Gelombang Kuning beri signal yang sangat hebat kepada Kabinet. Silap Presiden UMNO menyentuh tentang "demonstrasi jalanan" dan "pantang dicabar" masa berucap 20 minit dalam Dewan. Patutnya jangan sentuh langsung. Barulah nampak aloof dan statesmanlike.
Saya rasa terpegun bila baca truck FRU tak dapat gerak, tersekat dalam ribuan insan.
Mengurus ribuan manusia dalam gelombang begitu bukan benda main-main. Ribuan manusia yang bernyawa, ada anak, ada bapa dan berkongsi ibu pertiwi, punya hak yang sama seperti orang di Sepetang, seperti orang di Parit Botak, Kampung Sireh, Kuala Berang, Tanjung Lumpor dan juga yang duduk dalam Kabinet.
Mengurus kerajaan dan negara juga bukan mudah. Bagi yang sudah veteran, mengurus anak dan menantu juga bukan senang. Lalu betullah ungkapan "telan mati anak, luah mati menantu". Tidak dinafikan, ramai yang pernah berhadapan dengan situasi serba tak kena. Rasa lemas!
Boleh juga kita rujuk dengan ungkapan "malu bertanya, sesat jalan". Soalnya, siapa yang patut kita tanya? Tanya budak pun boleh, tanya orang tua pun boleh. Tanya orang berpengalaman boleh, tanya orang tak berpengalaman (atau kanyiaq) pun boleh.
Kita berkongsi hak dan tanah air. Ia memberi signal besar kepada Kabinet, bahawa selepas diberi mandat memerintah, bukan bermaksud Kabinet boleh buat apa saja. Bila rakyat sangsi, bimbang dan terkeliru apatah lagi suara sumbang semakin berkumandang tentang gangguan dalam pemerintahan. Ada pulak yang kata negara kita dalam auto pilot mode.
Mungkin rakyat tidak faham. Kalau bagitu, ceritalah baik-baik, dalam bahasa mudah. Rakyat perlu faham banyak perkara, tentang SJER, tentang petrol, tentang espionage yang disebut-sebut.
Mengandaikan bahawa, orang Melayu tidak akan memangkah yang lain, sangat bahaya! Dalam keadaan tersepit, orang akan berfikir sejenak sebelum memangkah; antara anak dan menantu, antara Bola dan Koridor, antara 880 billion dan 880 projek, antara orang tua cerdik dan budak berhingus, antara jual dan sayangkan negara, antara terbela dan tergadai!
Gelombang Kuning ada mesej besar! Lets do some soul serching and soul cleansing. Kita diajar dari sekolah lagi, bila menyanyi NEGARAKU, nyanyilah dengan penuh semangat. Semangat itulah yang diperlukan untuk menjamin kesejahteraan tanah air tercinta.
(as in Ron's)