Wednesday, October 22, 2008

Laporan Malaysiakini bergantung siasatan polis

Sebarang siasatan terhadap laporan palsu oleh portal berita Malaysiakini membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hanya boleh dilakukan jika ada laporan polis dibuat ke atasnya.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, semua media di negara ini termasuk portal-portal berita Internet perlu bertanggungjawab ke atas kandungan bahan yang disiarkan.

''Jika asyik menyiarkan laporan palsu, lepas itu memohon maaf (bagi membetulkan keadaan), itu tidak baik. Pada saya, media perlu bertanggungjawab terhadap apa yang mereka buat," katanya ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Jabatan Imigresen di sini hari ini.

Ahad lalu, portal berita Internet itu menyiarkan berita mengandungi apa yang didakwa sebagai manifesto yang dikeluarkan oleh 'Kumpulan Sokongan Najib'.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri semalam, menafikan mengeluarkan sebarang manifesto menyokong penawaran Najib bagi jawatan Presiden UMNO dan menegaskan laporan Malaysiakini itu dengan jelas adalah palsu dan mengelirukan.

Sementara itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Salleh berkata, tindakan Malaysiakini menyiarkan laporan palsu jelas menunjukkan budaya kewartawanan yang bertanggungjawab masih belum diamalkan sepenuhnya.

''Tidak kisah sama ada anda media arus perdana atau sebaliknya, yang penting ialah budaya kewartawanan yang bertanggungjawab. Kewartawanan yang bertanggungjawab dengan jelas menunjukkan bahawa anda perlu mengesahkan sebarang berita sebelum disiarkan. Ini kita masih kurang," katanya.

Ditanya sama ada surat amaran akan dikeluarkan kepada portal berita itu, beliau berkata, Malaysiakini bukan media rasmi yang memerlukan lesen untuk menerbitkan akhbar Internet.

Beliau menambah, sebarang usaha mendapatkan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk menangani isu tersebut bergantung kepada laporan polis yang dibuat.

''Kita mesti pergi kepada perkara asas sama ada, ada laporan (polis) dibuat. Selepas itu kita akan meneruskan tindakan sewajarnya," katanya.


source: Laporan Malaysiakini bergantung siasatan polis utusan malaysia