From Malaysiakini
YB Teresa reserves suspicions on 'YB Josephine'
S Pathmawathy
DAP stalwart Lim Kit Siang has condemned a short story in Utusan Malaysia as being framed on Seputeh MP Teresa Kok, but she herself sees the virtue of silence due to pending lawsuits.
BERITADARIGUNUNG:
1. Short story dalam Bahasa Melayu ialah cerpen atau cerita pendek. Cerpen seperti mana karya yang lain, membawa simbol-simbol tertentu. Lama dulu, Tongkat Warrant mengupas pelbagai kemelut melalui puisi. Puisi beliau jadi bacaan wajib pelajar di sekolah yang melaksanakan kurikulum kebangsaan.
2. Shahnon Ahmad juga adalah antara penulis kategori wajib baca di sekolah. Ranjau Sepanjang Jalan adalah novel yang menarik, mengajak pembaca memahami rintihan masyarakat bendang. Walaupun sedikit pesimistik pendekatannya, mesejnya sangat jelas, kemelut yang menyelubungi bangsa Melayu desa adalah real dan perlukan pembelaan. Namun Shahnon (peace be upon him) memilih untuk menyimpang dan menganjurkan pendekatan baru, celupar dan kurang ajar harus juga ada dalam karya. Buku SHIT adalah manifestasi kepada pendekatan baru itu. Pada tahun 1999 buku itu diharamkan disemua perpustakaan bawah kawalan Kementerian Pendidikan Malaysia. Klik ini: Pengharaman Novel “SHIT”.
3. Buku 50 dalil Mengapa Anwar Tidak Boleh Jadi PM oleh Khalid Jafri (peace be upon him) pula muncul dengan matlamat yang sangat jelas. Buku tersebut bersifat factual dengan nama, peristiwa dan tempat yang real dan spesifik. Walaupun buku itu membawa tuduhan yang berat ke atas Anwar, bukan itu penyebab Anwar dipecat pada akhir 90'an.
4. Cerpen dalam Bahasa Melayu bukan hanya ditulis oleh penulis Bangsa Melayu untuk pembaca Bangsa Melayu sahaja. Lim Swee Ting adalah diantara penggiat karya yang turut mewarnai corak kanvas sawo matang penulisan sastera. Orang China yang lahir di Kelantan di celah-celah bendang, pohon kelapa dan kebanjiran mungkin tidak sukar menghadapi kesukaran berkarya dalam Bahasa Melayu. Orang China yang lahir di celah tembok batu-bata dan wang, belum tentu.
5. Sering, karya adalah rintihan dan harapan. Sering karya adalah cermin masyarakat. Sering karya meletak asas perjuangan. Baca saja karya hasil karyawan terkenal dunia! Datuk Chamil Wariya tidak terkecuali .
6. Di bawah adalah petikan penuh cerpen dalam Mingguan Malaysia 12/10/2008 yang telah dikutuk oleh LIM KIT SIANG di sini dengan membuat interpretasi sendiri.
Politik baru YB J
PAGI itu resah YB Josephine, yang lebih mesra dengan panggilan YB J sukar dikawal. Sepanjang perjalanan menuju ke Dewan Perhimpunan Warga Cha di ibu kota, fikirannya terganggu. Tuduhan bahawa dia anti-Islam dan anti-Melayu sungguh-sungguh menghantui perasaannya sejak malam tadi lagi. Entah mengapa baru sekarang dia begitu, dia sendiri tidak tahu. Dia juga tidak pasti sama ada pemandunya, Ahmad, menyedari gelora jiwanya ketika itu. Kalau dia tahu pun, peduli apa, YB Josephine berbisik sendirian.
Pemandu itu memang sedia maklum pendirian politiknya tentang kepentingan kaumnya vis a vis orang Melayu. Dan dia tahu Ahmad menghormati pendiriannya, walaupun dilihat anti- Melayu, anti-Islam sebagai hak asasi tinggal dalam sebuah negara demokrasi. Bukankah kebebasan asasi itu dijamin oleh Perkara 5 hingga Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan. Tetapi YB J akui demokrasi ada yang tidak sempurna dan kerap disalahgunakan oleh pihak yang berkuasa. Tetapi hakikat itu tidak menghalang rakyat menempatkan pembangkang di Dewan Rakyat. YB Josephine adalah salah seorang daripadanya.
Ah, tudahan dia anti-Islam, anti-Melayu tuduhan yang melulu bentak YB J seolah-olah mahu menyedapkan dirinya.. Ia juga tuduhan yang tidak berasas, hati kecilnya bersuara lagi. Dia meyakinkan dirinya bahawa kenyataankenyataan yang dibuatnya atas nama pelbagai kaum untuk memperjuangkan kepentingan kaumnya, bukan sesuatu yang rasis. Amensty International, organisasi hak asasi antarabangsa akan menyetujuinya. Begitu juga dengan Bangsa-Bangsa Bersatu. Ketua Pembangkang, di Parlimen pun tidak pernah menganggapnya rasis. Yang menganggapnya rasis hanya orang Melayu di dalam Parti Orang Melayu (POM).
“Aku juga bukan anti-Islam. Aku bukan anti Melayu,” pujuk hati YB J yang sudah dua penggal bergelar YB itu, mewakili Parti Bertindak Rakyat. Parti itu dianggotainya sejak berada di kampus lagi, walaupun Akta Universiti dan Kolej Universiti melarang para siswa membabitkan diri secara langsung dalam mana-mana organisasi siasah. Lagi pun penguatkuasaan undang-undang itu sekadar melepas batuk di tangga. Lebih dari itu, ia adalah satu lagi undang-undang lapuk, kata YB J.
Kata hatinya lagi: “Aku sekadar memperjuangkan kepentingan kaum aku, sama seperti pemimpin Melayu dalam POM memperjuangkan kepentingan bangsanya, sama seperti pemimpin Parti Orang Islam (POI) berjuang untuk bangsa menggunakan wajah Islamnya.”
Malah YB J berasakan kelantangannya memperjuangkan kepentingan kaumnya itulah yang telah membantunya menang kali kedua kerusi Parlimennya. Kali ini dengan majoriti yang lebih besar lagi. Apa yang membanggakan dia adalah perjuangan yang dianggap anti-Melayu dan anti-Islam itu kini turut disokong pengundi-pengundi Melayu di kawasan pilihan rayanya itu. Pada mulanya dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan sebahagian besar pengundi Melayu yang merupakan 20 peratus keseluruhan pemilihan berdaftar dalam kawasan Parlimen Alam Maya telah memangkahnya.
Ini satu perkembangan luar biasa. Tidak mungkin mereka menyokong aku, bisik hatinya. Tetapi apabila dimaklumkan oleh para pekerja parti bahawa pengundi Melayu di semua peti undi telah beralih arah mendokongnya, dia menerimanya dengan fikiran terbuka. Baguslah kalau orang Melayu menerima perjuangan Malaysia Barunya.
Tidak puas hati bermonolog dengan perasaannya, YB J secara spontan berpaling kepada Ahmad, pemandunya yang sejak tadi tekun dengan tugasnya.
“Kamu fakir saya anti-Islam, anti-Melayu?”
Pertanyaan
Ahmad yang sudah menghampiri usia bersara itu tidak menjawab, seolah-olah dia tidak mendengar pertanyaan itu. Matanya tertumpu ke jalan raya. Tugasnya adalah untuk mempastikan YB J selamat ke majlis yang ingin dihadirinya. Dan tiba tepat pada waktunya. Majlis itu penting kerana YB J akan mengadakan dialog dengan generasi muda seketurunan dengannya yang belajar di luar negara tetapi kebetulan berada di tanah air kerana bercuti. Ahmad sendiri tidak pasti sama ada pelajar yang pernah mempersendakan lagu Negara Ku sewaktu menuntut di sebuah universiti di Seberang Laut turut berada dalam kelompok itu. Kalau pun ada, pemandu YB J tidak ambil pusing. Budak itu memang kurang ajar. Ada ke patut Malaysia dianggap sebagai Negara Kuku (ejaan Inggerisnya cuckoo) yang bermaksud gila. Dan kreativiti digunakan untuk menghalalkan perbuatan biadapnya itu. Cuma Ahmad berfikir kalau semua orang dibiarkan menghina lagu Kebangsaan dengan lirik yang memperlekehkan kehidupan orang Islam, dan atas nama kreativiti, maka kesannya terhadap perhubungan kaum adalah negatif.
Ahmad tidak tahu apakah yang sebenarnya mengganggu bosnya itu sejak dari tadi lagi. Dia jarang begitu. Ahmad dapat mengesan YB J lain macam sahaja pagi itu. Dia dapat membaca keresahan dan kegelisahan YB J. Seolah-olah ada sesuatu yang tidak kena walaupun apa yang sebenarnya berkocak di dalam diri YB J dia tidak pasti. Sepanjang ingatan Ahmad, YB J juga tidak pernah berbual dengannya tentang politik, apa lagi tentang isu-isu semasa - kecuali memberi arahan yang ada kaitan dengan perjalanan atau jadual kerja. YB J juga tidak bertanya sama ada dia mengundi pom atau parti apa pada pilihan raya yang lalu.
Lazimnya, sepanjang perjalanan, baik ke pejabat atau majlis-majlis rasmi dan tidak rasmi yang lain, YB J akan menghabiskan masa membaca akhbar atau membelek-belek fail. Tetapi pagi itu YB J lain macam sahaja. Dia kelihatan resah. Gelisah. Fikirannya juga seolah-olah tidak menentu. Apa yang dibuat serba tak kena. Sekejap dia membelek ucapan utama yang akan disampaikan sebentar lagi menghuraikan gagasan Politik Baru Malaysia Baru yang dipeloporinya. Sekejap dia membelek akhbar-akhbar yang memang menemani YB J ke mana juga dia pergi.
Ahmad cuba mencongak mungkin keresahan YB J ada kaitan dengan suhu politik negara sedang panas ketika itu. Bahangnya terasa di mana-mana. POM sendiri sedang menghadapi pergolakan yang hebat berkait dengan kepimpinannya. Pertarungan kepentingan puak-puak di dalam parti sedang mengambil tempatnya. Kalaulah tidak kerana kedudukan politik kerajaan agak lemah selepas kehilangan majoriti dua pertiga, sudah lama Operasi Lalang, seperti yang pernah dibuat pada 1987, dilaksanakan, agaknya. Mungkin juga tidak kerana di bawah kepimpinan sekarang, kerajaan mengambil sikap yang lebih liberal terhadap para pengkritiknya.
Ahmad juga terfikir mungkin perasaan YB J terganggu dengan tindakan kalangan yang tidak diketahui siapa mereka melempar bom petrol ke rumah keluarga ahli Parlimen Sepohon Beringin, Su Lan. Barangkali, fikir Ahmad, YB J, bimbang kejadian yang sama boleh menimpa diri atau keluarganya.
Mana tahu selepas keluarga Su Lan, bosnya YB J pula yang menjadi mangsa. Dan yang dilempar itu bom betul-betul. Meletup pula. Tidakkah nahas YB J. Sekonyong-konyong Ahmad terbayang kejadian letupan bom berani mati yang berlaku di Damsyik, Syria yang ditonton menerusi Buletin Utama di TV3 beberapa hari lalu. Kalau kejadian yang sudah menghiasi kehidupan harian di Iraq, Israel, Tebing Barat, Gaza atau Afghanistan itu menular di negara ini, alangkah malangnya bumi bertuah ini. Minta disimpang malaikat 44, Ahmad berkata sendirian di dalam hatinya.
Tetapi fikir Ahmad, amaran kalau tidak diendahkan berbahaya. Dia teringat apa yang diceritakan berlaku pada 13 Mei 1969. Bapanya menceritakan dalam tragedi selepas pilihan raya umum pada 10 Mei itu, orang Cina dan Melayu berbunuh-bunuhan. Perjuangan yang mahu menafikan hak-hak istimewa orang Melayu dan kaum bumiputera lain yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, tidak dapat diterima oleh mereka. Kata-kata kesat dan menghina orang Melayu oleh para penyokong parti-parti pembangkang sewaktu berarak meraikan kemenangan besar di Kuala Lumpur dan bandar-bandar utama lain pada pilihan raya 1969 itu tidak dapat ditelan oleh orang Melayu. Parang yang terbiar tumpul selama ini diasah tajam. Dalam keadaan itu tercetuslah pergaduhan yang dahsyat menyebabkan Parlimen digantung dan pemerintahan darurat diisytiharkan. Negara diletakkan di bawah perintah berkurung. Ahmad sendiri belum lahir ketika itu. Tidak lama selepas itu, peralihan kuasa berlaku daripada Tunku Abdul Rahman kepada timbalannya, Tun Abdul Razak.
“Mat, saya ni anti-Melayu dan anti-Islam ke?,” YB J secara mendadak mengulang semula pertanyaannya apabila tiada jawapan daripada pemandunya.
Ahmad, yang sejak tadi membisu seribu bahasa selamba menjawab: “Mungkin tidak YB.” Dia memberi jawapan berlapik. Maksudnya: Mungkin tidak, mungkin ya bergantung pada mata yang menilai.
“Apa maksud kamu mungkin tidak.”
" Ini soal persepsi YB. Persepsinya begitulah. Hakikatnya YB tidak membenci Melayu tidak juga membenci Islam. YB sekadar memperjuangkan kepentingan kaum YB. Tidak salah YB berbuat demikian. Kalau YB tidak memperjuangkan kepentingan kaum YB sendiri, siapa lagi. Tetapi cara YB itu barangkali disalahertikannya.”
“Maksud kamu?" Tanya YB J yang masih belum jelas lagi.
Bergantung
“Yalah, ia bergantung pada mata yang memandang. Bukan sahaja di kalangan orang Melayu, tetapi di kalangan bukan Melayu. YB kena ingat di kalangan bukan Melayu pun bukan semuanya menerima politik baru Malaysia baru YB. Kalau tidak masakan parti satu kaum seperti Parti Orang Cina (POC) masih boleh bertahan.”
“Apa maksud kamu. Saya tidak begitu jelas?"
“Yalah bagi YB perjuangan YB adalah pelbagai kaum. Tetapi dalam tindak tanduk, perjuangan pelbagai kaum YB itu tidak tertonjol. YB mahu menghapuskan tulisan jawi dan ganti dengan tulisan Cina . Bagi mereka itu bukan perjuangan pelbagai kaum. Ia perjuangan satu kaum. Kalau benar pelbagai kaum, YB patut mempertahankan tulisan jawi.” Ahmad memberanikan diri untuk memberikan pandangannya.
Mengesan bosnya ingin mendengar pandangannya lagi, Ahmad berkata: “Patutnya kalau YB benar-benar ingin menjadi pejuang pelbagai kaum, kepentingan orang Melayu jangan diketepikan sewaktu mengetengahkan kepentingan kaum Cina. YB perjuangkan kepentingan kedua-duanya sekali. Penerimaannya saya pasti berbeza. YB akan dilihat sebagai mahu menjaga kepentingan kaum YB, tetapi pada waktu yang sama tidak menafikan hak orang Melayu.”
Itu perjuangan POM dan POC, dengus YB J di dalam hatinya. Bosan aku dengan Si Ahmad ini, dia berkata sendirian. Aku penganjur politik baru dan tidak mahu terikat dengan kerangka politik lama, katanya lagi kepada dirinya.
Perbualan YB J dengan pemandunya habis di situ sahaja. Dia tidak mahu lagi mendengar pandangan karut pemandunya. Dia mahu terus melayan perasaan: Aku percaya pada Politik Baru Malaysia Baru, tegas YB J pada dirinya. Setiap warganegara, tanpa mengira apa keturunan mereka patut diberi hak yang sama mengikut undang-undang. Tidak ada bangsa yang patut diberi layanan istimewa. Tidak ada warga yang patut diberi darjat atau kelas kedua. Kita semua orang Malaysia.
YB J enggan melayan Ahmad lagi. Sebaliknya, dia membelek akhbar Utusan Malaysia yang secara rasmi diboikot oleh partinya. Perhatiannya tertumpu pada artikel berjudul Jangan Padam Rekod Negara yang ditulis oleh seorang generasi muda Cina yang menolak tesis politik baru Malaysia baru.
Ah, satu lagi propaganda yang memperlekehkan kaum aku, dengus hati YB J. Jangan-
jangan yang menulis artikel ini orang Melayu. Mereka masih menganggap kaum aku sebagai berketurunan pendatang. Tidak guna punya generasi baru. Dengus YB J. Bisik hatinya lagi: Betullah dulu nenek moyang aku berhijrah ke bumi bertuah ini untuk mencari kekayaan, membebaskan diri mereka daripada kemiskinan dan keperitan hidup di China. Itu dulu. Generasi Cina sekarang sudah menjadi warganegara Malaysia dan mereka hendaklah dilayan seperti warganegara Malaysia..
Dikejutkan
Sedang YB J asyik dengan lamunannya, dia dikejutkan dengan suara pemandunya yang memaklumkan, “Kita sudah sampai YB.”
Menunggu dia di luar ialah para penganjur dialog yang bakal berlangsung. Salah seorang daripada mereka membuka pintu kereta YB J, bersalaman dengannya dan memperkenalkannya dengan ahli jawatankuasa penganjur yang lain. Diiringi oleh mereka, YB J dibawa ke pentas. Menurut kiraannya ada 500 orang di dalam dewan pagi itu. Dia bangga dengan kehadiran begitu ramai anak bangsanya yang ingin bertemu dengannya. Apa yang lebih membanggakan YB J ialah mereka belajar luar negara dengan biayai sendiri, bukannya bantuan kerajaan.
Selepas ucapan-ucapan aluan oleh pengerusi penganjur selesai, YB J dijemput untuk memberi ucapannya. Inilah detik-detik yang ditunggu-tunggu oleh YB J. Gagasan politik baru Malaysia barunya akan dihebahkan kepada dunia bebas. Dia teringat buku Kee Thuan Chye yang berjudul 8 Mac The Day Malaysian Woke Up. Momentum rakyat Malaysia atau lebih tepat lagi warga bukan Melayu Malaysia yang sudah jaga dari lena itu mesti ditingkatkan. Pagi itu dia berazam untuk berbuat demikian.
Tetapi tanpa diketahui oleh YB J, di kalangan 500 orang generasi muda yang hadir pada pagi itu ada yang tidak setuju dengan pandangan politiknya itu. Salah seorang daripada mereka berazam untuk membetulkan penyimpangan politik YB J dengan caranya yang tersendiri.
Apabila YB J bangun untuk menuju ke rostrum ucapan, seorang anak muda dari belakang pentas berjalan tenang menuju ke arahnya. YB J tersenyum kepadanya. Dia menyangka anak muda seketurunan dengannya ingin mengiringinya ke rostrum atau bersalaman dengannya.
YB J menghulurkan tangan. Tiba-tiba YB J tergaman dan berdiri kaku. Dia tidak percaya dengan apa yang dilihatnya. Tergenggam erat pada tangan anak muda yang seolah-olah mahu membalas salam tangan yang dihulur itu ialah sepucuk pistol jenis Revolver yang betul-betul diajukan ke arah dada YB J.
Tanpa berkata apa-apa, anak muda itu melepaskan beberapa das tembakan. Salah satu daripadanya tepat mengenai jantung YB J. Dia rebah ke lantai.
Para hadirin menjadi panik. Mereka yang berada di atas pentas turut tergamam melihat apa yang berlaku. Kejadian menjadi hiruk-pikuk dan tidak terkawal. Pihak penganjur yang tidak menduga kejadian malang itu berlaku, tidak tahu berbuat apa-apa. Beberapa orang anggota polis berpakaian preman yang menjadi tetamu yang tidak diundang dalam majlis itu, meluru ke arah pentas. Rakan-rakan mereka yang berpakaian seragam yang berkawal di luar juga bergegas masuk ke dewan.
Tetapi belum sempat mereka berbuat apa-apa, kedengaran beberapa das tembakan lagi. Kali ini yang rebah adalah anak muda itu sendiri.
Apabila pihak polis tiba di tempat kejadian, kedua-dua mereka - YB J dan anak muda yang berpakaian kemas itu, sudah tidak lagi bernyawa.
Sewaktu pemeriksaan dibuat ke atas mayat anak muda yang tidak dikenali itu, terselit sehelai nota yang ditaip rapi, ditulis dalam bahasa Kebangsaan.
Ia berbunyi: YB Josephine adalah ancaman terhadap keharmonian. Lebih baik riwayatnya ditamatkan supaya masyarakat berbilang kaum boleh tinggal aman damai di negara bertuah ini. Saya berkorban untuk masa depan.
--------------------------------------------------------------------------
Petikan penuh dari utusan malaysia di sini
beritadarigunung: cheer up Teresa.