Thursday, September 11, 2008

Perlunya Abdullah Badawi berundur segera.

Dato,

Nostalgia kemenangan besar BN dalam PRU11 2004 sukar dilupakan. Itu masalahnya. Sukar untuk ditelan, betapa kemenangan besar yang sangat manis boleh bertukar menjadi kenangan pahit bila sokongan rakyat merosot dalam PRU12 2008.

Ramai menjangka Abdullah dan penyokongnya sukar menerima kenyataan pahit itu. Ramai turut hairan bagaimana imej Mr Clean boleh bertukar hingga protes terhadap kepimpinan Abdullah berlaku secara berluas-luasa. Rakyat bercakap tentang kelemahan Abdullah dimana-mana saja.

Timbul isu, apakah yang perlu ada pada Pemimpin yang berkesan? Bukan imej Mr Clean. Bukan imej Pemimpin demokratik.

Pemimpin yang berkesan memberi kepimpinan dan membawa halatuju. Kepimpinan yang segar membina iltizam dalam benak orang dibawahnya. Pemimpin yang tegas tidak goyah pegangannya. Pemimpin yang unggul mampu menghurai halatuju cara yang boleh difahami.

Petanda kepada kepimpinan yang lemah ialah bila terlalu banyak keputusan yang bersifat reaktif. Sering kerajaan bersikap mempertahankan diri. Kerajaan kehilangan advantage penting, iaitu "combative" approach.

Kelemahan Abdullah lebih dirasai kerana Anwar mengisi ruang kosong dalam sudut "harapan" dan "halatuju". Orang mula berganjak dari menerima kepimpinan lemah Abdullah kepada kepimpinan kuat dan cergas Anwar.

Sayang kerana Abdullah dan penyokong kuatnya masih berpaut dengan nostalgia kehebatan era PRU11 2004 dan terus menerus gagal memahami dan bersikap jujur dengan kemerosotan PRU12. Bukan salah Anwar, bukan salah Tun Mahathir maka Abdullah dilihat terlalu lemah. Walaupun barisan kepimpinan kerajaan era Abdullah hampir sama dengan era Tun Mahathir, rakyat tetap merasai kepimpinan yang tidak diisi. Kapal kerap belayar sendiri tanpa kemudi. Kerajaan Abdullah ibarat kelongsong.

Rakan rapat Abdullah dan penasihatnya gagal membantu Abdullah dalam penggembelingan harapan, niat dan tindakan secara berkesan. Rakyat mula mengesan ketidakstabilan kepimpinan dengan peristiwa tok ketampi, agusta, jambatan, ecm libra. Rakyat hairan kenapa media utama digunakan untuk menghentam pemimpin UMNO sendiri. Selangor diselak satu demi satu. Dalam tempuh itu juga Khairy dilonjak dalam segenap sudut. Abdullah kehilangan "winning touch".

Dalam politik, sokongan datang dari persepsi. Namun tindak tanduk kerajaan Abdullah tidak menggunakan advantage kawalan media untuk membina persepsi yang meyakinkan. Keterbukaan yang dilaung-laung menjadikan kudis tambah besar dan sukar diubat. Kerajaan kepimpinan Abdullah dilihat lemah bukan sebab perbuatan orang lain, tetapi perbuatan dan tindak tanduk kepimpinan Abdullah sendiri.

Walau sukar, terima sajalah, bahawa kepimpinan Abdullah adalah sangat lemah untuk menguatkan BN dan memimpin negara. Berundur segera akan memberi ruang yang selesa untuk pengganti beliau menyuntik semangat dalam BN dan menggembalikan semula winning touch. Rakyat dahagakan kepimpinan berkesan.

Muhyiddin wajar disokong.

Terima kasih dan Selamat Berpuasa.

  • beritadarigunung

merujuk kepada posting asal Ruhanie Ahmad kudakepang dalam MUHYIDDIN KATA PM PATUT FIKIR SEMULA TEMPOH MASA P...