Sunday, October 19, 2008

ZAHID HAMIDI: Bila tanda arah di simpang berwarna AMBER.





Perjalanan politik Zahid Hamidi penuh dengan simpang. Simpang beri ruang untuk sedikit analisa berlandaskan political scanning terkini. Pilihlah mana-mana simpang yang sesuai dengan destinasi dan jangan tukar fikiran di tengah-tengah simpang. Pasti akan ada pertembungan di simpang empat berlampu isyarat.


2. Kami mengulang semula perjalanan menyusur jalan pantai dari Shah Alam, Penjara Sungai Buloh, Ijok, Assam Jawa dan terus tembus ke Perak berjumpa semula simpang empat Zahid Hamidi. Posting saya terdahulu saya sebut simpat empat tanpa tanda jalan. Kali ini saya perlahankan kenderaan. Memang ada! Tetapi lain dan janggal. Warna itu sering kita jumpa di jalan atau simpang yang sedang dibina dan belum siap sempurna.

3. Tanda jalan biasa adalah biru putih. Di Lebuhraya pula hijau putih. Mana saya dapat menjangka ada tanda jalan dengan warna oren hitam! Warna oren boleh juga disebut ORANGE dalam bahasa inggeris. Kadangkala mereka menyebut "amber". RED, GREEN and AMBER adalah sususan warna pada lampu isyarat. Untuk AMBER, di tempat kita warnanya kuning. Bagi pengguna jalanraya, mesejnya ialah berjaga-jaga, ready atau siap sedia!

4. Dalam persimpangan politik Zahid, dia sangat cepat memaklumkan ingin bertanding Timbalan Presiden. Tidak berapa lama lepas itu beliau berundur sedikit dan mencanang, sedia hanya untuk satu slot antara tiga Naib Presiden. Kuota kelayakan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno ialah 20. Waktu ini Zahid telah melayakkan diri bersama-sama dengan Hishamuddin, Shafie Afdal dan Khaled. Menukar fikiran ditengah simpang empat, walau janggal dan merbahaya, ianya adalah pilihan yang tepat, ada rational, realistik dan munasabah.

5. Lama dulu, ada trend untuk memilih salah seorang dari 3 dari kalangan mereka yang berlatarbelakang pendidikan agama. Maka terpilihlah Wan Mokhtar dari Terengganu, kemudian Abdullah Badawi dari Pulau Pinang. Namun trend itu pecah bila Anwar anggap pemilihan UMNO macam main sepak Takraw. Ada regu! Namanya sangat gah waktu itu. TEAM WAWASAN. Abdullah terpelanting dari regu Anwar.Selebihnya adalah sejarah buat tatapan yang berminat.

6. Ramai tahu, Zahid pernah belajar di Sekolah Izuddin Shah Ipoh. Sekolah itu untuk lelaki, yang perempuan pula di Sekolah Taayah. Beliau adalah graduan Universiti Malaya dalam bidang Sastera. Beliau baru-baru ini memperoleh Ijazah kedoktoran. Samada credential itu memadai untuk gelaran ulama, saya tidak pasti.

7. Memang zahid dikenali sebagai seseorang yang taat kepada ketua. Ketaatan itu dipamirkan waktu era Anwar. Beliau tidak segan-segan menghentam Rahim Thambi Chik waktu itu. Selanjutnya beliau adalah jurucakap utama waktu istilah Kronisma, Nepotisma dilaung waktu gawat melanda negara-negara asia pertengahan 90'an. Waktu itulah projek penting dan strategik, jika mahal berbillion, dianggap mega dan celaka. Kini Zahid mundar mandir si Putrajaya dan turun naik kapalterbang di KLIA. Berapa ramai rakyat Malaysia tertipu.

8. Zahid juga dilihat lebih berhati-hati hingga hari ini. Beliau tidak membawa dirinya lebih sudu dari kuah. Ramai tahu, dulu beliau pernah ditahan dan "dijentik", dan isu kenegaraan dan kedaulatan tanah air sudah "ditiup" ke telinganya. Beliau tidak mungkin lupa.

9. Kami berhenti seketika di simpang Zahid Hamidi, Hutan Melintang. Terdapat deretan kedai dengan peniaga dari kaum India. Menarik juga ada kedai namanya "Kedai Dua Lapan". Dalam budaya kaum Cina, lapan adalah "ong". Orang amat biasa dengan seven eleven, nah.., di Hutan Melintang ada two eight, dua lapan. Di situ ada beberapa banner mengenai PKR. Saya tidak percaya kaum India adalah kaum terpinggir di situ dan di mana-mana jua di negara ini.

10. Kami akan terus gunakan jalan persisiran pantai ikut Ijok, Assam Jawa dan Telok Intan. Kami akan menunggu saat tanda jalan warna OREN atau AMBER ditukarkan ke warna biasa ..... biru putih. Yang penting bukan kami pengguna jalan raya kerana kami biasa terlajak dan berpatah balik. Yang lebih penting ialah arah tuju POLITIK Zahid sendiri. Untuk Zahid, beri isyarat yang jelas kepada ahli UMNO mulai hari ini dan jangan tukar-tukar.

At times, it is best to live within the domain of predictibility. Good Luck Zahid!

beritadarigunung