Saturday, July 05, 2008

Sanusi Junid suka berterus terang.

Umno pupus tahun 2013 - Sanusi

Ahmad Lutfi Othman & Azamin Amin

Tan Sri Sanusi Junid memang dikenali suka berterus-terang. Walaupun sudah bersara dari politik, bekas Naib Presiden Umno ini turut mencipta kejutan bersama Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila mengsiytihar turut keluar Umno.

Beliau tidak ragu-ragu menjangkakan Umno akan hilang kuasa sepenuhnya dalam pilihan raya akan datang jika langkah pemulihan tidak dilaksanakan sebaiknya, yakni dengan memastikan Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan.

Beliau tidak mengambil masa lama untuk bersetuju diwawancara Harakah. Petang Ahad, 25 Mei lalu, di kediamannya, Bangsar, Sanusi berbicara panjang bersama Ketua Pengarang, Ahmad Lutfi Othman dan wartawan Azamin Amin. Berikut adalah sedutan wawancara berkenaan.

Harakah: Ramai tahu sebab Tun Dr Mahathir MOhamad keluar Umno. Apa pula hujah Tan Sri mengikut jejak Dr Mahathir, apakah sama atau ada alasan lain?

Sanusi Junid: Sama alasan dengan Mahathir dan ada alasan saya sendiri. Tetapi saya lihat seperti Mahathir lihat, Umno sekarang ini bukan macam Umno yang dulu. Umno yang ditubuhkan pada 1946 dan batal pada 1987 kemudian dihidupkan balik adalah Umno yang sama, tetapi Umno hari ini banyak berubah.

Umno dulu perjuangkan Islam sebagai agama rasmi, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, konsep raja berpelembagaan dan demokrasi berparlimen. Sekarang kita lihat Islam agama rasmi, tetapi diperkenalkan pula Islam Hadhari. Apa pentingnya Islam Hadhari? Salah satu sebab undi lari dari Umno ialah konsep Islam Hadhari itu, walaupun berjuta ringgit dihabiskan untuknya. Begitu juga dengan kedudukan bahasa Melayu yang semacam terhalang.

Dulu tidak pernah ada orang berani mencabar atau mengkritik hak istimewa orang Melayu yang tercatit dalam Perlembagaan. Ia bukan bermaksud menekan orang bukan Melayu. Ini sekadar melibatkan biasiswa, lesen dan tanah. Daripada inilah yang boleh kita buat macam-macam projek seperti Felda dan Felcra. Dengan hak ini juga kita beri biasiswa dan selari dengan Islam kita wujudkan pula Universiti Islam Antarabangsa (UIA). Malah kewujudan UIA adalah ciptaan yang paling hebat dalam konteks dunia Islam.

Dulu orang tidak berani persoal raja-raja. Kita kalau nak lantik Menteri Besar, kita beri gambaran dahulu kepada raja. Macam Sultan Johor yang sudah tahu siapa akan jadi MB sebelum pilihan Raya, tetapi kenapa tidak kepada raja di Terengganu dan Perlis? Bila kita sendiri tak hormat raja, orang lain pun akan ikut sama.


Banyak yang keliru dalam Umno?

Ya, banyak perkara yang nampak keliru dan tak jelas sekarang. Yang tak faham khususnya generasi muda dalam Umno, kerana tidak ada pendidikan tentang itu. Dulu ada seminar, misalnya saya mengikuti Persidangan Pemuda Umno Kebangsaan di Morib pada 1965, dibentangkan kertas-kertas kerja dan kita dapat tahu darinya.

Ada dua golongan ahli Umno yang tidak bertambah ilmu walaupun dia seorang pandai. Pertama kaum wanita yang kerjanya menghidangkan makanan. Orang sibuk kursus atau berseminar, mereka sibuk dengan masakan. Kalau kita tanya, ada tidak pergi seminar, mereka jawab ada. Tapi mereka ini tak tau apa berlaku dalam Umno.

Kedua, golongan yang masuk dalam Umno, ada lantikan daripada atas. Dia dipilih mungkin sebab keluarga dan lepas dipilih, terus ke pangkat besar. Sekarang ada menteri Umno bagi komen, Umno haram kerana Mahathir. Kedua, Operasi Lalang pun sebab Mahahtir.

Pemecatan Tun Salleh kerana Mahathir. Ini subjek yang cukup popular. Nampaknya orang yang bertanggungjawab memberi penerangan kepada negara dan parti tidak faham hal ini.

Abdullah pun keliru juga nampaknya?

Saya ada dalam Majlis Tertinggi dan Kabinet, malah Dato' Seri Abdullah juga ada. Apa alasan dia boleh kata Mahathir yang suruh tangkap Operasi Lalang. Tak suruh pun, itu kerja polis. Pemecatan Tun Salleh ditentukan oleh tribunal; jika perlu minta maaf, tribunallah minta maaf bukannya kerajaan.

Sekarang banyak perkara aneh. Macam kes ketuk-ketampi yang didakwa babitkan perempuan China. Terus kita hantar menteri ke negara itu untuk minta maaf. Rupanya perempuan Melayu. Ooo ... kalau perempuan Melayu tak payah minta maaflah ya?

Baru-baru ini isu keluar keris. Mana ada orang Cina takut keris Melayu ini. Keris tak ada kuasa apa-apa. Ia hanya simbol.

Orang Cina tak suruh minta maaf pun. Tetapi yang kita pergi minta maaf itu buat apa ? Di mana kewibawaan kita dan kekuatan jiwa pemimpin Umno.

Saya rasa aneh. Sebagai menteri yang cukup lama dalam Kabinet dan bekas Setiausaha Agung Umno, bolehkah saya duduk di situ, walhal saya tahu apa yang jadi dan melihat Dr Mahathir dikata orang?

Kata pada Dr Mahathir pun dengan cara di luar tertib dan adab Melayu.. Sedangkan Mahathir pernah melantik orang-orang ini yang terdiri daripada anak kawan dia.

Dia lantik sebab ada perhitungan politik dan kemampuan serta kebolehan seseorang. Lantik bapa sebagai duta, sekarang anak-anak itu yang kutuk dan serang dia sampai tak ada sopan langsung. Dulu salam cium tangan sekarang mengata macam Mahathir ini haiwan!
Ini bukan Umno dulu. Islam pun, Islam lain. Dalam soal bahasa pun kita tidak ada fokus. Soal raja pun sudah tidak ada ketertiban dan adab sopan. Hak keistimewaan orang Melayu pun sudah jadi 'tak ketahuan'.

Nak tubuhkan suruhanjaya lantik hakim. Apa salah sistem sekarang? Pihak kehakiman yang pilih, beri pada Perdana Menteri yang bawa ke kabinet, dan sembah kepada Agong, dan Agong runding dengan Raja-Raja. Kalau tak setuju, kita ketepikan. Tapi mereka tak tambah. Menolak cadangan itu ada. Tambah mana yang suka, itu tidak ada.

Begitu juga hal lobi. Untuk buat kerja di universiti, kontrak RM500,000, ada orang-orang besar di Putrajaya hantar surat lobi saya. Siapa yang tak lobi? Semua orang lobi. Tetapi setakat mana berkesan lobi itu, itu yang perlu diberi perhatian. Berapa orang yang jadi menteri melobi melalui saya, ramai. Yang nak jadi menteri besar, timbalan menteri. Adakah salah dia melobi? Tak salah melobi.

Begitu juga dengan perniagaan. Ada tokoh politik yang tetapkan syarat nak sekian banyak komisyen beri projek kepada orang berniaga. Kita tak boleh salahkan peniaga. Kita mesti salahkan orang yang minta.

Rasuah pula satu isu. Saya pernah tengok ada tokoh di universiti menentang sungguh rasuah tetapi bila masuk dalam kerajaan, senyap. Tak ada apa-apa pun. Takkan duduk dalam kerajaan lima enam tahun, takkan tak boleh bertindak terhadap orang yang rasuah.
Tapi nak bertindak mesti ada buktilah. Bukan senang nak tangkap orang rasuah. Jangan kerana nak tambah undi, kita kata nak hapus rasuah. Tetapi sekarang tengok apa dah jadi. Ini semua menyebabkan kita naik muak.

refer to: Re: UMNO PASTI PUPUS TIDAK LAMA LAGI - TAN SRI SANUSI JUNID