai, pada tradisinya, kerusi panas, satu kawasan yang sukar untuk tidak diendahkan apa lagi Nurul Izzah, “the giant killer” dalam PRU12, kini mempertahankan kedudukannya dari seorang menteri lelaki yang ingin mengambil tempatnya.
Nurul Izzah telah mematah dan memunahkan karier politik Shahrizat Jalil yang akhirnya “dimatikan” oleh Rafizi Ramli. Satu lagi pertandingan yang menarik perhatian saya ialah perlawanan kali kedua atau ketiga antara Shahidan Kasim dengan orang nombor dua Pas. Naib Mursyidul Am parti itu, Haron Din di kawasan parlimen Arau. Saya mengikuti pertandingan mereka dalam PRU11.
Saya mengikuti kempen itu dari dekat kerana saya anggap Shahidan kawan semasa kami bersama dalam parlimen juga Haron Din seorang tokoh agama saya hormati. Haron Din tewas (2004). Kedua bukan calang-calang calon. Shahidan seorang streetwise. Kepintarannya main politik mungkin memberinya kemenangan lagi tetapi Shahidan pun sedar ada golongan berpengaruh di Perlis yang mahu melihat karier politiknya tamat.
Saya juga akan mengikuti dengan penuh enthusiasme percubaan tidak putus-putus Umno Kelantan hendak kembali memerintah negeri kelahiran saya.
Juga kempen BN Perak di negeri mana saya remaja di MCKK dan ditahan di bawah ISA selama lima tahun di Kamunting. Situasi politik terus bergelora. Masa merajuk dan protes telah habis dengan penamaan calon kelmarin. Maka bermulalah perang hendap dan cah keting; sabotaj dalam kedua parti.
Dalam kawasan kedua parti jelas kuat, dalam kubu, cah keting tidak berkesan tetapi dalam kawasan kelabu peperangan “ala drone”, melalui ambush akan menjejaskan peluang menang seperti jugalah salah tindakan, aksi liar, ganas dalam PRU ini akan melemahkan lagi tradisi keluhuran demokrasi yang belum benar-benar kukuh lagi.
Barisan calon BN, PR realistik