Thursday, September 04, 2008

Mahathir mengulas "kenapa saya tak buat apa-apa"

beritadarigunung

1. Tun dalam blognya chedet menyentuh sesuatu yang berat mengenai kepimpinan kerajaan Malaysia hari ini. Tun mengisi ruang blognya
WHY DON'T I DO SOMETHING pada 3 september 2008 dengan nada sedih. Ramai turut rasa pilu, namun ada yang menyifatkan tulisan Tun kali ini bersifat apolagetik.

2. Kalau itu disifatkan satu perjuangan, maka Tun sebenarnya sudah lama menuntut perletakkan jawatan Abdullah Ahmad Badawi. Secara umum, apa yang Tun minta, bukanlah perkara baru dalam senario politik negara.

3. Dalam proses memanjat tiang licin, akhirnya seorang sahaja yang boleh tiba dipuncak. Dalam kedudukan yang sangat strategik diatas sekali, juara senang meninjau sekeliling untuk menangkis sebarang ancaman dari bawah dan luar. Itulah yang akan dilakukan oleh mana-mana juara. Biar lembik, biar keras, biar pandai, biar pun lembab. Perjuangan politik negara dicemari secara umumnya dengan sifat rakus mahu naik ke atas. Yang berada dipuncak hanya boleh jatuh, kerana orang itu turun sendiri atau direntap turun atau diperdaya oleh orang sekeliling lalu menggelongsor sendiri.

4. Abdullah sebagai politikus veteran, sangat peka dengan situasi ini. Mempertahankan kedudukan adalah perkara lazim dalam politik. Politik juga boleh membutakan, kerana rakyat biasa sangat dengan retorik dalam menangkis ancaman.

5. Membina tembuk disekeliling kubu adalah langkah yang telah Abdullah lakukan. Shahrir bila dibawa masuk semula adalah strategi yang baik. Shahrir ada parut lama sejak pilihanraya kecil 1988 di Johor Baru. Kemenangan besar Shahrir waktu itu tidak dapat memadam rasa dendam terhadap Tun. Tindak tanduk Shahrir dalam menangkis ancaman dari Tun adalah natural. Malah ramai lagi sedia memberi betis dan paha, supaya todak tidak menusuk perut pemimpin, dan mereka rela berkorban.

6. Apa lagi dalih yang dapat diberikan apabila Mahdzir Khalid merobek Tun tanpa belas kasihan. Osman Aroff sedia duduk bersebelahan tetapi pisau lipat tersimpan dalam kocek baju. Johari Baharum boleh menangis tetapi sanggup merembas bukan dengan belati, cuma dengan ranting keduduk sahaja. Usah kita tanya tentang Shahrir.

7. Nazri tidak peduli apa reaksi rakyat, bila secara sepontan beliau telanjang bulat dalam TV menunjukkan paha dan betis yang sedia ditujah todak, demi mempertahankan pemimpin beliau. Orang dapat melihat sifat sebenar Nazri samada berbaju atau bertelanjang bulat.

8. Waktu Tun keluar dari UMNO, reaksi pedas dari pemimpin-pemimpin dapat rakyat saksikan. Kemuncaknya ialah reaksi bisa dari Musa Hitam "duri sudah keluar". Saya ada pandangan peribadi terhadap Musa. Beliau sedia menyifatkan Tun sebagai duri, saya juga sedia menyifatkan Musa sebagai Daging Busuk yang perlu segera dibuang.

9. Walau saya belum cukup tua waktu Memali mandi darah, saya kecewa dengan sikap santai Musa waktu itu. Sayang sekali, semangat Melayu Musa terlalu rapuh. Atas nama beliau ada titisan darah bangsa Melayu. Tetapi atas nama beliau tidak ada setitik pun darah bangsa eropah merempat di Venezuela, Colombia atau Argentina. Musa boleh baham daging bangsa sendiri bila lapar. Musang pun tidak tergamak berbuat begitu.

10. Kritikan Tun saya jangka tidak dikaji dan dikupas oleh barisan kepimpinan Abdullah. Apa juga yang terkeluar dari mulut Tun dilonggokkan dalam bakul yang bertanda "Ancaman". Dalam Strategic Planning, Threat atau Ancaman perlu ditangkis. Sayang sekali, kerana kerajaan Abdullah melihat Tun sebagai ancaman. Lalu rakyat menunggu setiap hari, melihat kapal tersasar, melihat layar yang koyak untuk mengumpul angin dan kecewa melihat Abdullah tidak menguruskan kemudi dengan cermat dan cekap.

11. Saya selalu mengatakan bahawa sifat dendam dalam manusia jarang padam. Pertembungan Team A dan Team B adalah real dan sengit pada tahun 1987. Abdullah, Musa dan Radzi yang terluka dalam perang itu, masih ada parut untuk membelai nostalgia. Kini waktu membalas dendam. Oleh yang demikian apa juga komen Tun harus disanggah. Legacy Tun mesti dipadam. Man is always a child!! Naive and Spoilt.

12. Saya sangat memahami apa yang Tun sampaikan melalui, Jambatan Bengkuk,Pinta Abdullah Letak Jawatan, Rasuah Abdullah, Tun dimaki pemimpin-pemimpin UMNO.

13. Memang pedih, tetapi sangat natural dalam politik dan proses memanjat tiang licin untuk kepuncak, mencapai panji-panji. Bukan untuk mengiakan kritikan Tun, tetapi dimana-mana sahaja, orang sering mengatakan betapa Abdullah terlalu lemah, tidak pandai dan tidak cekap mengurus dan memacu negara kedepan. Orang tidak marah, tetapi orang makin takut dan bimbang. Saya khuatir, UMNO akan kehilangan segala-galanya bila undi PRU13 mula dikira.

14. Malangnya sejarah menulis dengan terperinci bagaimana Raja, Pembesar, keluarga dan gundik-gundik lari meninggalkan Istana dengan harta-harta mereka bila kota Melaka dirempuh dan ROBOH. Yang mati bergelimpangan adalah rakyat jelata. Mati mereka kerana taat setia pada Raja dan Negara.

BERITADARIGUNUNG: