Oleh ROSLI ISMAIL

Keputusan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz tidak mahu bertanding jawatan ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno pada pemilihan parti September mengejutkan ramai pihak.

Ini mengenangkan dari semua segi laluannya untuk mempertahankan jawatan yang disandangnya sejak 14 tahun lalu itu terbentang luas.Jumlah pencalonannya banyak malah tanpa berkempen beliau diduga pasti memang.

Secara rasmi beliau memberitahu para wartawan ketika ditemui di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) Ahad keputusan itu dibuat kerana mahu menumpukan kepada tanggungjawabnya sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas.

Katanya, beliau mahu membalas budi pengundinya yang telah memberikan sokongan kepada beliau pada pilihan raya umum lepas selain pencalonan 100 peratus daripada cawangan-cawangan Umno Bahagian Padang Rengas yang membolehkan beliau menang tanpa bertanding jawatan Ketua Bahagian itu pada pemilihan bahagian baru-baru ini.

"Saya merasakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul secara serius. Saya perlu melepaskan jawatan sebagai ahli MT walaupun mendapat 126 pencalonan dari bahagian-bahagian," katanya.


Sabtu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali berkata tiga orang calon MT dari Perak iaitu Mohamed Nazri, Ahli Parlimen Pasir Salak Tan Sri Ramli Ngah Talib dan Ahli Parlimen Larut Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar menarik diri daripada bertanding MT menjadikan hanya lapan orang calon MT dari Perak.
Sebelum ini, Mohamed Nazri merupakan Ahli Parlimen dan Ketua Bahagian Chenderoh tetapi selepas proses persempadan semula kawasan pilihan raya beliau dilantik sebagai Ketua Penaja bahagian Padang Rengas dan bertanding di kawasan itu pada pilihan raya umum lalu.

"Sebagai wakil rakyat saya balik ke kawasan saya seminggu sekali mulai hari Jumaat hingga Ahad. Antara jawatan MT dengan ketua bahagian saya pilih ketua bahagian.

"Kerja di kawasan pilihan raya di samping sebagai Ketua Umno Bahagian merupakan kerja di peringkat akar umbi berbanding dengan MT. Apa yang dilakukan menguntungkan parti dan penduduk yang diwakilinya," kata beliau.

Ketika menjadi ahli MT selama 14 tahun, ia telah memberi manfaat kepada beliau dan Umno dan elok diberi peluang kepada orang baru walaupun mereka lebih tua daripadanya untuk merebut jawatan itu.

"Penarikan diri saya bukan takut kepada risiko kalah. Saya yakin akan menang dalam pemilihan itu tetapi keputusan tidak bertanding dibuat di saat-saat saya masih dihormati oleh Umno.

"Dengan jawatan Menteri yang disandang sekarang dalam ditugaskan dalam pengurusan Parlimen saya ada masa balik ke kawasan setiap minggu berbanding dengan Kementerian Pembangunan Usahawan yang sebelum ini.

"Kehilangan jawatan MT tidak terasa kehilangannya, tapi kalau di bahagiannya akan terasa dan menimbulkan rasa tidak senang hati di kalangan anggota Umno di bahagian," katanya.


Namun begitu kalangan yang rapat dengannya berkata keputusan berkenaan adalah langkah beliau kerana ingin bersara dari politik menjelang pilihanraya umum akan datang.


Kalangan yang rapat dengannya memberitahu Agendadaily,Nazri telah memberitahu hasrat berkenaan kepada beberapa orang Ketua Umno Bahagian yang telah mencalonkan beliau bertanding jawatan MT.

Kata mereka beliau ingin menumpukan perhatiannya kepada keluarga dan mengendalikan perniagaan bila bersara nanti.


“Itulah sebab sebenar Nazri buat keputusan tidak mahu bertanding jawatan MT,”kata mereka.

Berbeza dengan menteri kabinet lain,Nazri sejak sekian lama mengambil pendekatan agak low profil dari aspek kehidupan peribadinya.


Antara lain beliau satu-satunya menteri yang tidak mengadakan rumah terbuka di Kuala Lumpur pada setiap Hari Raya.

Difahamkan juga sehingga sekarang beliau masih menetap di kondominum mewah dan tidak di rumah banglo seperti menteri lain.