Sunday, March 16, 2008

KU LI DESAK UMNO ADAKAN PERHIMPUNAN KHAS

(dari Kuda Ranggi )

Mantan menteri kewangan dan kini Ahli Parlimen paling lama di Dewan Rakyat, Tengku Razaleigh Hamzah, mendesak diadakan Perhimpunan Agung Khas UMNO untuk membincangkan masa depan parti itu hasil daripada keputusan pilihan raya 2008.

Beliau mencadangkan tarikh keramat, 11 Mei untuk diadakan perhimpunan itu kerana pada tarikh itulah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu ditubuhkan, demikian menurut satu laporan dalam media Internet The Malaysian Insider.

Tengku Razaleigh, tokoh yang dilihat sebagai dapat memulih semangat dan mengembalikan kekuatan UMNO, telah mengutus surat kepada semua 193 ketua bahagian UMNO mengenai perkara itu.

Tindakan Ku Li merupakan satu lagi tekanan ke atas presiden UMNO Abdullah Ahmad (Badawi) atau Pak Lah, untuk berundur dan melepaskan jawatan parti dan kerajaan. Sebelum ini, Ahli Parlimen Jerlun, Mukhriz Mahathir yang juga Exco Pemuda UMNO, telah mengutus surat kepada Pak Lah supaya bertanggungjawab dan meletak jawatan.

Di sekitar Kuala Lumpur, beberapa sepanduk telah di rentang menyeru supaya Pak Lah letak jawatan. Sepanduk-sepanduk itu direntang di kawasan-kawasan strategik seperti Kampung Baru, Jalan Ulu Klang, Ampang Jaya, Jalan Ampang, Bandar Tun Razak dan Kampung Pandan. Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tempatan telah segera menurunkan sepanuk-sepanduk itu.

Berbalik kepada desakan Ku Li, MP Gua Musang itu menyifatkan keputusan pilihan raya 8 Mac sebagai bukan sahaja memeranjatkan tetapi menakutkan.

Ini kerana UMNO bukan lagi satu kuasa politik yang kuat. Ku Li hampir menitiskan air mata memikirkan masa depan parti kesayangannya dan anak bangsa Melayu.

Para pemimpin UMNO peringkat bahagian harus menyambut baik desakan Ku Li jika anda sayangkan parti dan benar-benar bimbang tentang masa depan anak cucu anda. Semuanya terletak di tangan anda. Ini bukan masa untuk menyuarakan sokongan tidak berbelah bahagi kepada seorang pemimpin yang lemah, tidak tegas dan yang telah hampir-hampir mengakibatkan UMNO rebah seperti yang pernah dialami oleh Congress Party di India, Partai Demokrasi dan Golkar di Indonesia dan Liberal Democratic Party di Jepun.