Sunday, April 06, 2008

Johor tidak halang EGM -Ia dibenarkan dalam perlembagaan UMNO – Abdul Ghani

JOHOR BAHRU 5 April – UMNO Johor tidak akan menghalang mana-mana bahagian parti itu di negeri ini yang berhasrat mengadakan Persidangan Perwakilan Khas (EGM) bagi membincangkan hala tuju UMNO dan kaum Melayu selepas prestasi buruk pada Pilihan Raya Umum Ke-12 baru-baru ini.

Pengerusi Badan Perhubungannya, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, EGM boleh diadakan kerana langkah itu tidak bercanggah dengan perlembagaan parti.

“Tetapi ada peruntukan dalam perlembagaan UMNO yang perlu dipatuhi oleh bahagian yang menganjurkan persidangan khas itu,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor di sini hari ini.

Beliau mengulas hasrat UMNO Bahagian Batu Pahat yang diketuai Dr. Mohd. Puad Zarkashi untuk mengadakan EGM pada 26 April ini. Ia dijangka diikuti oleh UMNO Bahagian Parit Sulong yang belum menetapkan tarikh EGM mereka.

Abdul Ghani yang juga Menteri Besar Johor berkata, sehingga kini beliau tidak mengetahui jumlah sebenar bahagian UMNO di Johor yang berhasrat mengadakan EGM.

Bagaimanapun, katanya, memandangkan mesyuarat agung peringkat cawangan dan bahagian akan diadakan tahun ini, maka lebih wajar masalah UMNO dibawa menerusi mesyuarat tersebut.

Sementara itu, beliau memberitahu, UMNO Johor telah mengenal pasti beberapa isu yang menyebabkan pengundi ‘beralih’ kepada parti pembangkang pada pilihan raya umum lalu.

“Antaranya ialah kenaikan harga barang, keselamatan, rasuah dan kesesuaian calon,” katanya.

Menurut beliau, sebahagian besar isu berkenaan sudah wujud sejak dua hingga empat tahun lalu dan bukan disebabkan Dasar Ekonomi Baru (DEB).

Beliau berkata, kira-kira 40 peratus undi yang beralih kepada pembangkang pula merupakan tindakan protes dan bukan menyokong penuh parti berkenaan. - utusan malaysia online.

BERITADARIGUNUNG: