Awal dulu dimaklumkan bahawa kerajaan era AAB adalah terbuka, berbeza dengan era Tun. Menteri-menteri tertentu pun segera ke media mengiakan, kononnya mereka kini boleh bersuara.
Kerajaan yang terbuka bukan terhenti dengan kenyataan begitu saja. Dalam keterbukaan itu, mesti ada konsep penggunaan pandangan untuk "kemakmuran dan kesejahteraan".
Keterbukaan bukanlah bermaksud ruang untuk pandangan kosong tanpa erti, seperti ramai kawan kita yang berlenggang dari buggie ke lubang no 18, sambil mendengus kerana RM60K akan terbang dalam 'betting'. Keterbukaan bukannya disahkan dengan suara dari Kinabatangan dan Jasin.
Kritikan Tun, kekal begitu saja malah diherdik. Kritikan Sang Kelembai dibedal macam keldai tercampak keluar kandang. Kritikan Ahirudin Attan dan Jeff Ooi, mengheret kedua-duanya ke Mahkamah. RPK juga tidak terkecuali.
Sementara kita mengaku terbuka, kita mudah terperanjat dan pantang dicabar.
Dato menyentuh tentang agama dan bangsa. Tidak dapat dinafikan sememangnya kita terpisah dengan garis Bangsa dan Agama. Itu cara kita hidup. Itu cara kita bersekolah. Itu cara kita makan di kedai. Itu juga cara kita tinggal di kampung dan bandar. Sering terpisah.
Rentetan peristiwa akhir-akhir ini adalah ujian penting terhadap terbukaan kerajaan seperti yang sering dilaung-laungkan. Dicelah-celah itu ada persoalan penting, tinggikah kefahaman tentang kenegaraan di kalangan pemimpin kini. Dimanakah silapnya?
(untuk scribe)