Walaupun tumpuan pemilihan UMNO diberikan kepada pergolakan yang berlaku dalam Pergerakan Wanita UMNO, Naib Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengeluarkan kenyataan yang mahu pertandingan merebut jawatan Timbalan Presiden tidak dicemari dengan sebarang unsur fitnah dan memburuk-burukkan calon berikutan kempen tempoh yang panjang.
Sudah pastilah sebagai salah seorang calon yang bertanding jawatan itu, Muhyiddin yang akan bersaing dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib mahu ia dijalankan secara persahabatan.
Ini kerana seperti mana kata Muhyiddin pemilihan UMNO yang akan berlangsung pada Mac nanti bukanlah satu pertandingan tetapi merupakan satu proses penawaran diri. Justeru berasaskan kepada semangat tersebut, tidak perlu mana-mana penyokong calon begitu taksub melakukan apa juga cara bagi memenangkan calon pilihan mereka.
Bukan sahaja Muhyiddin malah sebelum ini Mohd. Ali dan Muhammad juga pernah membuat kenyataan dalam nada yang sama. Ini kerana mereka tidak mahu perebutan jawatan nombor dua dalam parti itu membawa perpecahan sehingga memungkinkan agak sukar bagi UMNO untuk bangkit semula dalam pilihan raya umum nanti.
Muhyiddin membuat gesaan tersebut kerana memahami ketika ini pelbagai bentuk SMS bertebaran di seluruh negara, ia termasuklah untuk memburukkan seseorang calon atau cuba menggambarkan bahawa salah seorang calon sememangnya tidak sebulu dengan pucuk pimpinan negara.
Semua ini adalah taktik kotor berkempen yang boleh menjebakkan UMNO dalam lembah perpecahan.
Ketika diminta mengulas isu ini, penganalisis politik, Prof. Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, beliau sudah menjangkakan akan berlaku kempen yang sengit bagi merebut jawatan berkenaan.
Ini kerana kata beliau, jumlah pencalonan yang diterima pasti menjadi tidak bermakna lagi kerana setiap calon akan mempunyai peluang yang sama untuk menang.
''Yang menang pasti akan mendapat jawatan Timbalan Perdana Menteri, justeru sangat jelas bahawa yang menjadi rebutan bukan sahaja jawatan Timbalan Presiden parti tetapi juga jawatan nombor dua dalam kerajaan,'' katanya.
Walaupun begitulah kedudukannya tetapi ini tidak bermakna penyokong-penyokong calon atau calon itu sendiri harus bertarung seolah-olah dunia akan kiamat esok.
Mereka perlu memastikan pertandingan berjalan secara bersih dan tidak dicemari dengan sebarang unsur yang bukan sahaja akan memudaratkan kedudukan dalaman parti malah mencemarkan imej UMNO di kalangan rakyat.
Oleh itu, dalam menentukan siapakah yang paling layak ia bergantung kepada track record dan strategi politik masing-masing. Ketika ini perwakilan akan membuat penilaian secara terperinci terhadap setiap tingkah laku seseorang calon itu.
Malah ketika ini turut dimainkan isu kononnya calon-calon tertentu tidak mesra rakyat dan kalau menjadi Timbalan Perdana Menteri nanti susah untuk ditemui. Semua itu adalah andaian semata-mata dalam usaha memastikan calon pilihan mereka mendapat sokongan.
Justeru adalah lebih baik jika kempen pemilihan di peringkat Timbalan Presiden ini dibiarkan berjalan secara matang tanpa perlu memburukkan mana-mana calon.
Pemilihan UMNO kali ini amat penting, ia bukannya untuk menyambung talian hayat politik sesiapa atau hendak memastikan karier politik mana-mana calon berkubur.
Ketiga-tiga calon yang bertanding mempunyai keupayaan, kewibawaan dan kredibiliti masing-masing. Kesemua mereka mempunyai track record dalam parti dan kerajaan.
Oleh itu biarlah perwakilan menentukan siapa antara ketiga-tiga calon tersebut yang terbaik dan sekali gus menghantarnya memasuki pejabat Timbalan Perdana Menteri.
Perwakilan UMNO perlu diberi hak untuk memikirkan dengan semasak-masak siapakah yang sesuai. Mereka sudah tentu memahami bahawa bakal Timbalan Presiden nanti mempunyai tanggungjawab yang cukup besar untuk membantu Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak menguruskan negara dan parti.
Najib memerlukan gandingan yang mampu bekerja bersama-sama beliau bagi memulihkan kekuatan UMNO dan Barisan Nasional (BN) serta memantapkan pentadbiran kerajaan.
Sebagai orang nombor satu, Najib sudah tentulah tidak mempunyai banyak masa untuk memberi tunjuk ajar kepada timbalannya, sebaliknya terus bersama-sama bekerja sebaik sahaja memegang jawatan.
Oleh itu pemilihan Timbalan Presiden harus dilakukan secara berhati-hati kerana ia adalah penentu kepada masa depan negara dan parti.
Ini bukanlah pertarungan merebut jawatan yang bersandarkan kepada 'siapa bayar lebih dia menang', tetapi persaingan bagi mencari calon terbaik untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang cukup besar.
Seperkara lagi turut menjadi kebimbangan ialah akan berlakunya perpecahan dalam parti berikutan pertembungan tiga penjuru. Sebenarnya perkara itu tidak perlu difikirkan lagi kerana kalau perpecahan menjadi sandaran sudah pasti UMNO awal-awal lagi akan memastikan mana-mana calon menang tanpa bertanding.
Tetapi sekarang mahu tidak mahu terserahlah kepada pemimpin yang bertanding dan penyokong mereka bagaimana mereka hendak memastikan bahawa UMNO tidak akan berpecah akibat perebutan jawatan tersebut.
Walaupun agak sangsi namun kita juga perlu bertindak adil dengan memberikan keyakinan kepada ahli-ahli UMNO bahawa mereka mampu bersaing secara sihat dan tidak akan merosakkan parti.
Mereka sudah tentu memahami bahawa UMNO memerlukan kepimpinan yang benar-benar ampuh untuk berhadapan dengan pembangkang kepada pilihan raya umum nanti.
Justeru tindakan melaksanakan kempen secara tidak sihat semata-mata untuk merebut jawatan dalam parti hakikatnya boleh mendatangkan bahaya kepada UMNO sendiri.
Seharusnya track record menjadi sandaran terbaik kepada ahli-ahli UMNO dan bukannya melihat seseorang itu daripada satu sudut sahaja.
Kini segala-galanya terserah kepada ahli UMNO terutama mereka yang bakal menjadi perwakilan menentukannya.
Kepada juak-juak atau kumpulan kempen bagi calon-calon, mereka perlu rasional dalam bertindak dan bukannya emosional. Ini kerana rakyat sedang menilai sejauh manakah ahli-ahli UMNO matang dalam menentukan barisan kepimpinannya.
rujuk: Pilihlah timbalan terbaik utusan malaysia
beritadarigunung:
Saya teringat ulasan najib ke atas Muhyiddin waktu ada desakan pelbagai pihak dipercepatkan peralihan kuasa. Katanya "Muhyiddin is a team player". Ramai menterjemahkan kenyataan itu sebagai pengesahan dari Najib bahawa Muhyiddin boleh bekerja dalam satu pasukan, dan tentunya sesuai berada dalam team baru, bila Najib berada di atas. Ramai meneka itu sebagai Endorsement!!
Seorang menteri kabinet juga telah meneliti keghairahan beberapa calon timbalan presiden Umno, dan beliau harap perwakilan faham perspektif yang ada. Seorang calon adalah Ahli Parlimen. Seorang lagi adalah adun. Manakala yang ketiga adalah senator. Kelazimannya timbalan presiden terlantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dari kalangan penghuni-penghuni Dewan yang Mulia ... Menteri itu berkata jujur, walaupun pedih kepada setengah calon.