Monday, November 24, 2008

Perhimpunan nyalaan lilin: Polis tunggu arahan Peguam Negara

Mutakhir!

Perhimpunan nyalaan lilin: Polis tunggu arahan Peguam Negara. 16.17pm


KUALA LUMPUR: Polis masih menunggu arahan daripada Peguam Negara mengenai sama ada akan mengenakan sebarang pertuduhan terhadap 23 orang yang ditahan dalam perhimpunan nyalaan lilin di Petaling Jaya pada 9 November.

Bercakap kepada pemberita selepas melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya pagi ini, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kampung Tunku, Lau Weng San berkata polis memberitahu mereka bahawa belum ada keputusan yang dibuat berhubung penangkapan mereka ketika mengadakan perhimpunan nyalaan lilin itu.

“Kami datang ke sini kira-kira 9 pagi untuk melapor diri memandangkan jaminan polis selama dua minggu berakhir hari ini. Bagaimanapun kami diberitahu jaminan itu tidak akan dilanjutkan memandangkan polis kini menunggu arahan daripada Peguam Negara.

“Anggaplah bahawa kami bebas sekarang sehingga menerima arahan selanjutnya daripada Peguam Negara. Kami berpuas hati dengan tahap profesionalisme polis dalam mengendalikan siasatan mereka berhubung perkara ini,” katanya.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan ulasan.

Turut hadir hari ini ialah Anggota Exco Kerajaan Selangor, Ronnie Liu dan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

source: Perhimpunan nyalaan lilin: Polis tunggu arahan Peguam Negara