Sunday, November 30, 2008

Kompleks CIQ Bukit Chagar dibuka secara rasmi esok

30/11/2008 9:10pm

JOHOR BAHRU 30 Nov. — Setelah ditunggu-tunggu oleh pelbagai pihak sejak sekian lama, akhirnya Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) baru di Bukit Chagar dibuka secara rasmi esok.

Sultan Johor Sultan Iskandar Sultan Ismail dijadual berangkat menyempurnakan pembukaan rasmi CIQ itu pada majlis yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dikenali sebagai Kompleks Sultan Iskandar, kompleks berkenaan akan menempatkan 18 agensi kerajaan serta mampu mengendalikan 70 juta pelawat yang memasuki negara ini dari Singapura setiap tahun.

Bangunan pintar ini mempunyai 76 lorong kereta untuk masuk dan keluar dari Malaysia.

Ia juga menyediakan 50 lorong masuk dan 50 lorong keluar untuk motosikal, 879 petak pakir untuk kereta dan 25 petak untuk bas.

Kadar bayaran dijangka sama dengan yang dikenakan di kompleks sedia ada dan pengguna boleh membuat bayaran menggunakan kad Touch n Go.

Kompleks itu juga menyediakan paparan maklumat dalam pelbagai bahasa secara sentuh layar bagi kemudahan pelawat yang memasuki Johor.

Aras satu kompleks itu akan mengendalikan perjalanan dengan kereta dan motosikal, manakala ars dua bagi mereka yang membuat perjalanan dengan bas.

Pembinaan kompleks ini bermula pada 2001 dan dijadual siap pada 2006.

Bagaimanapun, ia tidak dapat disiapkan mengikut jadual asal berikutan pembatalan pembinaan projek Jambatan Indah dan jalan yang menghubungkannya dengan Tambak Johor.

— BERNAMA