Monday, September 08, 2008

Celaka, Derita dan Darah jika tiada PERTIMBANGAN.

Berita dari gunung said...

Dato dan rakan2. Selamat Berpuasa.

Terima sajalah bahawa negara Malaysia berada sebelah Timur, bukan Barat. Orang Timur tidak akan sama dengan orang Barat, baik dari segi kulit, baik dari segi bahasa mahupun pegangan agama.

Jiran sebelas atas, iaitu Siam, beruntung sebab bangsanya hampir sekata. Thaksin difahamkan dari bangsa yang lain, walaupun dari bangsa minoriti sudah cukup untuk menggoncang Siam. Siam bernasib baik kerana pengaruh Raja dan tentera dapat meredakan keadaan lebih dari sekali.

Jiran di bawah pula, Singapura, dengan masyarakat majmuk, beruntung dengan kepimpinan Lee Kuan Yew. Lee tidak memberi peluang langsung kepada pembangkang. Mahkamah dan Penjara sentiasa terbuka untuk pembangkang.

China dengan sejarah agung yang panjang, berjaya menghimpun berbilion rakyat. Sebarang tanda untuk berpecah, dilayan dengan sewajarnya. Peristiwa Tianamen Square memberi erti baru kepada kesungguhan kerajaan menjaga "kesatuan" atau solidariti.

Malaysia era Abdullah ingin berjinak dengan keterbukaan dan reforms. Sejarah dunia sebenarnya telah melakar warna gelap mengenai reforms. Reforms sering mengundang celaka. Russia adalah contoh terbaik. Negara boleh hancur dengan reforms tanpa pertimbangan.

Tun Mahathir adalah rujukan penting tentang perjalanan Malaysia kedepan. Pengalaman Tun adalah sangat berguna. Malaysia telah bergerak di pelbagai lorong dan destinasi, Tun adalah pemandunya.

Apabila Tun menegur tentang laluan yang diambil, sering beliau diherdik. Jangan lawan dengan pengalaman, kerana pengalaman itu mewujudkan pertimbangan.

Keterbukaan yang superficial ini, telah mengundang komen dan ugutan yang tidak berlapik dari pelbagai sudut, baik dari ahli politik, baik dari NGO. Ada masanya isu bangsa dan agama diurus secara sangat terbuka dan santai. Isu ini dimana-mana dunia pun boleh melahirkan denyutan ngeri. Ada kalanya darah membasahi bumi.

Negara ini meletakkan kaum Melayu lebih sedikit dari yang lain. Dari awal-awal merdeka lagi. Quatum Leap hanya wujud selepas 13 Mei.

Sistem Raja Berperlembagaan mengesahkan lebihnya kaum Melayu. Manakala Islam dianggap agama rasmi. Waktu dulu dibanyak tempat, kuil, tokong dan masjid tidak berjauhan duduknya. Namun masyarakat berbilang kaum mampu beragama dan hidup tanpa rasa curiga.

Meletakkan kemelut sekarang kepada bahu Abdullah sahaja tidaklah adil. Apa sekalipun dalihnya, konon keputusan sentiasa secara konsensus, atau semua pandangan didengar, tidak sekali-kali menanggalkan TANGGUNGJAWAB dari batu jemala Abdullah sebagai Ketua. Ketua bukan jawatan sembarangan. Ketua bukan sekadar menghulur tangan bersalaman. Ketua menjaga NADI negara!

Singapura bukan suka-suka mengekang pembangkang. Tun juga bukan suka-suka bersikap tegas dalam mengurus negara. Ini adalah aset utama dalam memacu negara kedepan dalam keadaan yang terkawal dan selamat. China juga bukan suka-suka menghantar steam-roller untuk meratakan Tianamen Square.

Iltizam untuk memelihara negara dan rakyat perlu menjadi prioriti. Sejarah Tanah Melayu dari zaman Melaka hingga sekarang perlu diambil iktibar.

Mengurus negara bukan perkara main-main. Ini bukan macam suka-suka tukar langsir, ubah letak kerusi dan alih pasu bunga. Ia lebih dari itu.

Mengurus reforms dan keterbukaan adalah sesuatu serius. Perspektif sejarah dunia perlu diberi perhatian. Derita dan Darah adalah manifestasi kepada gagal mengurus negara.

Keterbukaan dan reforms stail Abdullah boleh diibaratkan seperti Kunci Air. Anda boleh buka dan lepaskan air tetapi anda juga perlu tahu menutup kunci dan menahan air!

Mengurus negara mesti dengan fokus yang jelas dan jangan dicemari dengan niat kotor untuk memadam legacy terdahulu. Manakala isu bangsa dan agama bukan isu yang boleh diurus sambil lewa.

Seperti kata Albert Einstein dalam social essaynya, Ilmu seperti memanjat gunung. Berada dipuncak membolehkan pandangan yang lebih menyeluruh. Pandangan dikaki gunung dan dilereng gunung juga betul. Tetapi yang paling betul adalah yang dipuncak.

Saya sangat khuatir jika pemimpin negara ini yang berada dipuncak, terlena dan tidak peka waktu mendaki dulu. Jika begitu, pandangan mereka tidak tepat, kerana pandangan harus bersekali dengan PERTIMBANGAN.

Yang beruntung adalah mereka yang mendaki dengan deria yang sensitif. Yang seperti ini, bila dipuncak, mereka rasa lega dan turut rasa ngeri, kerana ditangan mereka ada PERTIMBANGAN.

Terimakasih.

Mengulas Dato Ruhanie Ahmad Kudakepang dalam entry bertajuk : HORMATILAH SUARA HATI MELAYU DAN ISLAM