Saturday, September 13, 2008

Terserah pada ahli Umno tentukan tarikh peralihan kuasa: Najib

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan kepada ahli Umno untuk memutuskan bilakah peralihan kuasa daripada Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi perlu dilakukan.

Beliau berkata pelan peralihan kuasa itu diputuskan pada Julai lepas oleh Perdana Menteri dan beliau sendiri serta disahkan oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno.

Najib berkata dalam perjumpaannya dengan ketua-ketua Umno bahagian, beliau telahpun menyatakan bahawa pelan itu mesti mendapat sokongan daripada bahagian-bahagian Umno, khususnya dalam persidangan perwakilan tahun ini.

"Oleh itu, kerana Umno yang merupakan parti yang mengamalkan prinsip demokrasi, perkara ini hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli parti melalui proses dalaman parti iaitu melalui mesyuarat tahunan dalam bahagian-bahagian," katanya selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Guangdong-Malaysia di sini hari Jumaat.

Di bawah pelan peralihan kuasa itu, Abdullah akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri, Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden Umno kepada Najib pada Jun 2010.

Rabu lepas, Naib Presiden Umno dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kedua-dua pemimpin itu supaya menimbangkan semula tarikh peralihan kuasa yang dijadualkan pada 2010 kerana tempoh itu terlalu lama.

Semalam, Abdullah berkata beliau terkejut dengan kenyataan Muhyiddin kerana tarikh peralihan kuasa itu difahami dan dipersetujui oleh MT Umno serta Kabinet. - Bernama